Wednesday 24 May 2017

29 Syaaban


“ Jangan lari!!” Jeritan nyaring dari suara seorang kanak-kanak lelaki berumur 8 tahun itu mengejutkan seisi warga rumah anak-anak syurga yang terletak di hujung kota di ibu negara Malaysia itu. Serentak berpasang-pasang mata mengalihkan pandangan mereka kepada dua orang kanak-kanak lelaki yang saling berkejaran sesama sendiri di luar perkarangan rumah. Ada yang menggeleng-gelengkan kepala, ada juga yang bersorak keriangan melihat keceriaan mereka. Tidak terkecuali sepasang mata tua yang redup pandangannya memandang sambil mengukir senyuman dari kejauhan.

            Begitulah rutin dua orang pelajar lelaki tersebut saban waktu, warga rumah tersebut sememangnya sudah maklum dengan keriuhan tidak berkesudahan mereka berdua.  Addien dan Aqil. Dua orang kanak-kanak lelaki yang ditimpa musibah sejak kecil dek kehilangan kedua-dua ibu-bapanya sewaktu kunjungan mereka ke Gaza, Palestin. Mereka ditakdirkan untuk dipertemukan dengan Ustaz Faqih yang pada ketika itu merupakan peserta program yang terselamat sewaktu penempatan kem mereka dibedil sang Zionis.

Gaza, 29 Syaaban 1430 H

            Ustaz Faqih menyapu mukanya yang berdebu sambil berusaha bangun dengan kepayahan. Dia berpaut di tembok yang masih kukuh sambil berusaha mencari jalan keluar dari runtuhan itu sambil mengharap kelibat rakan-rakan seperjuangannya muncul di sisinya.

Dalam kepayahan dan kesakitan di tangannya, dia menolak batu-batu yang menghalang laluan menuju ke pintu luar.

“Ergghhh…”

Suara mengerang yang muncul di belakangnya membuatkan Ustaz Faqih tersentak. Lantas dia berpaling ke belakang. Di hadapannya kini seorang lelaki yang cukup dikenalinya terlantar di lantai rumah sambil mengerang kesakitan. Ustaz Faqih segera menuju ke arah sahabatnya itu dalam kepayahan. Bercucuran air matanya apabila melihat kedua-dua tangan sahabatnya itu hancur serta dadanya yang dipenuhi dengan darah.
Ustaz Faqih tidak dapat menahan esakan tangisnya apabila melihat sahabatnya itu masih tenang dan berusaha untuk menghadiahkan senyuman kepadanya.

Dalam kepayahan, sahabatnya itu berusaha menuturkan sesuatu kepadanya, “Faqih… tolong.. jagakan Aqil… dan…. Addien…”

Ustaz  Faqih tersentak. “Addien??” 

“Aiman.. tak dapat.. diselamatkan… akh… jagakan mereka…”

Ustaz Faqih mengetap bibirnya, Aiman, sahabat sepengajian nya juga telah kembali kepadaNya dalam keadaan yang paling diredaiNya. Makin kuat tangisan Ustaz Faqih apabila menyedari pada waktu itu, di pangkuannya, tubuh syuhada itu sudah terkulai layu dengan senyuman manis menghiasi wajahnya. 

Petaling Jaya, Malaysia

            “Assalamualaikum, Ustaz.” Lamunan Ustaz Faqih terhenti apabila bahunya disentuh seseorang. Wajah tua itu lekas berpaling.

“Ahh.. Waalaikumussalam.. kamu rupanya Halim..” Ustaz Faqih menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tersenyum.

“Maaf ustaz, harini ana lewat sedikit sebab ada banyak urusan yang perlu diselesaikan. Hari ini juga, Yayasan kita mendapat sumbangan dari seorang pengusaha kosmetik terkemuka tanah air untuk persiapan Ramadan dan Syawal nanti, Alhamdulillah ala kulli hal!”
Ustaz Faqih melabuhkan punggung di kerusi berdekatan sambil mempersilakan anak muda di hadapannya duduk.

“Segala pujian hanya bagiNya, Semoga Allah sentiasa mengukuhkan perjalananmu, anak muda.” Ustaz Faqih menepuk bahu Halim sambil menunjuk kepada dua orang kanak-kanak lelaki yang asyik berkejaran dan bermain sedari tadi.

“Mereka punya masa hadapan yang sangat cerah seperti kamu suatu ketika dulu,Halim. Mereka cepat belajar. Ana sengaja biarkan mereka mengelola halaqah mingguan bersama anak-anak lain sebab ana lihat sendiri kesungguhan mereka untuk belajar perkara baharu setiap hari. Tarbiyah.. benar-benar mendewasakan mereka.. bila ana dah tak ada nanti.. sambung amanah abi mereka untuk jaga mereka berdua.”

“InsyaAllah.. ana janji Ustaz.. ana akan jaga mereka dengan baik sampai satu tahap mereka benar-benar menjadi seorang ikhwah. Betul Ustaz, ana pun setiap minggu tebuk mereka berdua, prestasi sentiasa memberangsangkan, saling berlumba secara sihat setiap hari. Semoga mereka mampu jadi seperti Musa dan Harun yang saling menguatkan.”

Halim, pemuda tinggi lampai berkaca mata, berkulit sawomatang berumur 25 tahun itu, sudah menetap bersama Ustaz Faqih sejak berumur 5 tahun lagi apabila ahli keluarganya serta kedua orang tuanya terkorban dalam kemalangan jalan raya. Bapa kepada Halim merupakan kenalan rapat Ustaz Faqih dan disebabkan Halim memilih untuk berada di bawah jagaan Ustaz Faqih, ahli keluarganya yang lain tidak mampu lagi untuk menghalang. Anak muda berkelulusan Bahasa Inggeris di universiti terkemuka tanah air ini sudah aktif terlibat dengan misi-misi kemanusiaan sejak usia nya menginjak 15 tahun apabila sering menjadi teman setia Ustaz Faqih dalam misi kemanusiaan yang dijalankannya. Memandangkan Ustaz Faqih adalah antara sebilangan kecil ikhwah senior yang ditakdirkan selamat dalam setiap misi kemanusiaan yang mereka jalankan, Ahli Persatuan Keamanan Sedunia masing-masing sebulat suara untuk membentuk Rumah Yayasan Ikhlas di ibu kota Kuala Lumpur sebagai tulang belakang kepada persatuan mereka, dan dikendalikan sendiri oleh Ustaz Faqih dengan bantuan Halim.

“Addien, Aqil! Cepat, masa kamu berdua sudah tiba!” Laungan Ustaz Faqih yang tegas itu mengejutkan mereka berdua.

Tanpa banyak bicara, mereka segera berlari menaiki anak tangga menuju ke tingkat atas rumah. Tidak sampai 10 minit kemudian, tercegat kemas dua orang kanak-kanak lelaki comel berpakaian jubah putih dan berkopiah kemas sambil tangan mereka menggenggam erat naskhah quran terjemahan masing-masing.

“Hari ini giliran siapa dulu dengan Abang Halim, Ustaz?”

Aqil yang proaktif seperti biasa mengajukan soalannya kepada  Ustaz Faqih yang sudah memakai cermin mata bulatnya sambil menggosok-gosok hujung rotan buluh yang setia bersamanya.
Ustaz Faqih tidak menjawab tetapi mengarahkan telunjuknya kepada Addien.

Addien menelan liur. Hari ini dia tidak akan kalah dengan Aqil seperti selalu!

Halim di hadapannya tersenyum lebar memandangnya dengan mata bersinar.

“Bismillahirrahmanirrahim…”

Bergema ruang pengajian itu dengan satu suara kecil nyaring mengalunkan Surah Al-Baqarah ayat 155.
“Dan kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan,kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” [2: 155]

Burung-burung di luar rumah yang bertenggek di dahan pohon sena saling bercicipan tidak henti-henti seakan turut berzikir bersama alunan ayat suci dariNya yang dilantunkan oleh Addien.
Petang yang dingin itu menyaksikan Rumah Yayasan Ikhlas bergema dengan ruh kesungguhan anak-anak muda yang dipilihNya untuk meneruskan perjuangan Sang Nabi tercinta di muka bumi Malaysia ini.
“Yeayyyyy! Ana menang hari ni!” Addien berteriak sambil menolak bahu sahabatnya itu.
Aqil mengukir senyuman sumbing sambil mengelak.
“Lagi 2 hari menuju Ramadan ni akh, apa matlamat enta?” 

Addien melabuhkan punggung di sebelah Aqil yang mendongak memandang ke langit malam yang terbentang luas.
Sesiapa sahaja yang duduk bersama mereka berdua pasti tidak percaya bahawa mereka hanyalah kanak-kanak malang yang kehilangan ibu bapa dan keluarga tercinta, dan hanya berumur 8 tahun dek kerana isi perbualan mereka yang ketara berbeza daripada kanak-kanak lain seusia mereka. Seawal usia mereka berdua menginjak 3 tahun, Ustaz Faqih telah mengajar mereka membaca dan menghafaz Al-Quran sehinggalah mereka berjaya khatam hafazan masing-masing pada usia 8 tahun. Bukan itu sahaja, Ustaz Faqih turut membawa mereka berdua ke program-program kemanusiaan di serata negara yang telah mengajar mereka berdua erti kehidupan, sehinggalah pada suatu hari, Ustaz Faqih berjaya mengasaskan Rumah Yayasan Ikhlas yang mengumpulkan anak-anak yatim kepada sahabat-sahabat seperjuangannya yang telah terkorban dalam misi kemanusiaan yang mereka sertai.
Sambil memainkan jarinya dengan rumput yang menghijau itu, Addien menundukkan pandangannya. 

“Ana… nak tingkatkan tahajjud setiap hari, nak bantu Abang Halim dan Ustaz Faqih lebih banyak dan nak doakan keluarga kita sentiasa dalam naungan rahmatNya di dunia sana..”
 Aqil mengangguk sambil tersenyum. Kolam matanya sudah mula bergenang. Sudah 8 tahun mereka berdua menumpang kasih Ustaz Faqih dan meraikan Ramadan serta Syawal bersama warga rumah Yayasan Ikhlas yang lain. Tatkala kanak-kanak sebaya mereka di luar sana sibuk merancang persiapan Ramadan dan Syawal bersama keluarga tercinta, mereka di sini bersama rakan seperjuangan tidak pernah berpeluang merasai nikmat itu.
Bukan mereka tidak akur dengan takdir, Cuma kadangkala jiwa mentah mereka sering terusik dan emosi mula menghantui mereka apabila melihat kebahagiaan kanak-kanak lain.

“Dahlah, nangis lama-lama pun tak ada guna nya kalau kita tak berbuat yang terbaik di sini untuk kebaikan mereka di sana, kan akh?”
Aqil mengesat air mata yang mengalir di pipinya sambil terus menghalakan pandangannya ke arah langit yang terbentang luas.
“Ana mahu jadi seperti Uwais Al Qarni yang ikhlas dalam kecintaannya kepada agama ini, keikhlasan yang sukar digambarkan itulah yang sepatutnya jadi impian kita semua sehingga bila-bila pun. Dan.. esok sempena hari-hari terakhir sebelum menuju Ramadan, ana ada something nak ‘bagi’ pada enta.”
Aqil sengih lebar sambil gilirannya pula menolak bahu Addien.
Addien tertolak ke hadapan dan hampir-hampir terjatuh dari bukit yang mereka duduki. Segera dia memandang tajam ke arah Aqil.
Aqil yang sudah menghidu tindakan seterusnya daripada Addien mula bangun perlahan-lahan, mengatur langkah untuk meninggalkan sahabatnya itu.

“AQILLLLLLL!!”
Suara nyaring Addien sekali lagi membuatkan Ustaz Faqih yang sedang mengulang bacaan hafazannya terhenti seketika, lantas dia menggeleng-gelengkan kepala melihat di kejauhan taman tasik di hadapan rumah Yayasan Ikhlas itu, dua orang kanak-kanak lelaki sedang kejar-mengejar antara satu sama lain.





Rumah Yayaysan Ikhlas, 29 Syaaban 1438 H
Kelihatan beberapa orang kanak-kanak lelaki mula membentuk bulatan, lutut bertemu lutut sambil menghalakan pandangan mereka kearah seorang kanak-kanak lelaki lain seusia mereka yang berpakaian lengkap jubah putih bersama kopiah kegemarannya. Semua mata seakan-akan menanti suara dari tubuh kecil itu.
“Baik InsyaAllah, kita mulakan halaqah kita malam ni dengan Ummul Furqan Al-Fatihah..”
Tidak jauh dari lingkungan itu, seorang kanak-kanak lelaki berkulit cerah, berserban kemas dan berjubah putih  memandang sahabatnya yang sedang mengetuai halaqah mereka pada malam itu sambil tersenyum lebar.


Percaya Sampai Syurga - Prolog

Dia leka menulis sesuatu di komputer riba. Jemari laju menekan papan kekunci, menyamai kelajuan susunan kata-kata di dalam minda yang sedang...