Friday 14 April 2017

Insyirah

“Sadaqallahalazim...” Seorang gadis bertudung labuh warna biru firus baru sahaja menamatkan bacaan tilawahnya. Petang itu, surah Ad-Dhuha mengakhiri bacaan tilawahnya. Surah yang mempunyai seribu satu ibrah itu merupakan antara surah yang cukup digemarinya. Kerap kali ayat-ayat dari surah itu meniti di bibirnya tiap kali dia ingin mencari kekuatan. Seusai melipat telekung dan sejadah, dia bangkit meninggalkan tempat kebiasaan mengulang hafazannya, iaitu di sudut hujung dalam surau kepunyaan  asrama Tahfiz Ulul Albab Darul Firus itu. Sambil melangkah keluar dari surau, pandangan nya melilau mencari teman-teman yang selalu bersamanya saban petang untuk mereka bersama menikmati makan malam di dewan selera asrama. Tiba-tiba, “Insyirah!” Segera dia mencari arah punca suara. Pandangannya terhenti pada sesusuk tubuh yang berdiri tidak jauh darinya. Izzah, gadis kelahiran pulau pinang yang sentiasa ceria dan happening itu merupakan antara sahabat pertama yang dikenalinya di pusat tahfiz ini sehinggalah perhubungan mereka menjadi kian erat dari tahun ke tahun.“Insyi dah selesai murajaah dan tilawah? Jom makan bersama, yang lain dah tunggu di dewan selera.” Insyirah tersenyum dan mengangguk lantas segera mengekori temannya menuju ke dewan.
            Insyirah. Nama yang seringkali menimbulkan rasa lapang di hati sesiapa yang menyebutnya. Bukan semata-mata kerana maksud yang terkandung di sebalik nama yang indah itu, tetapi juga kerana si empunya nama sememangnya terkenal dalam kalangan pelajar sekolah Tahfiz Ulul Albab Darul Firus dengan budi perkerti, akhlak yang sangat indah dan menyenangkan. Bukan setakat itu, Insyirah walaupun terkenal dengan sifat pemalunya, namun dia juga merupakan salah seorang yang dipercayai dalam kalangan guru-gurunya untuk menjadi Penolong Ketua Umum di sekolahnya. Insyirah yang sentiasa dihormati kerana kecerdasannya, ketegasannya, keelokan budinya. Orang kata, segala nilai-nilai yang ada pada dirinya merupakan pakej yang lengkap untuk menjadi seorang muslimah sejati. Insyirah merupakan anak sulung daripada 3 orang adik beradik. Dia yang berumur 17 tahun merupakan tempat bergantung kedua-dua orang adik lelakinya, Iman dan Amin selepas kedua-kedua orang tua mereka meninggal dunia dalam satu nahas jalan raya ketika Insyirah berumur 13 tahun. Kini, telah pun genap tahun ke 5 orang tua Insyirah meninggalkan mereka bertiga. Mujur bapa saudara mereka, Encik Halim sudi menyara mereka adik beradik, dan bapa saudara mereka itulah tempat menumpang kasih sayang yang telah lama hilang dari kehidupan mereka. Walaupun Insyirah kehilangan tempat bergantung kasih sayang dari kedua orang tuanya, selain bapa saudaranya dia turut dikurniakan beberapa orang teman yang setia bersamanya susah dan senang. Ada enam orang semuanya yang terdiri dari latar belakang keluarga yang pelbagai. Izzah, Mastura, Emilia, Nisa, Hanna dan Hani. Sememangnya seluruh warga tahfiz itu maklum dengan betapa eratnya hubungan antara mereka bertujuh. Iman dan Amin pula yang masing-masing berumur 13 dan 14 tahun turut bersekolah di sekolah yang sama. Betapa beruntungnya Encik Halim dan isterinya kerana mempunyai anak-anak saudara yang soleh solehah. Ternyata arwah adik lelakinya itu telah meninggalkan permata-permata yang terlalu berharga buat dirinya.
Beberapa bulan sahaja lagi pelajar Tahfiz Ulul Albab Darul Firus akan menduduki peperiksaan SPM, dan kesibukan mengulangkaji pelajaran dan kelas tambahan saban hari itu tidak pernah menghalang mereka untuk tetap berterusan mengulang hafazan. Insyirah turut tidak ketinggalan dengan rutin harian nya mengulang hafazan dan mengulangkaji pelajaran. Hari itu, angin sepoi-sepoi bahasa meniup lembut tudung bawal hijau yang dipakainya. Insyirah dan teman-temannya khusyuk menelaah pelajaran masing-masing. Tiba-tiba, salah seorang daripada mereka memecah kesunyian antara mereka bertujuh. “Fuh, kenapa ana rasa berdebar sangat eh sejak kebelakangan ni? Walaupun setiap hari kita sama-sama ulangkaji pelajaran, ana tetap rasa tak bersedia untuk hadapi peperiksaan yang besar ni.” Yang lain sejak tadi khusyuk menatap nota masing-masing lantas menghalakan pandangan kepada sahabat mereka yang seorang itu. Izzah, memang terkenal dalam kalangan mereka yang paling extrovert dan ceria.
“Eh Insyi, kenapa ya, hang selalu tenang sangat, walaupun dalam situasi ‘genting’ sekarang ni?” Izzah meluahkan rasa hairan yang terbuku dalam hatinya sejak tadi. Insyirah hanya menguntum senyum. Dia membalas perlahan. “Izzah, hang nii, macam baru harini kenal ana kan? Ana ni nampak aje tenang tau, luaran. Tapi dalam hati, entah macam mana bergelojak Allah aje yang tahu.” Izzah buat muka. “Eleh, bergelojak kononnn, ehem, selalu setiap kali exam kenapa nama hang aje yang terpampang kat senarai nama kelas pertama anugerah pengetua?”
“Allahu, itu rezeki namanya Izzah, ana usaha aje sehabis baik, yang beri semua hasil tu Dia yang selayaknya.” Teman-teman yang lain sudah mula tersengih-sengih apabila mereka lihat wajah Insyirah sudah mula merah padam kerana malu. Lantas tika itu juga tawa mereka berderai. Taman tasik di sebelah asrama mereka hidup dengan kehadiran anak-anak muda yang jelas matlamat mereka melaksanakan setiap perkara kerana-Nya.
            Iman, adik lelaki Insyi yang berumur 13 tahun dikejarkan ke hospital. Iman yang sedang asyik bermain bola sepak bersama rakan-rakannya tiba-tiba jatuh pengsan apabila hendak membalas sepakan dari rakannya. Insyi yang sedang tekun mendengar pengajaran gurunya terganggu seketika apabila guru kaunselornya, Cikgu Hafiz masuk ke dalam kelas lantas meminta izin untuk bertemu dengan Insyi. “Insyirah, maaf kerana mengganggu konsentrasi kamu belajar, tetapi, cikgu rasa perkara ini perlu diberitahu kepada kamu.” Insyirah diam. Dadanya berombak kencang tiba-tiba. Dia seakan boleh mengagak berita yang akan keluar dari mulut Cikgu Hafiz. Cikgu Hafiz perasan akan perubahan yang berlaku pada wajah Insyirah. “Insyirah, maafkan cikgu, adik kamu, Iman baru sahaja dikejarkan ke hospital kerana pengsan sewaktu bermain bola pada sesi Pendidikan Jasmani pagi tadi, Alhamdulillah dia sudah sedarkan diri dan keadaannya stabil.Cuma..” Cikgu Hafiz tidak meneruskan ayatnya. “Cuma dia mempunyai satu penyakit kanser Tahap 1.” Insyirah tiba-tiba menyambung. Cikgu Hafiz tersentak. Tanpa menunggu Cikgu Hafiz meneruskan kata-katanya, Insyirah pantas becerita. “ Iman memang sudah dikesan mempunyai kanser barah otak hujung tahun lalu sewaktu dia berumur 12 tahun, dia sering mengalami masalah ingatan dan seringkali jatuh pengsan kerana pening tiba-tiba. Bapa saudara saya sudah maklum akan perkara ini, kami bersyukur kerana penyakit kanser Iman dikesan sejak awal. Sekarang, Iman masih dalam proses menjalani rawatan di hospital sebenarnya, Cuma adik saya.. Iman tu, memang ‘berlagak’ seolah-olah dia seorang manusia normal yang sihat sejahtera.” Cikgu Hafiz menggelengkan kepalanya. “Insyirah, tolong jangan rahsiakan apa-apa lagi daripada kami, kami sedia membantu kamu adik- beradik setulus hati, kami tidak sanggup kehilangan permata yang terlalu berharga di Pusat Tahfiz ini.” Insyirah tunduk. “Maafkan saya cikgu, memang niat saya tidak mahu menyusahkan orang lain selagi kami berkemampuan.” Cikgu Hafiz mula mengukir senyum. “Insyirah, kamu mesti berjanji dengan saya, kamu tidak akan mengecewakan warga Tahfiz ini dengan keputusan SPM  kamu kerana menanggung ujian seberat ini. Buktikan pada diri kamu yang kamu mampu tabah melawan kesusahan ini dan menghadiahkan keputusan SPM yang cemerlang kepada diri kamu dan kami guru-guru!”

            Peperiksaan SPM baru sahaja berlalu, seluruh pelajar Tahfiz Darul Firus menyambut kejayaan mereka mengharungi peperiksaan dengan solat sunat hajat beramai-ramai. Insyirah dan sahabat-sahabatnya tidak ketinggalan memohon kepada yang Maha Esa agar urusan penandaan kertas peperiksaan mereka berjalan dengan lancar. Seusai solat, Insyirah dan sahabat-sahabatnya berjalan beriringan keluar dari surau menuju ke tempat kebiasaan mereka berkumpul. Taman Tasik Seri Kayangan yang dipenuhi pepohon sena yang sedang berbunga mekar. Mastura, sahabat Insyirah yang kecil molek mula mengutip bunga-bunga yang bertaburan di sekitar pohon tempat mereka selalu berteduh. “Seronok kan, kalau ukhuwwah kita mekar seperti bunga ni, sampai bila-bila.” Insyirah dan yang lain menoleh ke arah Mastura yang leka mengutip bunga sambil berceloteh. Izzah tiba-tiba bersuara, “Mas, apa yang hang merepek nii, kan kita memang dah berjanji nak jaga baik-baik ukhuwwah ni sampai ke syurga-Nya InsyaAllah? Takda apa yang perlu dirisaukan kalau hati masing-masing dah terikat dengan kasih sayang yang dinaungiNya. Nak ana ulang lagi Surah Anfal ayat 63 tu ka? Tak gitu, Insyi?” Insyi yang sedari tadi diam memerhati lantas mengangguk. “Memang benar. Kita memang berjanji untuk jaga ukhuwwah yang dibina sehingga ke syurga. Tapi, hati manusia sentiasa berubah-ubah, dan pelbagai lagi cubaan dan halangan yang bakal kita semua hadapi bila dah melangkah ke alam universiti nanti. Perkara yang paling kita tak mahu adalah hadirnya rasa antara kita sudah tidak penting lagi dalam diri masing-masing. Kita kena sentiasa berusaha untuk jaga ukhuwwah ni dengan saling berhubung dan mendoakan antara satu sama lain bila dah berjauhan nanti. Kalaupun tak berhubung, kita mesti saling mendoakan. Selebihnya, Allah yang tolong jagakan untuk kita sesama kita.” Emilia yang khusyuk membaca novel siri penulis kegemarannya, Hlovate, segera mengangkat mukanya dari buku lantas mendongak ke langit. Antunna nak tahu tak, harapan tu kan, selalu akan ada. Emi selalu tengok langit kalau sedih. Sebab Emi tahu harapan mesti ada sebagaimana langit yang seringkali muncul kebiruan selepas malam yang gelap pekat memenuhi sekalian alam. Antunna, pandanglah langit selalu sekiranya salah seorang daripada kita terpisah, salah seorang daripada kita tidak jujur, salah seorang daripada kita sudah benar-benar jauh. Dengan harapan dan doa, dia akan kembali seperti dahulu, bersama kita, menjaga ukhuwah ni sehingga ke syurga.” Tiba-tiba, Izzah bertepuk tangan, “PAPP, PAPP” “Fuh, tak pernah tak haru mendengar falsafah enti ni, Emi, hehehehe. Ni semua membuatkan ana nak rajinkan diri jugak membaca novel-novel ‘ilmiah’seperti tu,” Nisa mencelah. “Weyh Izzah, tak habis-habis hang mengusik Emi kan? Hang tu pun apa kurangnya, dalam hati ada taman beb! Macam ana tak tahu hang selalu curi-curi tulis diari waktu kami semua sedang tidoq kann, hahaha” Nisa mengambil buku berkulit keras tebal warna maroon dari belakang Izzah lantas mengangkatnya. Izzah blushing. Yang lain sudah mula ketawa terbahak-bahak. “Nisaaaaaaaaa!!!” Berlakulah adegan kejar mengejar antara dua sahabat di taman Tasik yang permai. Petang itu, pohon sena yang lebat berbunga menjadi saksi pertemuan terakhir antara mereka
            Insyi bersiap-siap dengan jubah hijau gelap serta tudung bawal turki corak dahlia yang digemarinya. Tidak sabar rasanya untuk bertemu dengan sahabat- sahabat seperjuangannya. Bayangkan, cuti selama tiga bulan lebih sementara menunggu keputusan keluar mereka tidak langsung berpeluang untuk bertemu kerana jarak tempat tinggal yang jauh dan tuntutan lain. Ada yang bekerja, mengambil lesen memandu dan tak kurang juga yang sudah menyambung pengajian melalui laluan pantas. (baca: fast track) di salah sebuah universiti awam.
“Insyi, kamu dah sedia? Jom segera, Pakcik mahu hantar adik kamu ke hospital pula selepas ini.” Insyi tersedar dari lamunannya lantas segera turun ke tingkat bawah. Terlihat bapa dan ibu saudara kesayangannya tersenyum manis kepadanya. Sambil bersalaman dengan Puan Faridah, ibu saudaranya, sempat berpesan. “Insyi, apa-apa juga keputusan yang kamu terima, kami juga akan terima dengan lapang dada.” Insyi senyum. “Makcik, insyaAllah, moga segalanya baik-baik saja.Insyi dah serahkan segalanya pada Dia.”

Terdengar riuh dan  esak tangis di dalam dewan Pusat Tahfiz itu. Ada yang menangis kegembiraan, tidak kurang juga yang menangis kerana kesyukuran. Insyi sedari tadi melilau pandangannya mencari kelibat rakan-rakannya namun seperti tiada seorang pun yang kelihatan. Gelagatnya itu mendapat tumpuan Cikgu Hafiz. Cikgu Hafiz lantas mengatur langkah menuju tempat Insyirah berdiri. “Assalamualaikum Insyirah,” Insyirah berpaling. “Ehh cikgu Hafiz! Apa khabar cikgu?” Cikgu Hafiz membalas, “Alhamdulillah saya baik-baik sahaja, ohya, bagaimana dengan keputusan kamu?” Cikgu Hafiz sengaja mengukir senyuman lebar sambil matanya melirik kepada slip peperiksaan yang dipegang Insyirah. Insyirah tersipu malu. Lantas dia menyerahkan sendiri slip peperiksaan tersebut kepada cikgu Hafiz. “Terima kasih untuk segala nasihat dan dorongan cikgu kepada saya selama ini, anggaplah keputusan ini sebagai hadiah buat cikgu dan warga Tahfiz.” Cikgu Hafiz menyambut slip dari tangan Insyirah lantas terus mengucapkan hamdalah tidak putus-putus sebaik sahaja matanya tertancap pada jumlah  bilangan A+ yang berderet di slip kepunyaan Insyirah. “Tahniah Insyirah,” Cikgu Hafiz menyeka air mata yang mengalir di pipinya.
Setibanya di rumah, Insyirah mendapat khabar berita tentang keputusan SPM sahabat-sahabatnya. Kesemua mereka berjaya memperoleh straight A dan Insyirah lah orang yang terlalu gembira dengan keputusan mereka. “Kenapa antunna tak datang sama ambil result pagi tadi?” Soal Insyirah sambil menambah emotikon sedih pada mesej ringkas whatsapp di group kepunyaan mereka. Tidak sampai beberapa saat, muncul mesej balasan dari teman-temannya. “Insyiiii tahniahhh awakkk!!, maaf Izzah tak dapat nak hadir sebab ada urusan kerja yang tak dapat dielakkan. Nah bunga ros untuk awak.hihi.” –Izzah. Insyirah menggelengkan kepalanya membaca mesej dari Izzah sambil tersenyum lebar. “Tak habis-habis dengan bunga ros dia.” Mesej lain muncul. “Haii Insyii, mashaa Allah Insyiii, ‘pengsan’ ana tengok result enti hahaha tahniah Insyi sayangg, btw maaf tak dapat hadir jugak sebab ada ujian memandu hariniii,” –Mastura. Nisa, Emilia, Hanna dan Hani membalas perkara yang serupa. Walaupun Insyi sedikit kecewa, namun kekecewaannya sedikit terubat  apabila kesemua sahabatnya memberikan respon balas dan merancang untuk berjumpa dalam masa yang terdekat sebelum masing-masing melangkah ke alam baharu. Sekali lagi, keadaan tidak mengizinkan untuk mereka bertemu atas kekangan masing-masing. Insyirah pasrah dan mereka berjanji untuk saling berhubung selepas bermula kelas di universiti kelak.
            10 Julai 2015. Insyirah diterima masuk ke sebuah Kolej Mara yang terletak di Barat tanah air dengan tajaan penuh dari pihak Majlis Amanah Rakyat. Sebelum melepaskan Insyirah di Kolej Mara tersebut pada hari pendaftarannya, Pakcik Halim sempat berpesan, “ Insyirah, pakcik tahu kamu akan jaga diri kamu baik-baik walau di mana pun kamu berada, tapi pakcik tetap tak akan tinggalkan pesanan untuk pandai-pandailah kamu memilih dengan siapa kamu berkawan. Kalau lebih baik, carilah rakan-akan seperti di Pusat Tahfiz dulu. Ingat, berusahalah untuk istiqamah beramal dengan apa yang kamu pegang dalam hidup. Pakcik dan Makcik sentiasa mendoakan kamu.” Insyirah membalas. “Baik InsyaAllah Pakcik. Saya akan cuba jaga baik-baik prinsip yang saya pegang dalam hidup. Di mana pun saya pergi. Halalkan segalanya ya, sepanjang Pakcik dan Makcik bersusah-payah untuk kebajikan kami adik beradik.” Insyirah tidak dapat menahan kolam matanya yang bergenang sejak tadi dari tumpah membasahi pipinya. Dia beralih kepada adiknya, Iman dan Amin sambil bersalaman. “Doakan kakak, Jangan nakal-nakal dan jaga Pakcik Makcik baik-baik.” Iman dan Amin mengangguk dan memeluk erat kakak kesayangan mereka.
Sambil berjalan menuju pulang ke asrama kolej, Insyirah masih lagi mengesat air mata yang bercucuran sejak tadi membasahi pipinya. Entah kenapa, dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena yang akan berlaku pada dirinya sepanjang perjalanan ke kolej sebentar tadi.

Sebulan berlalu. Kelas Kimia pada petang itu berjalan seperti biasa. Usai kelas, Insyirah seperti biasa mengatur langkahnya menuju ke surau untuk bersolat asar dan murajaah hafazannya. Waktu yang bersisa sebelum maghrib menjelma akan dimanfaatkan sebaiknya untuk mengulangkaji pelajaran dan menyiapkan assignment yang bertimbun. Insyirah yang biasa jalan berseorangan ke mana sahaja dia pergi rupa-rupanya mendapat tumpuan beberapa pelajar perempuan di kelasnya. Salah seorang daripada mereka bercadang untuk berkenalan dengan Insyirah. Tiba-tiba seorang daripada mereka menyampuk. “Eh, biar betul kau? Nak kenal dengan budak tudung labuh macam langsir tu?? Eii korang pergilah, aku tak sanggup nak terkena tempias alim dia. Sambil membetul-betulkan hujung shawl yang dipakainya, dia berjalan meninggalkan rakan-rakannya.
“Ehem. Assalamualaikum, awak ni Insyirah kan? Maaf mengganggu, saya lihat awak selalu jalan seorang. Awak ada masalahkah?, Oh btw, saya Amirah, dan yang ni Syahirah.” Insyirah yang sedang berjalan menuju ke surau disapa oleh dua orang pelajar perempuan sekelasnya. Sambil memberikan senyuman, dia membalas. “Waalaikumussalam Amirah dan Syahirah. Eh tak mengganggu pun, saya memang suka jalan seorang diri, bukan apa, mahu kejar masa kerana banyak perkara untuk diselesaikan kerana di sini semua ‘laju’, jadi saya yang agak ‘lambat’ ni kenalah belajar buat kerja cepat-cepat. Hehe.” Insyirah menggaru kepalanya yang tidak gatal. Gadis dua orang yang berada di hadapannya saling berpandangan. Amirah yang sejak tadi memerhati pakaian Insyirah yang bertutup dari atas hingga bawah membandingkan baju t-shirt lengan pendek yang dipakainya beserta inner hitam untuk menutup lengan. “Oh begitu, bukan apa, kami ni sejenis yang suka berkawan, jadi kalau ada apa- apa untuk kami bantu, beritahu saja ya!” Amirah membalas sambil meminta diri untuk ke kantin makan selepas mereka bertukar nombor telefon.

Insyirah meletakkan beg dan fail yang digalasnya sambil mindanya ligat berfikir. Ingatannya terus terbawa kepada 6 orang sahabatnya yang jauh di perantauan di seluruh Malaysia dan luar negara. Rindu, namun Insyirah pasti dirinya termasuk mereka bertujuh walaupun jarang berhubung antara satu sama lain, hati mereka sering terpaut. Seusai murajaah hafazannya, Insyirah beralih pula untuk menyelesaikan assignment. Namun dia mendapati dirinya sering tidak fokus kerana asyik memikirkan perbualan antara dirinya dan rakan sekelasnya sebentar tadi. “ Mungkin, aku boleh berkawan dengan mereka untuk sedikit demi sedikit mengajak mereka ke arah kebaikan?” Insyirah bermonolog sendirian. Memang dia sudah maklum dengan rakan sekelasnya yang lebih terbuka bersosial dengan pelajar lelaki, latar belakang keluarga dan sekolah yang berbeza dan akhlak mereka bersama pensyarah yang benar-benar membuatkan Insyirah agak culture shock mendapat classmates sedemikian rupa. Sambil menguis-nguis pensilnya, Insyirah berhasrat untuk memulakan langkah pertama untuk berkawan dengan mereka.
Tengahari itu para pelajar agak ramai memenuhi dewan selera Kolej. Insyirah menatang dulangnya sambil melilau mencari tempat kosong. Tiba-tiba, terdengar suara memanggil namanya. “Insyirah!” Segera dia mencari arah suara tersebut. Rupa-rupanya Amirah dan Syahirah serta seorang rakannya dilihat  melambai-lambai ke arahnya. Insyi lantas mengatur langkahnya menuju kearah mereka bertiga. Sambil melabuhkan punggung di  sisi Amirah, Insyirah melemparkan senyuman kepada Syahirah dan seorang lagi rakannya. “ Insyirah, kenalkan yang hujung tu Zahirah.” Insyirah menggangguk sambil melemparkan senyuman. Zahirah memandang Insyirah dari atas ke bawah dan membalas senyuman Insyirah acuh tidak acuh. Sambil menikmati makanan, Amirah yang sejak tadi diam, memecah kesunyian antara mereka berempat. “Ohya, esok hari minggu kan, kita keluar ke bandar esok mahu tak, Insyirah?” Insyirah membalas teragak-agak. “Err esok ya? InsyaAllah boleh.” Amirah menjerit kecil. “Yeay! Baik, kalau macamtu esok kita akan pergi awal pagi ya.” Insyirah menggangguk sambil mengunyah makanannya perlahan-lahan. Tiba-tiba dia merasakan sesuatu tidak senang di hatinya.
Insyirah yang sejak awal pagi telah menunggu di stesen bas resah melihat jam di tangannya sambil mencari kelibat Amirah, Syahirah dan Zahirah yang tidak kelihatan. Insyirah mengeluarkan mushaf yang sering dibawanya ke mana-mana dan mula bertilawah. Tiba-tiba, bahunya ditepuk dari belakang. Insyirah berpaling. Dilihatnya mereka bertiga sedang berada di belakangnya. Amirah Nampak seperti diburu rasa bersalah. “Maaf ya Insyirah, kami terlewat kerana baru saja bangun. Maklumlah, malam tadi kami marathon drama korea.” Tanpa menunggu untuk Insyirah membalas. Zahirah segera menyampuk. “Dahlah, jom cepat, banyak tempat kita nak singgah lepas ni.” Insyirah bangkit mengikuti mereka menaiki bas yang baru sahaja tiba. Bas yang dinaiki mereka berhenti di hadapan sebuah kompleks beli belah di Bandar itu. Sememangnya pusat beli belah inilah satu-satunya tarikan buat para pelajar Kolej Mara tersebut. Sambil berjalan beriringan menuju ke pintu masuk, Amirah yang berada di sebelah Insyirah berbisik perlahan kepadanya. “Insyirah, kami nak bawa awak jalan-jalan tengok wayang harini.” Amirah tersengih sambil terus menarik tangan Insyirah untuk ke panggung wayang yang terletak di dalam kompleks beli belah itu. Tanpa memberi peluang kepada Insyirah untuk memberi respon, Syahirah dan Zahirah membuka topik perbualan tentang filem-filem cinta kontemporari yang mereka minati. Sementara Amirah membeli tiket untuk mereka berempat, Syahirah menarik Insyirah yang kelihatan serba salah sambil berkata, “ Insyirah, awak nampak takut-takut, ada yang tak kena kah? Ohya, jom kita selfie bersama nak tak? Kami nak upload di instagram.” Berderau darah Insyirah mendengar kata-kata terakhir Syahirah. Dengan penuh rasa serba salah, Insyirah menerima ajakan rakan baharunya itu. Beberapa keping gambar telah diupload ke instagram, dan Insyirah yang sejak tadi tidak senang duduk mula berasa selesa dengan Syahirah yang pandai menceriakan suasana. Mereka terus berswafoto (baca: selfie) bersama sehinggalah tidak menyedari Amirah yang sudah lama menunggu di pintu panggung.
            “Insyirah, macam mana? Best tak cerita tadi? Heronya hensem kan? Saya teringin nak dapat kasih sayang daripada pakwe saya macamtu jugak!” Amirah berceloteh. Tiba-tiba, Syahirah menyampuk. “Ehem, Insyirah, awak tak ada ‘kekasih’ ke?” Soalan cepumas Syahirah itu membuatkan Insyirah sedikit terkejut lantas menggelengkan kepalanya. Gelengan Insyirah mengundang tanda tanya di raut wajah Syahirah, Amirah dan Zahirah.
            Selesai makan di restoran, mereka bergerak pulang Kolej. Hari menjelang maghrib dan Insyirah baru tersedar bahawa hari ini dia telah terlalai beberapa jam untuk murajaah hafazannya. Masuk sahaja ke dalam bilik, Insyirah terus menghempaskan tubuhnya ke katil dek kepenatan seharian di luar.
Azan maghrib yang baru sahaja berkumandang membuatkan Insyirah terjaga. “Astaghfirullah!!  terlepas asar, ulangan hafazan pun tak settle lagi, Allahu,” Insyirah meraup wajahnya dan terus menuju ke bilik air dengan tergesa-gesa.
Pagi keesokannya, Insyirah disapa oleh rakan-rakan sekelasnya sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke dalam kelas. Beberapa orang pelajar lelaki memandangnya sambil melemparkan senyuman. Tiba-tiba, terasa bahunya disapa seseorang. “Hai Insyirah, selamat pagi!” Amirah melabuhkan punggung di kerusi sebelahnya sambil tersenyum. Insyirah membalas seadanya. “ Selamat pagi Amirah,”
“Ohya, Insyirah, malam ni kami mahu ajak awak menonton perlawanan futsal antara pelajar lelaki batch kita buat julung-julung kalinya pada tahun ini, jom sama, selepas maghrib.” Insyirah yang sedang berombak kencang dadanya sekadar mengangguk perlahan. “Yes! Baik, kami tunggu di dewan selera ya selepas maghrib, jangan lambat!” Amirah bangkit dari kerusi sambil bernyanyi kecil.
Insyirah ligat mengemaskini statusnya di laman sosial instagram. Sejak akhir-akhir ini, jumlah terkumpul likesnya sudah mencecah ribu. Sambil tersenyum simpul, dia merenung kesemua gambar-gambarnya yang diupload ke laman sosial instagram kepunyaannya sejak tahun pertama persediaan dahulu. Ternyata komen-komen yang terpapar kebanyakannya memuji kecantikan wajahnya. Sedang asyik mengemas kini status, tiba-tiba iphone 5S yang dipegangnya nya bergetar menandakan notifikasi masuk di aplikasi waksep (baca: whatsapp). Mesej daripada seorang lelaki yang tidak dikenalinya. “Assalamualaikum, saya Azwan. Pelajar senior course engineering di kolej Mara. Tak silap saya selalu lihat awak sejak hari pertama awak mendaftar di sini. Err, kalau sudi, teringin jugak nak berkenalan dengan saudari yang cantik manis ni.” Tidak semena-mena bibir Insyirah mengukir senyuman. Malam itu, mereka bersembang rancak sehinggalah Insyirah tidak sedar bahawa dia telah mengabaikan sesuatu yang penting pada malam itu.
            “Insyi???” Insyi yang sedang asyik scroll gambar-gambar di instagramnya tertancap pada komen salah seorang pengguna di status gambarnya yang mendapat 5k likes. Selendang biru pendek dan agak jarang itu menjadi pilihannya di dalam gambar itu. “Izzah…” Insyi berbisik perlahan. Entah mengapa, jiwanya seakan meronta untuk membalas komen sahabat yang dicintainya suatu ketika dahulu tetapi egonya melebihi kehendaknya. Lantas dia segera mengabaikan komen tersebut. Sejak hari itu, notifikasi waksep nya penuh dengan mesej-mesej daripada sahabat-sahabat lamanya namun segalanya diabaikan. Sekadar bluetick.

Nun jauh di utara tanah air, beberapa orang gadis bertudung labuh dilihat sedang duduk membincangkan sesuatu di bawah pohon sena di Tasik bersebelahan Pusat Tahfiz Darul Firus. Salah seorang daripada mereka terlihat begitu sugul. “Izzah, please utter some words, we need your wise opinion, jangan macamni, hang tak boleh jatuh macamni sekali hanya sebab sahabat kita yang dah jatuh tu!” Mastura bersuara memecah keheningan antara mereka. Lambat-lambat, Izzah bersuara, “Entah lah mas, ana rasa kita pun dah bersalah sebab tak pernah langsung ziarah dia kat kolej mara tu, walaupun kita cuba untuk contact dia banyak kali, tapi dia abaikan macamtu aje. Bermakna dia dah tawar hati dengan kita. Ana rasa kita yang bersalah sebab terlalu memandang tinggi pada kemampuan dia untuk survive di kolej Mara tu.”  “Ingat tak, kita pernah berjanji kan, tak akan lupakan ukhuwwah yang dibina ni, sampai bila-bila? Dan kita berjanji kepada Allah untuk berusaha mempertahankan nya walau apa juga cabaran yang menimpa?” Giliran Hanna pula melontarkan pandangannya. “ Antunna, ana tahu, kita semua masih terkejut dan bersedih dengan perkara yang menimpa Insyirah, memang kita tak boleh menyalahkan dirinya seratus peratus. Tapi mungkin juga, Insyirah sendiri yang tersilap dalam memilih rakan-rakan baharunya? Ukhti, ana yakin, Insyirah sebenarnya amat memerlukan kita.”
 Hani yang sedari tadi diam tiba-tiba bangkit bersuara. “ Yes!” Masing-masing berpandangan. Hani, kalau dia berkeadaan sebegitu bermakna ada sesuatu yang istimewa sedang berlegar di dalam buah fikirannya. Sambil melemparkan senyuman kepada sahabatnya, dia berbicara, “Ana ada idea yang sangat bernas! Untuk buat Insyi tersedar semula, selebihnya, kita mohon pada Dia agar jagakan Insyirah untuk kita semua.” “Apa dia?” Serentak terpacul kata-kata itu dari mulut mereka yang berenam. Hani buat muka dan tersengih lebar. “Allah, bantulah kami.” Izzah berbisik perlahan.
            Insyirah yang sedang asyik menaip tugasannya di komputer riba tidak perasan jam sudah pun menunjukkan waktu 3 pagi. Dia menggeliat sambil mencapai iphone 5S nya. Entah mengapa, hatinya tergerak untuk meninjau akaun facebooknya yang sudah berhabuk. Selesai log masuk, Insyirah dapati terdapat puluhan mesej di notifikasinya. Malas untuk memeriksa notifikasinya yang berlambak, Insyi beralih kepada post-post rambang di paparan wallnya. Tiba-tiba, matanya tertancap pada satu post yang bertajuk, “Permata yang Hilang, masihkah ada harapan? Tajuk post tersebut dibacanya satu persatu. Dilihatnya sudah ratusan share dan likes yang diraih. “Novel rupanya.” Getus Insyirah apabila membaca dekripsi yang diberikan. Lantas tidak semena-mena hatinya meronta-ronta untuk mula membaca isi kandungan novel online tersebut.


Perlahan di tekannya link yang disediakan, muncul paparan novel versi ebook di komputer ribanya. Menjengah ke muka surat pertama, serta merta dadanya mula berombak kencang. Berdebar-debar sebaik sahaja membaca dedikasi prolog dari penulis novel tersebut, Miss Izz. Dedikasinya berbunyi, “Jazakillah khairan katsira kepada sahabat-sahabat seperjuangan, dalam kesibukan menuntut ilmu, masih berpeluang mencurahkan buah fikiran untuk penghasilan novel yang banyak serba kekurangan. Tanpa antunna, tidak mungkin tercapai matlamat novel ini dihasilkan. Untuk si dia, yang sentiasa kami ingati dan kasihi, kembalilah..kami rindukan kamu yang dahulu.  Khas buat jiwa-jiwa yang pernah berukhuwwah, moga bermanfaat, moga mendapat reda Allah.”
Insyirah mula mengubah posisi duduknya dari kerusi meja belajar ke atas katil. Disandarkan belakangnya ke dinding sambil menyambung bacaannya.

TSIQAH PADANYA –Miss Izz
Sepanjang 20 tahun aku melayari hidup yang penuh suka duka dan pancaroba ini, ada seseorang yang cukup istimewa dalam hatiku. Mungkin aku boleh katakan, posisi sebagai seorang sahabat yang cukup istimewa, ada sesuatu yang istimewa pada dirinya, tidak terdapat pada orang lain. Pertama kali melihat wajahnya, jujur aku katakan, waktu itu jiwa mudaku yang memberontak dan kacau, serabut, jadi hilang apabila melihat wajahnya yang bersih dan menenangkan. Pertama kali juga mengenali dirinya, sudah tertawan dengan akhlaknya yang cukup menawan. Gadis itu, yang gemar menyarung tudung labuh warna biru firus, berkulit putih kemerah-merahan, tinggi lampai dan halus suaranya, telah mencuri hatiku saat pertama kali memulakan ‘sesi taaruf’ secara tidak rasmi bersamanya. Masih segar di ingatan, waktu itu jiwaku serabut dek kemelut yang berlaku dalam kalangan ahli keluargaku. Ternyata emosiku terjejas teruk dan aku gagal mengawalnya dengan baik. Setiap kali jumpa orang , mesti hendak marah dan memaki-maki, walaupun orang itu tidak pernah melakukan walau sekelumit masalah kepadaku. Ditakdirkan pertemuan kami, waktu itu perutku minta diisi, lantas dengan langkah yang longlai dan jiwa yang kacau, aku gagahkan juga kaki ku mengatur langkah ke kantin sekolah memandangkan dewan selera sudah tutup. Aku memesan Nasi Goreng Kampung bersama air sirap kegemaranku. Sedang menunggu pesanan siap, aku menghantarkan pandangan ke sekitar kantin, matahari yang panas memancar terik menghangatkan kulitku.  Ada beberapa orang pelajar yang masih menikmati makanan di kantin. Tiba-tiba, pandanganku terhenti kepada seorang pelajar perempuan tinggi lampai bertudung labuh warna hijau sedang menyapu sampah yang bertebaran di sekitar kantin. Lantas aku bermonolog sendirian, “Rajinnnnya budak ni? Tengahari buta panas macamni buat kerja macamtu,” Sememangnya aku pernah mendengar perbualan rakan-rakan sekelasnya tentang seorang pelajar perempuan dari Tingkatan 3 Baiduri akan datang setiap dua hari sekali membantu para pekerja di dewan selera, kantin dan surau. “Rupanya dialah orangnya,” Getus hatiku lagi. Tiba-tiba, Makcik dari kaunter makanan memanggil aku untuk mengambil pesanan yang sudah siap. Sambil berjalan mencari tempat yang sesuai untuk menikmati juadah, aku menatang pinggan nasi gorengku dan air sirap. Entah mengapa, aku terlanggar kerusi salah sebuah meja makan dan badanku hilang keseimbangan lantas air sirap yang dibawa tumpah. Hatiku berdebar kuat apabila air tersebut tidak jatuh ke lantai tetapi sebaliknya mengenai seseorang. “Ahh!” Terdengar satu suara halus menjerit kecil. Aku yang sedari tadi memandang ke lantai lantas mengangkat kepalaku.Takut-takut. Disebelahku, seorang pelajar perempuan berkulit putih kemerah-merahan bersama sebatang penyapu di tangannya sedang memegang tudungnya yang tertumpah air sirap kepunyaanku. Aku menggaru kepala yang tidak gatal lantas mulut laju menuturkan permohonan maaf. “Eh, tak mengapa! Sikit saja ni, lagipun, sekejap lagi memang mahu cuci semua baju.Hehe, lagipun saya yang ‘gatal’ menyapu di sini, maaf ya, mengganggu pula awak nak makan.” Aku terpana. Aku pula yang serba salah dibuatnya.  Lama kami berdiam di situ dan akhirnya dia meminta diri. Aku yang tidak keruan tiba-tiba melontarkan sesuatu, “Eh, emm ana Hajar,” sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman. Salamku bersambut. “Ana, Sofea.” Satu senyuman manis dilemparkan kepadaku dan senyumannya hari itu bukan sahaja telah berjaya mengurangkan gundah yang bersarang di hatiku, malah telah menjadi satu permulaan yang indah kepada ukhuwwah kami.
Insyirah merasakan sesuatu yang tidak kena pada dirinya. Air mata yang bertakung di kolam matanya sepanjang membaca tadi akhirnya tumpah jua. Dia gagal mengawal emosinya. Bahunya terhenjut-henjut kerana esakan tangisnya. Merasakan dia tidak kuat untuk meneruskan bacaan tetapi jiwanya meronta-ronta untuk membaca halaman seterusnya. Seakan dapat meneka penulis yang kedua ini, tangisan Insyirah makin hebat.

IDOLA DALAM DIAM –Miss M
“Sadaqallahalazim…” Sofea dan rakan-rakannya baru sahaja menyudahi murajaah mereka pada hari itu. Hari yang baik, cuaca yang menyenangkan dan langit biru pekat serta angin yang bertiup lembut membuatkan gadis bertujuh yang sedang duduk membentuk bulatan di bawah pohon sena tepi tasik itu makin rancak berbual. Semua maklum dengan salah seorang sahabat mereka di situ yang baru sahaja berhadapan dengan satu ujian yang berat, ditambah dengan ujian yang sudah sedia ada ke atas dirinya.
“Sofea, kami sentiasa mendoakan hang, ingat tu selalu, hang tak keseorangan, moga Allah lepaskan segala jerih payah dan kesusahan yang hang hadapi.”  Hajar berbicara. “InsyaAllah, ana baik-baik aje, jangan risau,” ketenangan yang terpamer pada riak wajah sahabat mereka yang seorang itu begitu menghairankan. Sofea yang kuat, yang kental dan tidak pernah sekalipun mereka lihat dia bersedih dengan keadaan yang menimpa dirinya. Jauh di sudut hati, mereka tahu yang Sofea menanggung segalanya dengan sabar akan segala ujian yang menimpa dirinya.
Suasana sunyi seketika antara mereka bertujuh. Tiba-tiba, Ain, si kecil molek yang berwajah kebudak-budakan berbicara, “Antunna, kalau salah seorang daripada kita telah terpisah dan terlalu jauh antara kita, macam mana ya? Apa yang kita nak buat?” Sofea membalas persoalan Ain. “Kita akan buat satu cerita tentang kisah hidup kita bertujuh dan pastikan dia akan baca segala kisah suka duka pahit manis kita bersama, dan…” Dan? Serentak yang lain menyoal. “Kita akan tunggu dia semula, di bawah pohon sena ni, di tepi tasik yang menjadi saksi ukhuwwah kita mekar bersama.”

Insyirah tidak dapat meneruskan pembacaannya. Tangisan nya menjadi-jadi. Dia menekup mukanya dengan tangannya. Dalam tangisannya, pandangan nya tertancap pada tudung labuh biru firus yang tersangkut kemas di dalam almari. Serentak itu juga pandangan nya jatuh kepada quran mini yang terletak kemas di rak buku meja belajar kepunyaannya. Sudah satu tahun dia meninggalkan pemakaian muslimahnya dan qurannya sudah jarang-jarang di baca. Apatah lagi mahu sekadar meyelak. Dengan mata yang masih sembab, dia mencapai quran mini di rak buku. Diselak nya satu persatu halaman sehingga akhirnya selakannya berhenti di satu surah yang cukup digemarinya suatu ketika dahulu.  Ad-Dhuha. Perlahan dia mengalunkan bacaan. Beberapa titik air jatuh dari tubir matanya mengenai halaman quran yang dipegangnya erat.

Izzah baru sahaja selesai murajaah hafazannya. Selepas melipat telekung, dia menuju ke meja belajarnya untuk menyambung ulangkaji. Tiba-tiba, telefon bimbitnya berbunyi menandakan notifikasi grup di whatsapp masuk. Seperti biasa, dia tidak akan menghiraukan notifikasi nya, namun malam itu hatinya meronta-ronta untuk memeriksa mesej yang masuk. Ditekannya icon hijau bersimbolkan telefon, matanya terus tertancap pada satu mesej di satu grup yang sudah lama ‘berhabuk’. Kehairanan dan seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya, Izzah terus membuka notifikasi grup. Sebaik sahaja selesai membaca mesej tersebut, tidak semena-mena air matanya tumpah, dan bibirnya menutur hamdalah. Izzah menghela nafas, sambil menyandarkan belakangnya di kerusi yang didudukinya. Dia yakin ada hati-hati yang ceria sepertinya pada malam itu untuk turut berkongsi kegembiraan yang dialaminya.
Insyirah memarkir keretanya tidak jauh dari tasik bersebelahan pusat Tahfiz Darul Firus. Dia baru sahaja bertemu dengan ibu dan bapa saudaranya. Mereka yang sudah hampir putus harapan dengan apa yang berlaku pada dirinya setahun yang lalu benar-benar terkejut dengan perubahan yang berlaku ke atas dirinya. Adik-adiknya turut terpana dan kehairanan. Amin terlebih dahulu memulakan perbualan sewaktu mereka menikmati makan tengahhari bersama tadi. “Along, inilah Along kami yang pernah ‘hilang’ dulu.” Ucapan ringkas itu begitu meruntun jiwa seorang Insyirah. Pakcik saudaranya tersenyum memandang Insyirah. “Insyi, Allah berikan kamu sahabat-sahabat yang baik, yang memang bersungguh nak tarik kamu ke syurgaNya. Ohya, tadi Cikgu Hafiz kirim salam pada kamu.” Insyirah sudah dapat mengagak pakciknya telah memberitahu cikgu Hafiz akan perubahan dirinya. Insyirah tersenyum simpul.
             Insyirah menghela nafas. Dia keluar dari kereta Irisnya lantas berjalan menuju ke bawah pohon sena yang begitu dirinduinya. Sambil menunggu kedatangan insan-insan istimewa di hatinya, Insyirah duduk di bangku yang disediakan di bawah pohon dan  menyelak qurannya untuk mula bertilawah. 10 minit berlalu, insan yang ditunggu tidak juga kunjung tiba.
Insyirah meneruskan bacaannya. Sedang asyik bertilawah, tiba-tiba satu suara muncul di belakangnya, menyambung bacaan tilawahnya. Kemudian satu persatu ayat dari surah berkenaan di sambung oleh suara yang berbeza. Suara-suara yang cukup dikenalinya, cukup dirinduinya. Insyirah tidak segera berpaling. Air matanya sekali lagi bercucuran membasahi tudung labuh biru firus yang dipakainya. Terasa tangan seseorang memaut lehernya dari belakang. Kemudian satu suara berbisik di telinganya lembut, “Insyi, kami juga rindukan hang.” Suara itu. Suara yang sudah lama tidak dedengarinya. Tidak mampu menahan tangisnya, Insyirah lekas berpaling dan memegang tangan yang memaut lehernya lantas memeluk erat insan yang kini menghadapnya. “Insyi!!” serentak sahabat yang lain berlari mengelilingi mereka. Tiba-tiba terdengar suara, “Eh, ana baru perasan Izzah dah meninggi sikit weyh, hahaha dan nampaknya ukhti kecil molek kita makin jealous dengan makcik kepoh ni!” Semua mata termasuk Insyirah memandang kepada empunya suara. Hani. Ternyata waktu benar-benar mengubah segalanya. Hani yang pendiam telah mula menunjukkan ‘belang’nya. Insyirah memulakan perbualan. “Actually, ana macam dapat agak dah siapa punya idea untuk buat novel tu.” Sambil memandang tepat kearah Hani yang berdiri bertentangan dengan dirinya.” Sambil bersilang lengan, Hani membalas selamba, “Well, you knew who I am.” Serta merta pecah gelak ketawa antara mereka bertujuh.

 Pejam celik, dua tahun berlalu. Insyirah bakal menamatkan pengajian asasinya dan akan terbang ke Russia tidak lama lagi. Setahun yang lalu, dia telah meninggalkan pemakaian muslimahnya dan mula mengikut arus pemakaian rakan-rakan baharunya.  Namun, dek keprihatinan sahabat-sahabat lamanya, dia diberi kekuatan untuk kembali menjadi dirinya yang dahulu. Beberapa minit yang lalu, dia baru sahaja mengucapkan selamat tinggal kepada ahli keluarga serta beberapa orang sahabat nya yang menyambut pengajian degree mereka di tanah air. Pemergian Insyirah disambut dengan berita gembira bahawa adik lelakinya, Iman yang pernah dikesan kanser barah otak Tahap 1 telah pulih sepenuhnya berkat berterusan mendapatkan rawatan di hospital. Insyirah menghela nafas, sambil menghalakan pandangannya ke luar tingkap kapal terbang, matanya tidak lekang dari menikmati langit biru yang terbentang luas. Terngiang-ngiang di mindanya akan kata-kata salah seorang sahabat yang dicintainya, “Pandang langit, setiap kali anti jatuh, untuk ingatkan diri yang kita tak pernah akan lebih hebat dari sesiapapun, dan paling penting, harapan tu, selalu, akan ada Insyi.”
Insyi memperkemaskan duduknya lalu mencapai quran mini warna biru firus kepunyaannya. Baru sahaja hendak mula bertilawah, terdengar satu bunyi. “BUKK” sebuah buku bertajuk “Relasi” karya Hilal Asyraf singgah di kakinya. Insyirah tunduk mengambil buku yang jatuh dikakinya sambil mencari tuan punya buku tersebut. Tiba-tiba, muncul di sebelahnya. “Err, Assalamualaikum, maaf Cik, tu buku saya, terjatuh dari dalam beg sandang sewaktu hendak keluarkan barang tadi. Maklumlah, beg penuh dengan barang-barang, err maaf ya Cik.”
Insyirah membalas, “Ohh takde apa pun, nah buku awak.” Sambil menghulurkan Relasi kepada seorang pemuda tinggi lampai berkulit cerah dan berkaca mata yang berdiri di hadapannya itu.
“Terima kasih cik.” Insyirah membalas senyuman lelaki berkenaan dan dia berlalu meninggalkan Insyirah menuju ke tempat duduknya.
Perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Moscow memakan masa hampir 20 jam. Insyirah melangkah turun dari kapal terbang sambil mengucapkan syukur tidak henti-henti. Matanya melilau mencari senior-senior kumpulan pelajar Malaysia dari Universitinya. Tiba-tiba, seseorang menghampirinya, “Awak Insyirah? Saya Kak Ain, Jom, yang lain semua dah berkumpul di dalam.” Insyirah mengekori seniornya itu sambil mereka berbual-bual memulakan sesi ‘taaruf’. Tiba-tiba, matanya terhenti pada seorang pemuda tinggi lampai berkaca mata, sebiji yang dijumpainya di dalam kapal terbang tadi. Perasan akan Insyirah yang kehairanan, Pemuda berkulit cerah itu mengangguk kepadanya dari jauh sambil membuat isyarat menunjukkan dia juga satu universiti dengan Insyirah. Insyirah membalas anggukan pemuda tersebut.
“Weyh, Afiq, siapatu??  Ehh jappp itu bukan Insyirah ke? Pen Ketua Umum kita yang  anta duk minat sejak dulu tu ?! Wuhh tak sangka jumpa semula kat sini ehhh, Ehem.” Azrai, di sebelahnya buat-buat berdehem mengusiknya apabila melihat dirinya membuat isyarat dari jauh dengan gadis tudung labuh, berkulit putih kemerah-merahan itu. “Aish, hang ni! Ana terserempak dengan dialah tadi dalam pesawat.” “Oooooo” Azrai mencebik sambil buat muka. Afiq menggeleng-gelengkan kepala. Jauh di sudut hatinya, dia sudah ada perancangan untuk mengenali gadis bertudung labuh itu dengan lebih dekat. Perancangan yang patuh syariah dan diredaiNya. Siapa sangka, gadis yang diminatinya sejak zaman bersekolah di Pusat Tahfiz dahulu akan menuntut di universiti yang sama dengannya. Memang dahulu hubungan antara pelajar banin dan banat sangat-sangat terpelihara sehingga masing-masing seperti tidak mengenali antara satu sama lain, kecuali sekiranya seseorang itu adalah merupakan orang terpenting dan dikenali di sekolah mereka. Oleh sebab itu Afiq tidak hairan apabila Insyirah langsung tidak mengenalinya, kerana dia tidak pernah memegang apa-apa jawatan di pusat tahfiz itu ketika di dalam pesawat sebentar tadi. Afiq mengulum senyum. Segera dia beristighfar panjang dan memperbaharui niatnya. Afiq memandang Insyirah yang masih mengenakan tudung warna biru firus, warna kegemarannya sejak zaman persekolahan lagi sambil bermonolog. “Insyirah, semoga kekal tsabat.”













Zaid

“PRANGGG” Bunyi kaca pecah secara tiba-tiba membuatkan Cikgu Hazizah tersentak, dia yang sedang meyiang ikan untuk dimasak hidangan tengah hari meletakkan pisau yang dipegangnya lantas segera berlari ke bilik anak lelakinya.
“Astaghfirullahaladzim Zaid!!” Cikgu Hazizah terhenti di pintu bilik apabila melihat kaca berserakan di seluruh ruang bilik. Cikgu Hazizah menghela nafas dan menggeleng-gelengkan kepalanya. Bukan sekali anak lelakinya ini berkelakuan begini, malahan berkali, mengikut emosinya ketika itu. Dengan berhati-hati, Cikgu Hazizah berjalan menghampiri anak lelakinya yang sedang memandang ke arahnya dengan pandangan kosong. Berapa titik air jernih turun dari kolam matanya mengenai kain pelikat yang dipakainya.
Cikgu Hazizah memandang sayu kepada satu-satunya anak lelakinya itu sambil mengusap kepalanya perlahan. Sambil melabuhkan punggung di sebelah anak lelakinya, dia bertanya kepada anaknya, soalan yang berkali ditanya, berkali juga tidak punya jawapan, tetapi dibalas pula dengan soalan lain yang membuatkan Cikgu Hazizah sering bungkam.
“Kenapa Zaid? Ibu ada buat salah ke pada kamu?” Dengan penuh kasih sayang, Cikgu Hazizah menyuapkan lebihan makanan sarapan pagi Zaid ke mulut anak lelakinya itu, namun segera tangannya ditepis oleh Zaid.
Cikgu Hazizah menangis teresak-esak. Sejak kebelakangan ini, Zaid lebih banyak mendiamkan diri. Cikgu Hazizah menghela nafas perlahan, ingatan nya terimbau kepada satu musibah yang menimpa anak lelakinya itu hujung tahun lalu.
Waktu itu dia bersama suami, Encik Haziq sedang sibuk membuat persiapan untuk menghadapi musim perayaan yang bakal tiba beberapa hari lagi. Anak tunggalnya pula, Zaid sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka dengan menumpang kereta rakan sekolahnya oleh sebab tempat tinggal mereka yang berdekatan.
Cikgu Hazizah sedang sibuk mengacau kuah kacang kegemaran anaknya apabila telefon bimbitnya berbunyi. Segera dia mengangkat panggilan dengan hati yang berbunga riang kerana menyangka panggilan tersebut daripada anak lelaki kesayangannya. Serta merta sudip di tangannya terlucut dari pegangannya sebaik sahaja mendengar berita anak lelakinya baru sahaja terlibat dengan nahas kemalangan. Kemalangan yang hampir meragut nyawa Zaid, kerana mengalami pendarahan di bahagian kepala sehingga menyebabkan Zaid koma selama dua bulan. Kini, anak lelaki tunggalnya itu mengalami kecacatan di bahagian kepalanya seumur hidup.


“Ibu”
Cikgu Hazizah tersentak dari lamunannya. Segera dia berpaling menghadap Zaid. “Ya, Zaid?, kamu masih marahkan ibu?”
“Ibu… Zaid… dah… dilupakan ke?”
Cikgu Hazizah terdiam. Beberapa patah perkataan yang keluar dari mulut anak lelaki tunggalnya itu benar-benar meruntun perasaannya. Lantas air matanya gugur deras membasahi pipinya.
                                                                  *********
Zaid duduk di meja belajar di dalam kelasnya sambil menyalin sesuatu di papan putih. Seperti biasa, Zaid tidak akan keluar makan di dewan selera apabila tiba waktu rehat. Bukan dia tidak lapar, tetapi dia malu, malu untuk berjumpa dengan rakan-rakan dengan keadaan dirinya sebegini. Sepanjang masa, Zaid sentiasa mengenakan songkok untuk menutup kecacatan di kepalanya. Sedang Zaid leka menulis, tiba-tiba telinganya menangkap perbualan beberapa pelajar perempuan. Salah satu suara kepunyaan mereka merupakan suara yang sangat dikenali Zaid.
Melalui tingkap dari dalam kelas , Zaid melihat sekumpulan pelajar perempuan bertudung labuh berjalan di koridor laluan kelasnya sambil berbual-bual. Pandangan Zaid terhenti pada sesusuk tubuh yang amat dikenalinya dalam kalangan mereka. Tidak semena-mena, si gadis tinggi lampai berkulit putih kemerah-merahan itu turut memandang kearahnya. Cepat-cepat Zaid mengalihkan pandangannya. Zaid tiba-tiba berdebar. Dadanya berombak kencang.
Apabila mereka hilang dari pandangan, Zaid menghela nafas. Benar, sememangnya dia ada menaruh perasaan pada salah seorang pelajar perempuan itu. Walaupun sememangnya dia maklum bahawa pelajar perempuan itu telah pun menjadi perhatian ramai pelajar putera di sekolahnya.
Dia tertanya-tanya, mungkinkah suatu hari nanti si dia yang kuminati dalam diam akan menerima apa yang ku rasakan pada dirinya? Adakah dia juga telah melupakanku?
Ahh, berbual dengannya pun tidak pernah, inikan pula hendak meluahkan perasaan, sudahlah Zaid, jangan berangan. Getus hatinya. Entah-entah dia tidak pernah pun tahu tentang insiden yang menimpa diriku. Bukankah semua orang takut dengan rupa ku sekarang? Semua orang menjauhiku, bahkan yang dahulu mengaku sahabat pun sudah lama tidak menegurku. Apatah lagi bertanya khabar. Memang di mulut mereka katakan masih mengingatiku, tapi sebenarnya tidak di hati mereka.

Seorang gadis tinggi lampai berkulit putih kemerah-merahan,bertelekung warna biru firus sedang duduk bersimpuh di atas sejadah sambil membaca surah kegemarannya, Al-Mulk. Usai bacaannya, dia menadah tangan memanjatkan doa supaya bacaan Al-Mulk yang diniatkan untuk orang tersayang yang telah pergi meninggalkannya sampai kepada mereka. Dia meraup tangan ke muka dengan harapan doanya didengari Yang Esa.
Sememangnya itulah rutin gadis itu saban hari. Mendoakan semua kerabat dan rakannya yang telah pergi menghadap illahi. Kini, di dalam doanya telah terselit satu lagi nama yang cukup tidak asing lagi dalam diari hidupnya. Nama yang sering meniti di bibirnya lewat doa dan sujudnya kepada Allah.
Si gadis perlahan bangun dari simpuhnya, melipat telekung dan sejadahnya. Dia perlu membuat persiapan untuk pekerjaannya esok hari, mendidik anak bangsa di sebuah sekolah yang pernah menjadi memori terindah dalam kamus hidupnya.
Esok hari, dia akan memulakan sesi pengajarannya dengan bercerita tentang seorang pemuda yang sering memberikan inspirasi kepada diari hidupnya dalam diam, sehinggalah dirinya dijemput illahi dalam salah satu kemalangan yang mencabut nyawanya.
                                                         ***********
“Anak-anak cikgu, kamu nak tahu tak mengapa cikgu ceritakan tentang pemuda ni kepada kamu semua?”
Semua pelajar Tingkatan 4 Abrar diam. Mereka saling berpandangan. Ada yang berbincang sesama mereka dan ada yang menggeleng-gelengkan kepala.
Guru muda yang memakai tudung labuh koshibo warna biru firus itu mengukir senyum. “Pemuda ni sebenarnya pernah terlibat dengan satu kemalangan yang hampir meragut nyawanya sewaktu dia berumur 16 tahun. Kemudian, ditakdirkan, dia berdepan dengan satu lagi kemalangan dalam hidupnya. Pada usia 20  tahun. Namun kali ini, rupanya Izrail telah pun siap menunggu untuk mencabut nyawanya. Allah menangguhkan usianya selama 4 tahun untuk dia mempersiapkan dirinya sebelum bertemu menghadap Illahi buat selamanya. Rupa-rupanya, kematiannya adalah kematian yang tertangguh. Namun, sungguh Allah lebih tahu yang terbaik apabila kemalangan kedua dalam hidupnya itu telah meragut nyawa kedua orang tuanya bersama.”
Guru muda itu menelan liur. Segera dia menyeka air mata yang mengalir deras di pipinya. “Sungguh, kematian akan datang bila-bila masa, tanpa diduga.”  
“Cikgu, !”
“Ya, Hafiz?”  
Usai membacakan Al-Fatihah untuk pemuda itu dan keluarganya, salah seorang muridnya mengangkat tangan untuk bertanya.
“Siapa nama lelaki yang terlibat dalam nahas kemalangan ni? Kawan cikgu ke?”
Guru muda itu mengulum senyum.
Perlahan dia menuturkan, “Ya, namanya… Zaid.”






Tebuk Ke Syurga


        “Kenapa pandang macamtu? enti tahu tak tu pandangan maut??” Hannan mengomel. Insyirah tergelak kecil. Sambil membetulkan duduk, Insyi menyelak halaman seterusnya untuk menebuk si hafizah ayu dihadapannya. Sememangnya dia sengaja mahu mengusik sahabat tersayang yang sentiasa dirindui selamanya itu.
“Ukhti... macam mana enti boleh berada dalam golongan yang sedikit ni?” Insyirah menyoal Hannan usai habis menebuk hafazannya. Hannan yang sedari tadi tersenyum puas, memandang tepat ke arahnya.
                                                                     ******
“Baik, antunna, sebelum ana tutup halaqah kita harini, ana nak share ibrah tentang surah Al-Anfaal ayat 12. Cuba teka ayat ni berkisar tentang kisah apa?” Hannan memandang dengan penuh kasih kepada tiap-tiap mad’u yang sedang duduk mengelilinginya dalam bulatan.
“Kak Hannan! Tentang perang Badar! Betul tak??” Izzah, anak halaqah Hannan yang proaktif itu mengangkat tinggi tangannya untuk menjawab dengan suara yang bersemangat. “Pandai!, bagus ukhti! Kisah di mana Allah memerintahkan tenteranya, para malaikat untuk turun membantu kaum Muslimin di medan Badar. Kemenangan 313 lawan 1000 antara tentera Muslimin dan Musyrikin ini benar-benar menunjukkan kekuasaanNya, juga pertolongan Allah itu amat dekat. Apabila ditanya manakah pertolongan Allah itu, katakan bahawa pertolongannya sudah dekat.[1] Sudah semakin hampir. Ana masih ingat kata-kata salah seorang pendakwah, penulis dan komposer terkenal tanah air, “Ketika pintu dunia tertutup, pintu langit terbuka.”
Hannan tidak dapat meneruskan kata-katanya. Sebak di dadanya bersarang kembali. Perlahan, dia memaksa dirinya mengakhiri pertemuan mereka pada hari itu.
         Jadi, teruskan kesabaranmu, adik-adik ana yang dirahmati Allah semua. Antunna, kena terus kuat dan sabar!” Insya-Allah, segala yang berlaku pada diri ana ni menandakan pertolongan Allah itu sudah semakin hampir sebenarnya.”
“Kak Hannan, jaga diri akak baik-baik, kami sentiasa. Doa kami sentiasa bersama dengan akak.” Izzah memeluk erat tubuh kurus dan cengkung itu. Seakan tidak mahu melepaskan pelukan itu.
 “Insya-Allah enti, terus mendoakan ana ya,”
Hannan mengesat air mata yang mengalir di pipi mad’u kesayangannya itu. Dengan berat hati, dia melepaskan genggaman tangan mad’u-mad’u yang mengelilinginya. Masanya sudah hampir tiba. Hannan menyusun kemas langkahnya menuju ke trak polis sambil dua orang polis wanita mula menggari kedua-dua belah tangannya.
Dalam perjalanan pulang ke penjara perempuan yang terletak di bumi Kinanah itu, Hannan tidak henti-henti mengucap tasbih. Perbuatannya menyelamatkan anak-anak Syria di kem pelarian di Jordan itu ternyata tidak disenangi oleh sesetengah pihak yang sudah tidak mempunyai hati dan perikemanusiaan.
******
“Hey, you with the one in black scarf!! Come here!” Seorang pegawai penjara berwajah bengis, tubuh tinggi, tegap dan sasa bersuara lantang memanggil Hannan masuk ke dalam bilik soal siasat sebaik sahaja sampai di dalam perkarangan penjara. Dengan lafaz bismillah, Hannan melangkah masuk ke dalam bilik soal siasat.
         “Why do you help the Syrian refugees and build schools for them?!” Bentak pegawai penjara tersebut sambil meludah ke muka Hannan. Hannan tertunduk. Dadanya berombak kencang. Seperti biasa, Hannan akan menjawab segala persoalan dengan yakin namun akan dibalas dengan makian dan cacian oleh pegawai penjara yang menyoalnya. Jika tidak dipukul dengan kayu, pasti akan ada ludahan-ludahan ke mukanya dari makhluk tuhan durjana yang menyoalnya. Hannan tidak henti-henti berdoa memohon perlindungan daripada yang Esa agar makhluk-makhluk durjana di sekelilingnya itu tidak bertindak untuk melakukan sesuatu yang melampaui batas terhadapnya.
                                                                     ******
          Di satu sudut yang lain, di sebuah bangunan di hujung kota di bumi anbiya’ itu, sekumpulan jundullah dilihat sedang berbincang sesama sendiri untuk menghadapi sesi tunjuk perasaan keesokan harinya. Usai musyawarah, mereka melakukan solat hajat berjemaah untuk memohon kekuatan dan pertolongan Allah agar tunjuk perasaan secara aman pada hari esok, kemenangan berpihak kepada golongan yang benar.
******
          Sungguh, tidak ada siapa yang akan menyangka pengakhiran gadis tinggi lampai kelahiran negeri jelapang padi itu akan berakhir di tali gantung. Apabila kebenaran di atasi oleh kebatilan, dunia juga sunyi seakan-akan tiada apa-apa yang berlaku. Hannan tertanya-tanya di manakah hilangnya kemanusiaan di hati pemimpin-pemimpin dunia yang bertanggungjawab. Hannan melangkah keluar dari kandang pesalah sambil diiringi dua orang pegawai polis wanita. Hannan dijatuhkan hukuman gantung atas ketidak adilan pihak yang menjatuhkan hukuman atas ‘kesalahannya.’ Mahkamah tidak teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman ke atas Penghulu sayap kiri Keamanan Sedunia itu susulan daripada rusuhan yang berlaku hingga menyebabkan beberapa orang pegawai polis mengalami cedera parah dan berlaku kehilangan nyawa dalam kalangan pihak berkuasa.
******
“Ukhti…” Kedengaran suara serak di corong telefon. Di hadapan Hannan, duduk seorang gadis dalam lingkungan 20-an, tinggi lampai, berkulit putih kemerah-merahan, riak wajah yang tenang. Mereka dipisahkan oleh sebuah cermin kaca. Hanya bisa berhubung melalui talian telefon yang disediakan.
“Insyirah.. Doakan ana, tak pernah sekali pun dalam hidup ana, akan terlintas untuk sampai ke tahap ni, sesuatu yang tak disangka-sangka. Pasti ada hikmah yang sangat besar Allah mahu tunjukkan pada kita kan ukhti?”
Insyirah tidak dapat mengawal tangisnya. Sayu hati nya melihat tubuh Hannan yang cengkung dan matanya yang lebam serta wajahnya yang penuh kesan calar-balar dan entah apa lagi kesakitan dalaman yang dihadapinya.
Melihat wajah Hannan yang masih mampu melemparkan senyuman terhadapnya, Insyi maklum bahawa Hannan benar-benar seorang daieyah yang meyakini pertemuannya dengan Yang Maha Esa. Perlahan dia memaksa dirinya menuturkan, “Kita jumpa di syurga ya, ukhti. Kita sambung tebuk hafazan enti di syurga nanti, insyaAllah.”
             Senyap. Talian diputuskan. Yang didengari hanyalah hembusan nafasnya sendiri. Hannan bangkit dari kerusi sambil berdiri menghadap Insyirah di hadapannya. Perlahan dilekapkan tangannya kepada cermin yang memisahkan mereka. Serentak Insyirah melekapkan tangannya di cermin, seakan mereka berpegangan tangan buat kali terakhir, buat selamanya di dunia.
******
              “Ukhti,” Hannan mengesat air mata yang jatuh membasahi pipi Insyirah. Usai Hannan bercerita tentang kisahnya, mereka saling berpandangan. Insyirah menghulurkan tangannya, Hannan membalas dengan mengenggam erat tangan sahabat yang dicintainya itu. Perlahan, Hannan menarik tubuh Insyirah ke dalam pelukannya, sambil berbisik ke telinga Insyirah, “Ana tunggu ukhti, di sini,”
******
       Insyirah meraup wajahnya, debaran di dadanya masih belum reda. Dia baru sahaja bangkit dari tidurnya, bermimpi tentang sahabat yang amat dirinduinya. Insyirah memandang kedua-dua tapak tangannya, sewaktu di dalam mimpi Hannan menggenggam erat tangannya, seakan masih dirasai. Lama Insyirah termenung, memikirkan rasional mimpi yang dialaminya. Tidak pernah seumur hidupnya di dunia dia melihat dan merasai suasana tempat yang begitu memukau mata memandang, ti
dak pernah terfikir dek akal, dilihat oleh mata dan didengar oleh telinganya. Sungguh, hatinya berkobar untuk ke sana lagi! Perlahan nafas dihela, Insyirah bangkit dari katilnya dan menuju ke bilik air. Dalam tahajjudnya, doa dipohon agar dia bisa beroleh syahid seperti mana sahabatnya di Mesir.
******
           Insyirah berjalan menuju ke hospital sambil tergesa-gesa menyarung kot putihnya. Seperti kebiasaan, dirinya perlu menyelesaikan satu tugas besar yang penting.Nyawa anak-anak dan rakyat Syria berada pada tangan Allah. Namun akan di kerahkan seluruh usahanya untuk menyelamatkan mereka sehingga ke titisan darahnya yang terakhir. Terngiang-ngiang di telinganya kata-kata kritikan berbaur sinis, salah seorang rakan sebiliknya sewaktu zaman persekolahan tingkatan 3 dahulu apabila satu ceramah kesedaran tentang saudara Islam yang ditindas kerap diadakan dua minggu sekali berturut-berturut. Hatinya benar-benar meronta-ronta untuk membalas kritikan rakannya itu yang berbunyi, “Alahh, balik-balik ceramah pasal Palestin, Gaza, Syria, bosan tahu tak?? Benda sama je nak ulang?!”
Mujur dirinya masih setahun jagung pada ketika itu. Dan pada saat ini, pedih sekali hatinya apabila teringat semula kata-kata rakan sebiliknya itu. Sungguh, entah bila agaknya rakyat di negara berkenaan akan bangkit dari lena yang terlalu panjang itu.
 “Andainya diri mu berada di tempat rakyat dan anak-anak Syria, Gaza atau mana-mana negara yang tertindas itu, atau ahli keluargamu adalah dalam kalangan mereka, mampu lagikah kamu tidur dengan lena sepanjang malam?” Insyirah meraup wajahnya. Entah siapa yang akan mendengar monolog dalamannya pada hari itu.
 Insyirah baru sahaja selesai merawat seorang kanak-kanak Syria yang hancur kakinya akibat terkena bedilan bom Bashar Al-Assad laknatullah apabila satu gegaran kuat dirasai oleh semua warga hospital yang mereka diami.
******
Ribuan para jundullah Persatuan Keamanan Sedunia sedang melaksanakan solat jenazah ghaib untuk dua orang serikandi mereka yang baru sahaja terkorban di medan jihad masing-masing. Pejabat Urusan mereka sesak dengan kehadiran para ikhwah dan akhwat. Kelihatan para akhwat ada yang berpelukan sesama sendiri dan menangis dengan pemergian dua orang serikandi hebat itu. Hari itu, sekali lagi mereka kehilangan permata yang terlalu berharga.

                                                                      ******
          Seorang gadis bertudung warna hijau muda pucuk pisang sedang duduk di atas rumput yang menghijau bersama dengan sahabat-sahabatnya. Masing-masing sedang tenggelam bersama ayat-ayat cinta dari Tuhan yang sedang dibaca. Tiba-tiba salah seorang daripada mereka bersuara perlahan. “Mesti kak Insyi dengan Kak Hannan sedang sambung tebuk hafazan masing-masing kan di syurga sekarang?” Izzah mendongak ke langit sambil mengajukan soalan kepada akhwat sehalaqahnya. Serentak mereka berpandangan antara satu sama lain sambil menghadiahkan senyuman. “ Insya-Allah ukhti,” Salah seorang daripada mereka membalas. Kolam mata Izzah yang terbentuk sedari tadi tumpah jua akhirnya.




[1] Al Baqarah: 214

AL INSAN

AL INSAN - TERSANGAT CEPAT LUPA!

"Sesungguhnya kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, untuk kami menguji mereka, siapa kah di antara nya yang terbaik perbuatannya. " [Al- Kahf :7]

Masa akan terus berlalu,
bersama seribu kenangan yang hanya akan menjadi pengajaran mahupun inspirasi untuk hidup seorang insan,

Beruntunglah insan yang sentiasa memperbaharui niat dan tingkahnya,

Beruntunglah insan yang berusaha menempatkan takwa di hatinya,

Beruntunglah insan yang sentiasa hari hari nya pada hari ini lebih baik dari hari semalam nya.

Rasulullah SAW bersabda:

"Apa peduliku dengan dunia?! Tidak lah aku hidup di dunia ini melainkan seperti seorang pengembara yang berteduh di bawah pohon dan berisitirahat, lalu pengembara tersebut pergi meninggal kannya. (HR. at-Tirmidzi no. 2377)

TERUS BERLARI DENGAN BANTUAN-NYA

ALLAH TELAH MENTAKDIRKAN SESUATU YANG DIKEHENDAKI DAN DILAKUKAN

Amani menghayun langkah nya perlahan, satu per satu menuju ke taman permainan yang terletak di belakang rumahnya. Suasana petang yang damai, awan yang indah membentuk pelbagai rupa, hari itu, langit petang seakan akan mengetahui kondisi hati nya yang galau, resah, kacau, gelisah, bimbang, duka dan segala macam negativiti yang bertimpa-timpa.

Perlahan, Amani, melabuhkan punggungnya di buaian sambil mula membuai dirinya perlahan, ternyata, suasana petang yang mendamaikan ini benar-benar mengembalikan memori positif dan aura kebangkitan dalam dirinya. Terima kasih alam. Diriku yang kadangkala gagal berbicara dengan mu. Sering kali aku lupa yang Allah tidak menciptakan engkau dengan sia sia melainkan untuk kami, manusia pelupa ini menghayati setiap keindahan mu.

Terasa air jernih turun mengalir dari pelupuk matanya, amani sengaja membiarkan ia mengalir lebih deras. Pada fikirannya, lebih baik pada saat ini dia menangis semahu nya, berbanding menangis di hadapan manusia lain.

Takdir nya, hanya dia seorang yang berada di taman pada tika itu sehingga lah selepas beberapa minit muncul seorang pemuda lingkungan 30 an bersama kedua2 orang anaknya.

Amani bungkam. Dia tidak pasti apa yang harus dilaksanakan pada ketika ini. Hendak ketengah tidak boleh, ke tepi pun tidak boleh. Mahupun kebelakang dan kedepan. Keadaan seakan terlalu menyempitkan. Benarlah, sifat ujian itu sememangnya sempit dan menyempitkan dada.

Waktu ini lah, dia merasakan diri nya gagal lagi untuk memahami ujian yang Maha Esa letakkan pada diri nya. Waktu ini lah dia sedar, bahawasanya dia tidak sepenuhnya menghayati apa yang berlaku di sekelilingnya. Waktu inilah, dia sedar, bahawasanya, dia gagal lagi menghayati bahasa yang mahu disampaikan oleh alam.

Rupanya, petang itu Allah mahu mengujinya, sama ada dia mampu atau tidak memahami pertolongan yang sedang di 'nikmati' oleh dirinya, dari yang Maha Melihat.

Mata dipejam kan. Bibir mengucap hamdalah. Diletakkan tangan nya ke dada, lantas melafazkan selawat semahunya.

Sekali lagi, tudung sarung biru firus yang dipakai nya pada petang itu lencun dengan air mata nya yang terus menerus mengalir.

Amani mendongakkan kepalanya ke langit yang luas. Seakan berbicara padanya langit itu. Seakan ia berkata, sudah ku katakan, jalan penyelesaian pasti akan muncul. Mana mungkin datang nya siang, dan diikuti malam? Dan mana mungkin akan datangnya malam, dan diikuti siang?

Tidak cukupkah bukti yang sudah terang lagi kan bersuluh ini, yang mana manifestasinya jika difahami, Walau segelap pekat kelam mana jua waktu malam itu, pasti, siang akan menjelma. Mentari dhuha akan muncul, menyinari alam. Walau sesukar mana jua sesuatu keadaan, pasti, kesenangan akan muncul, menyinari lubuk hati yang tadinya kacau. Kembali bercahaya.

Mari, memahami bicara alam. Mari, Mengingati firman sumpahnya dari AdDhuha.
Mari, membumikan harapan menggunung dalam sanubari.


Amani mengesat air matanya, lantas bangun dari buaian, mula melangkah menuruni tangga untuk pulang ke rumahnya. Dari kejauhan, dilihat kucing kesayangannya sedang terkedek2 menuju ke arahnya. Seakan menanti kepulangannya. Amani mengukir senyum. Mungkin itu senyuman terakhir buat dirinya, selamanya di dunia yang fana.

"Kalau Allah tidak sayang kita, mana mungkin kita masih bisa bernafas sehingga saat ini? " - PMJ



JADIKAN AKU HAMBA YANG BERSYUKUR

JADIKAN AKU HAMBA YANG BERSYUKUR

'Jika kamu bersyukur, akan aku tambahkan nikmat kepada mu, dan jika kamu kufur, maka azabku amatlah pedih'[14:7]

Khamis lalu, 9 Jamadil Awwal 1438, seorang akh dari kos ilmu wahyu dan kemanusiaan dari sebuah universiti tanah air menyampaikan satu tazkirah pendek usai sesi pembelajaran bagi subjek kami pada hari itu. Tazkirah nya berkisar tentang tiga orang lelaki dari kaum bani israel pada zaman Nabi Musa yang diuji Allah dengan beberapa penyakit. Lelaki yang pertama, diuji dengan kepalanya yang botak dan tidak ditumbuhi rambut, lelaki kedua diuji dengan penyakit sopak, dan lelaki ketiga diuji dengan kedua2 pasang matanya buta. Mereka kemudiannya didatangi malaikat dan dengan izin Allah diberikan nikmat dan kesembuhan ke atas penyakit yang dihidapi. Pada akhir kisah ini, malaikat mendatangi semula ketiga2 orang laki2 tersebut dalam keadaan berpenyakit seperti mereka bertiga, seorang demi seorang daripada mereka tewas dengan ujian yang diberikan kecuali lelaki yang ketiga iaitu lelaki yang pernah buta kedua matanya. Lelaki berkenaan tidak teragak2 untuk memberikan kesemua nikmat yang ada pada nya kepada malaikat yang mendatanginya.

Hendak dijadikan cerita, akh penyampai tazkirah tadi sewaktu bercerita tentang lelaki ketiga, suara nya sudah mula sebak dan serak, seakan menahan diri dari mengalirkan air mata. Ternyata, pada akhir cerita, air matanya tumpah jua.

Wallahuaklam. Entah apa yang bermain di fikiran nya barangkali, yang begitu mengusik perasaan nya sehingga begitu sebak apabila bercerita perihal lelaki ketiga.

Lantas aku pulang dari kelas sambil minda tidak habis berputar, memikirkan rasional cerita berkenaan yang mengungkap nilai syukur yang begitu jitu pada sang lelaki ketiga yang pernah buta.

SYUKUR. kalimah yang pendek namun jika direnung oleh mata hati, betapa kita sering mengabaikan untuk membumikannya dalam sanubari masing2.

Sehingga saat ini, aku masih menyoal pada diri, adakah sudah mencapai tahap seorang mukmin yang bersyukur?

Sungguh, jalan hidup masing2 sudah pun ditetapkan Nya, kerana setiap yang berlaku telah maktub. Namun sama ada kita yang mahu mensyukuri atau sebaliknya atas apa yang berlaku kepada diri.

Andai sifat syukur ini berada dalam hati tiap generasi manusia, maka InshaAllah tidak akan timbul sikap2 tamak pada setiap organisasi dari sekecil2 hingga sebesar2 organisasi.

Justeru, sifat apa yang perlu dibumikan untuk sampai pada tahap syukur? Jawapannya, Qanaah. Berasa cukup lah dengan apa yang ada. Berasa cukup tanpa mengabaikan usaha dan tawakal kita pada Nya, berasa cukup dengan sebenar2 rasa cukup sehingga mampu membumikan rasa syukur.

Lapanglah, duhai jiwa, teruskan langkah kakimu, selagi masih bernafas, selagi masih punya kudrat, apa pun yang berlaku selepas kita bermohon dan berusaha sebaik2 padanya, usah terlalu risau, hakikatnya, segalanya sudah pun tertulis. Katakan pada diri, pasti ada, yang lebih baik menantimu pada masa hadapan. Ya, sedang menanti.



MAKA BERSYUKURLAH SELALU!

" Dan diwajibkan ke atas kamu berperang, sedang kan kamu tidak menghendaki, boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, boleh jadi pula kamu  menyenangi sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. "[2:216]

At the end perjuangan yang pada mulanya, atau pun keadaan yang tidak kita suka,
Mesti InshaAllah akan jadi baik2 saja semuanya. Mesti.
Cuma tinggal lagi kita masih belum nampak akan hikmah2nya. Setuju, permulaan menghadapi ujian memang sesuatu yang memedihkan, sesuatu yang Sukar untuk diterima, bahkan Sukar untuk mencapai reda dalam hati.
Tapi, tak Mengapa lah, cuba amalkan sikap selalu bersyukur, sikap selalu senang dengan apa yang menimpa, sabar dahulu, tenang dan dengan lafaz bismillah, cuba jalan terus.

Hakikatnya itu lebih baik.

Kepada diri sendiri dan hati2 yang masih tak boleh nak 'brain' dengan keadaan yang menimpa diri, jangan takut, jangan bersedih. Allah itu, sentiasa bersama2.

Teruss menadah ilmu dan pengalaman dalam mendepani ujian, supaya kelak kita menjadi dalam kalangan hamba2 yang lulus ujian hidup di dunia.

Al-Mulk [67:2]

Maka bersyukur lah selalu!
Besar dan dalam sebenarnya makna tagline legend ni, walaupun hanya tiga patah perkataan sahaja.

Jazakillah khairan katsir ukhti, dah ter'sibghah' dengan sifat mahmudahmu!

#makabersyukurlahselalu
#ibrahhidup


Percaya Sampai Syurga - Prolog

Dia leka menulis sesuatu di komputer riba. Jemari laju menekan papan kekunci, menyamai kelajuan susunan kata-kata di dalam minda yang sedang...