“PRANGGG”
Bunyi kaca pecah secara tiba-tiba membuatkan Cikgu Hazizah tersentak, dia yang
sedang meyiang ikan untuk dimasak hidangan tengah hari meletakkan pisau yang
dipegangnya lantas segera berlari ke bilik anak lelakinya.
“Astaghfirullahaladzim Zaid!!”
Cikgu Hazizah terhenti di pintu bilik apabila melihat kaca berserakan di
seluruh ruang bilik. Cikgu Hazizah menghela nafas dan menggeleng-gelengkan
kepalanya. Bukan sekali anak lelakinya ini berkelakuan begini, malahan berkali,
mengikut emosinya ketika itu. Dengan berhati-hati, Cikgu Hazizah berjalan
menghampiri anak lelakinya yang sedang memandang ke arahnya dengan pandangan
kosong. Berapa titik air jernih turun dari kolam matanya mengenai kain pelikat
yang dipakainya.
Cikgu Hazizah memandang sayu
kepada satu-satunya anak lelakinya itu sambil mengusap kepalanya perlahan.
Sambil melabuhkan punggung di sebelah anak lelakinya, dia bertanya kepada
anaknya, soalan yang berkali ditanya, berkali juga tidak punya jawapan, tetapi
dibalas pula dengan soalan lain yang membuatkan Cikgu Hazizah sering bungkam.
“Kenapa Zaid? Ibu ada buat
salah ke pada kamu?” Dengan penuh kasih sayang, Cikgu Hazizah menyuapkan
lebihan makanan sarapan pagi Zaid ke mulut anak lelakinya itu, namun segera
tangannya ditepis oleh Zaid.
Cikgu Hazizah menangis
teresak-esak. Sejak kebelakangan ini, Zaid lebih banyak mendiamkan diri. Cikgu
Hazizah menghela nafas perlahan, ingatan nya terimbau kepada satu musibah yang
menimpa anak lelakinya itu hujung tahun lalu.
Waktu itu dia bersama suami,
Encik Haziq sedang sibuk membuat persiapan untuk menghadapi musim perayaan yang
bakal tiba beberapa hari lagi. Anak tunggalnya pula, Zaid sedang dalam
perjalanan pulang ke rumah mereka dengan menumpang kereta rakan sekolahnya oleh
sebab tempat tinggal mereka yang berdekatan.
Cikgu Hazizah sedang sibuk
mengacau kuah kacang kegemaran anaknya apabila telefon bimbitnya berbunyi.
Segera dia mengangkat panggilan dengan hati yang berbunga riang kerana
menyangka panggilan tersebut daripada anak lelaki kesayangannya. Serta merta
sudip di tangannya terlucut dari pegangannya sebaik sahaja mendengar berita
anak lelakinya baru sahaja terlibat dengan nahas kemalangan. Kemalangan yang
hampir meragut nyawa Zaid, kerana mengalami pendarahan di bahagian kepala
sehingga menyebabkan Zaid koma selama dua bulan. Kini, anak lelaki tunggalnya
itu mengalami kecacatan di bahagian kepalanya seumur hidup.
“Ibu”
Cikgu Hazizah tersentak dari
lamunannya. Segera dia berpaling menghadap Zaid. “Ya, Zaid?, kamu masih
marahkan ibu?”
“Ibu… Zaid… dah… dilupakan
ke?”
Cikgu Hazizah terdiam.
Beberapa patah perkataan yang keluar dari mulut anak lelaki tunggalnya itu
benar-benar meruntun perasaannya. Lantas air matanya gugur deras membasahi
pipinya.
*********
Zaid
duduk di meja belajar di dalam kelasnya sambil menyalin sesuatu di papan putih.
Seperti biasa, Zaid tidak akan keluar makan di dewan selera apabila tiba waktu
rehat. Bukan dia tidak lapar, tetapi dia malu, malu untuk berjumpa dengan
rakan-rakan dengan keadaan dirinya sebegini. Sepanjang masa, Zaid sentiasa
mengenakan songkok untuk menutup kecacatan di kepalanya. Sedang Zaid leka
menulis, tiba-tiba telinganya menangkap perbualan beberapa pelajar perempuan.
Salah satu suara kepunyaan mereka merupakan suara yang sangat dikenali Zaid.
Melalui tingkap dari dalam kelas
, Zaid melihat sekumpulan pelajar perempuan bertudung labuh berjalan di koridor
laluan kelasnya sambil berbual-bual. Pandangan Zaid terhenti pada sesusuk tubuh
yang amat dikenalinya dalam kalangan mereka. Tidak semena-mena, si gadis tinggi
lampai berkulit putih kemerah-merahan itu turut memandang kearahnya. Cepat-cepat
Zaid mengalihkan pandangannya. Zaid tiba-tiba berdebar. Dadanya berombak
kencang.
Apabila mereka hilang dari
pandangan, Zaid menghela nafas. Benar, sememangnya dia ada menaruh perasaan
pada salah seorang pelajar perempuan itu. Walaupun sememangnya dia maklum
bahawa pelajar perempuan itu telah pun menjadi perhatian ramai pelajar putera
di sekolahnya.
Dia tertanya-tanya,
mungkinkah suatu hari nanti si dia yang kuminati dalam diam akan menerima apa
yang ku rasakan pada dirinya? Adakah dia juga telah melupakanku?
Ahh,
berbual dengannya pun tidak pernah, inikan pula hendak meluahkan perasaan,
sudahlah Zaid, jangan berangan. Getus hatinya. Entah-entah dia tidak pernah pun
tahu tentang insiden yang menimpa diriku. Bukankah semua orang takut dengan
rupa ku sekarang? Semua orang menjauhiku, bahkan yang dahulu mengaku sahabat
pun sudah lama tidak menegurku. Apatah lagi bertanya khabar. Memang di mulut
mereka katakan masih mengingatiku, tapi sebenarnya tidak di hati mereka.
Seorang
gadis tinggi lampai berkulit putih kemerah-merahan,bertelekung warna biru firus
sedang duduk bersimpuh di atas sejadah sambil membaca surah kegemarannya,
Al-Mulk. Usai bacaannya, dia menadah tangan memanjatkan doa supaya bacaan
Al-Mulk yang diniatkan untuk orang tersayang yang telah pergi meninggalkannya
sampai kepada mereka. Dia meraup tangan ke muka dengan harapan doanya didengari
Yang Esa.
Sememangnya itulah rutin
gadis itu saban hari. Mendoakan semua kerabat dan rakannya yang telah pergi
menghadap illahi. Kini, di dalam doanya telah terselit satu lagi nama yang
cukup tidak asing lagi dalam diari hidupnya. Nama yang sering meniti di
bibirnya lewat doa dan sujudnya kepada Allah.
Si gadis perlahan bangun dari
simpuhnya, melipat telekung dan sejadahnya. Dia perlu membuat persiapan untuk pekerjaannya
esok hari, mendidik anak bangsa di sebuah sekolah yang pernah menjadi memori
terindah dalam kamus hidupnya.
Esok hari, dia akan memulakan
sesi pengajarannya dengan bercerita tentang seorang pemuda yang sering memberikan
inspirasi kepada diari hidupnya dalam diam, sehinggalah dirinya dijemput illahi
dalam salah satu kemalangan yang mencabut nyawanya.
***********
“Anak-anak
cikgu, kamu nak tahu tak mengapa cikgu ceritakan tentang pemuda ni kepada kamu
semua?”
Semua pelajar Tingkatan 4
Abrar diam. Mereka saling berpandangan. Ada yang berbincang sesama mereka dan
ada yang menggeleng-gelengkan kepala.
Guru muda yang memakai tudung
labuh koshibo warna biru firus itu mengukir senyum. “Pemuda ni sebenarnya
pernah terlibat dengan satu kemalangan yang hampir meragut nyawanya sewaktu dia
berumur 16 tahun. Kemudian, ditakdirkan, dia berdepan dengan satu lagi
kemalangan dalam hidupnya. Pada usia 20
tahun. Namun kali ini, rupanya Izrail telah pun siap menunggu untuk
mencabut nyawanya. Allah menangguhkan usianya selama 4 tahun untuk dia mempersiapkan
dirinya sebelum bertemu menghadap Illahi buat selamanya. Rupa-rupanya,
kematiannya adalah kematian yang tertangguh. Namun, sungguh Allah lebih tahu
yang terbaik apabila kemalangan kedua dalam hidupnya itu telah meragut nyawa
kedua orang tuanya bersama.”
Guru muda itu menelan liur.
Segera dia menyeka air mata yang mengalir deras di pipinya. “Sungguh, kematian
akan datang bila-bila masa, tanpa diduga.”
“Cikgu, !”
“Ya, Hafiz?”
Usai membacakan Al-Fatihah
untuk pemuda itu dan keluarganya, salah seorang muridnya mengangkat tangan untuk
bertanya.
“Siapa nama lelaki yang
terlibat dalam nahas kemalangan ni? Kawan cikgu ke?”
Guru muda itu mengulum
senyum.
Perlahan dia menuturkan, “Ya,
namanya… Zaid.”
No comments:
Post a Comment