“Sadaqallahalazim...” Seorang gadis bertudung labuh warna biru
firus baru sahaja menamatkan bacaan tilawahnya. Petang itu, surah Ad-Dhuha
mengakhiri bacaan tilawahnya. Surah yang mempunyai seribu satu ibrah itu
merupakan antara surah yang cukup digemarinya. Kerap kali ayat-ayat dari surah
itu meniti di bibirnya tiap kali dia ingin mencari kekuatan. Seusai melipat
telekung dan sejadah, dia bangkit meninggalkan tempat kebiasaan mengulang
hafazannya, iaitu di sudut hujung dalam surau kepunyaan asrama Tahfiz Ulul Albab Darul Firus itu. Sambil
melangkah keluar dari surau, pandangan nya melilau mencari teman-teman yang
selalu bersamanya saban petang untuk mereka bersama menikmati makan malam di
dewan selera asrama. Tiba-tiba, “Insyirah!” Segera dia mencari arah punca
suara. Pandangannya terhenti pada sesusuk tubuh yang berdiri tidak jauh
darinya. Izzah, gadis kelahiran pulau pinang yang sentiasa ceria dan happening itu merupakan antara sahabat
pertama yang dikenalinya di pusat tahfiz ini sehinggalah perhubungan mereka
menjadi kian erat dari tahun ke tahun.“Insyi dah selesai murajaah dan tilawah? Jom makan bersama, yang lain dah tunggu di
dewan selera.” Insyirah tersenyum dan mengangguk lantas segera mengekori
temannya menuju ke dewan.
Insyirah. Nama yang seringkali
menimbulkan rasa lapang di hati sesiapa yang menyebutnya. Bukan semata-mata
kerana maksud yang terkandung di sebalik nama yang indah itu, tetapi juga
kerana si empunya nama sememangnya terkenal dalam kalangan pelajar sekolah
Tahfiz Ulul Albab Darul Firus dengan budi perkerti, akhlak yang sangat indah
dan menyenangkan. Bukan setakat itu, Insyirah walaupun terkenal dengan sifat
pemalunya, namun dia juga merupakan salah seorang yang dipercayai dalam
kalangan guru-gurunya untuk menjadi Penolong Ketua Umum di sekolahnya. Insyirah
yang sentiasa dihormati kerana kecerdasannya, ketegasannya, keelokan budinya. Orang
kata, segala nilai-nilai yang ada pada dirinya merupakan pakej yang lengkap
untuk menjadi seorang muslimah sejati. Insyirah merupakan anak sulung daripada
3 orang adik beradik. Dia yang berumur 17 tahun merupakan tempat bergantung
kedua-dua orang adik lelakinya, Iman dan Amin selepas kedua-kedua orang tua
mereka meninggal dunia dalam satu nahas jalan raya ketika Insyirah berumur 13
tahun. Kini, telah pun genap tahun ke 5 orang tua Insyirah meninggalkan mereka
bertiga. Mujur bapa saudara mereka, Encik Halim sudi menyara mereka adik
beradik, dan bapa saudara mereka itulah tempat menumpang kasih sayang yang
telah lama hilang dari kehidupan mereka. Walaupun Insyirah kehilangan tempat
bergantung kasih sayang dari kedua orang tuanya, selain bapa saudaranya dia
turut dikurniakan beberapa orang teman yang setia bersamanya susah dan senang.
Ada enam orang semuanya yang terdiri dari latar belakang keluarga yang
pelbagai. Izzah, Mastura, Emilia, Nisa, Hanna dan Hani. Sememangnya seluruh warga
tahfiz itu maklum dengan betapa eratnya hubungan antara mereka bertujuh. Iman
dan Amin pula yang masing-masing berumur 13 dan 14 tahun turut bersekolah di sekolah
yang sama. Betapa beruntungnya Encik Halim dan isterinya kerana mempunyai
anak-anak saudara yang soleh solehah. Ternyata arwah adik lelakinya itu telah
meninggalkan permata-permata yang terlalu berharga buat dirinya.
Beberapa bulan sahaja lagi pelajar Tahfiz Ulul Albab Darul Firus
akan menduduki peperiksaan SPM, dan kesibukan mengulangkaji pelajaran dan kelas
tambahan saban hari itu tidak pernah menghalang mereka untuk tetap berterusan
mengulang hafazan. Insyirah turut tidak ketinggalan dengan rutin harian nya
mengulang hafazan dan mengulangkaji pelajaran. Hari itu, angin sepoi-sepoi
bahasa meniup lembut tudung bawal hijau yang dipakainya. Insyirah dan
teman-temannya khusyuk menelaah pelajaran masing-masing. Tiba-tiba, salah
seorang daripada mereka memecah kesunyian antara mereka bertujuh. “Fuh, kenapa
ana rasa berdebar sangat eh sejak kebelakangan ni? Walaupun setiap hari kita
sama-sama ulangkaji pelajaran, ana tetap rasa tak bersedia untuk hadapi
peperiksaan yang besar ni.” Yang lain sejak tadi khusyuk menatap nota
masing-masing lantas menghalakan pandangan kepada sahabat mereka yang seorang
itu. Izzah, memang terkenal dalam kalangan mereka yang paling extrovert dan ceria.
“Eh
Insyi, kenapa ya, hang selalu tenang sangat, walaupun dalam situasi ‘genting’
sekarang ni?” Izzah meluahkan rasa hairan yang terbuku dalam hatinya sejak
tadi. Insyirah hanya menguntum senyum. Dia membalas perlahan. “Izzah, hang nii,
macam baru harini kenal ana kan? Ana ni nampak aje tenang tau, luaran. Tapi
dalam hati, entah macam mana bergelojak Allah aje yang tahu.” Izzah buat muka.
“Eleh, bergelojak kononnn, ehem, selalu setiap kali exam kenapa nama hang aje
yang terpampang kat senarai nama kelas pertama anugerah pengetua?”
“Allahu,
itu rezeki namanya Izzah, ana usaha aje sehabis baik, yang beri semua hasil tu
Dia yang selayaknya.” Teman-teman yang lain sudah mula tersengih-sengih apabila
mereka lihat wajah Insyirah sudah mula merah padam kerana malu. Lantas tika itu
juga tawa mereka berderai. Taman tasik di sebelah asrama mereka hidup dengan
kehadiran anak-anak muda yang jelas matlamat mereka melaksanakan setiap perkara
kerana-Nya.
Iman, adik lelaki Insyi yang berumur
13 tahun dikejarkan ke hospital. Iman yang sedang asyik bermain bola sepak
bersama rakan-rakannya tiba-tiba jatuh pengsan apabila hendak membalas sepakan
dari rakannya. Insyi yang sedang tekun mendengar pengajaran gurunya terganggu
seketika apabila guru kaunselornya, Cikgu Hafiz masuk ke dalam kelas lantas
meminta izin untuk bertemu dengan Insyi. “Insyirah, maaf kerana mengganggu
konsentrasi kamu belajar, tetapi, cikgu rasa perkara ini perlu diberitahu
kepada kamu.” Insyirah diam. Dadanya berombak kencang tiba-tiba. Dia seakan
boleh mengagak berita yang akan keluar dari mulut Cikgu Hafiz. Cikgu Hafiz
perasan akan perubahan yang berlaku pada wajah Insyirah. “Insyirah, maafkan
cikgu, adik kamu, Iman baru sahaja dikejarkan ke hospital kerana pengsan
sewaktu bermain bola pada sesi Pendidikan Jasmani pagi tadi, Alhamdulillah dia
sudah sedarkan diri dan keadaannya stabil.Cuma..” Cikgu Hafiz tidak meneruskan
ayatnya. “Cuma dia mempunyai satu penyakit kanser Tahap 1.” Insyirah tiba-tiba
menyambung. Cikgu Hafiz tersentak. Tanpa menunggu Cikgu Hafiz meneruskan
kata-katanya, Insyirah pantas becerita. “ Iman memang sudah dikesan mempunyai
kanser barah otak hujung tahun lalu sewaktu dia berumur 12 tahun, dia sering
mengalami masalah ingatan dan seringkali jatuh pengsan kerana pening tiba-tiba.
Bapa saudara saya sudah maklum akan perkara ini, kami bersyukur kerana penyakit
kanser Iman dikesan sejak awal. Sekarang, Iman masih dalam proses menjalani
rawatan di hospital sebenarnya, Cuma adik saya.. Iman tu, memang ‘berlagak’
seolah-olah dia seorang manusia normal yang sihat sejahtera.” Cikgu Hafiz
menggelengkan kepalanya. “Insyirah, tolong jangan rahsiakan apa-apa lagi
daripada kami, kami sedia membantu kamu adik- beradik setulus hati, kami tidak
sanggup kehilangan permata yang terlalu berharga di Pusat Tahfiz ini.” Insyirah
tunduk. “Maafkan saya cikgu, memang niat saya tidak mahu menyusahkan orang lain
selagi kami berkemampuan.” Cikgu Hafiz mula mengukir senyum. “Insyirah, kamu
mesti berjanji dengan saya, kamu tidak akan mengecewakan warga Tahfiz ini
dengan keputusan SPM kamu kerana
menanggung ujian seberat ini. Buktikan pada diri kamu yang kamu mampu tabah
melawan kesusahan ini dan menghadiahkan keputusan SPM yang cemerlang kepada
diri kamu dan kami guru-guru!”
Peperiksaan SPM
baru sahaja berlalu, seluruh pelajar Tahfiz Darul Firus menyambut kejayaan
mereka mengharungi peperiksaan dengan solat sunat hajat beramai-ramai. Insyirah
dan sahabat-sahabatnya tidak ketinggalan memohon kepada yang Maha Esa agar
urusan penandaan kertas peperiksaan mereka berjalan dengan lancar. Seusai
solat, Insyirah dan sahabat-sahabatnya berjalan beriringan keluar dari surau
menuju ke tempat kebiasaan mereka berkumpul. Taman Tasik Seri Kayangan yang
dipenuhi pepohon sena yang sedang berbunga mekar. Mastura, sahabat Insyirah
yang kecil molek mula mengutip bunga-bunga yang bertaburan di sekitar pohon
tempat mereka selalu berteduh. “Seronok kan, kalau ukhuwwah kita mekar seperti
bunga ni, sampai bila-bila.” Insyirah dan yang lain menoleh ke arah Mastura
yang leka mengutip bunga sambil berceloteh. Izzah tiba-tiba bersuara, “Mas, apa
yang hang merepek nii, kan kita memang dah berjanji nak jaga baik-baik ukhuwwah
ni sampai ke syurga-Nya InsyaAllah? Takda apa yang perlu dirisaukan kalau hati
masing-masing dah terikat dengan kasih sayang yang dinaungiNya. Nak ana ulang
lagi Surah Anfal ayat 63 tu ka? Tak gitu, Insyi?” Insyi yang sedari tadi diam
memerhati lantas mengangguk. “Memang benar. Kita memang berjanji untuk jaga
ukhuwwah yang dibina sehingga ke syurga. Tapi, hati manusia sentiasa
berubah-ubah, dan pelbagai lagi cubaan dan halangan yang bakal kita semua hadapi
bila dah melangkah ke alam universiti nanti. Perkara yang paling kita tak mahu
adalah hadirnya rasa antara kita sudah tidak penting lagi dalam diri
masing-masing. Kita kena sentiasa berusaha untuk jaga ukhuwwah ni dengan saling
berhubung dan mendoakan antara satu sama lain bila dah berjauhan nanti. Kalaupun
tak berhubung, kita mesti saling mendoakan. Selebihnya, Allah yang tolong
jagakan untuk kita sesama kita.” Emilia yang khusyuk membaca novel siri penulis
kegemarannya, Hlovate, segera mengangkat mukanya dari buku lantas mendongak ke
langit. Antunna nak tahu tak, harapan tu kan, selalu akan ada. Emi selalu
tengok langit kalau sedih. Sebab Emi tahu harapan mesti ada sebagaimana langit
yang seringkali muncul kebiruan selepas malam yang gelap pekat memenuhi sekalian
alam. Antunna, pandanglah langit selalu sekiranya salah seorang daripada kita
terpisah, salah seorang daripada kita tidak jujur, salah seorang daripada kita
sudah benar-benar jauh. Dengan harapan dan doa, dia akan kembali seperti
dahulu, bersama kita, menjaga ukhuwah ni sehingga ke syurga.” Tiba-tiba, Izzah
bertepuk tangan, “PAPP, PAPP” “Fuh, tak pernah tak haru mendengar falsafah enti
ni, Emi, hehehehe. Ni semua membuatkan ana nak rajinkan diri jugak membaca
novel-novel ‘ilmiah’seperti tu,” Nisa mencelah. “Weyh Izzah, tak habis-habis
hang mengusik Emi kan? Hang tu pun apa kurangnya, dalam hati ada taman beb!
Macam ana tak tahu hang selalu curi-curi tulis diari waktu kami semua sedang
tidoq kann, hahaha” Nisa mengambil buku berkulit keras tebal warna maroon dari
belakang Izzah lantas mengangkatnya. Izzah blushing.
Yang lain sudah mula ketawa terbahak-bahak. “Nisaaaaaaaaa!!!” Berlakulah adegan
kejar mengejar antara dua sahabat di taman Tasik yang permai. Petang itu, pohon
sena yang lebat berbunga menjadi saksi pertemuan terakhir antara mereka
Insyi bersiap-siap dengan jubah
hijau gelap serta tudung bawal turki corak dahlia yang digemarinya. Tidak sabar
rasanya untuk bertemu dengan sahabat- sahabat seperjuangannya. Bayangkan, cuti
selama tiga bulan lebih sementara menunggu keputusan keluar mereka tidak
langsung berpeluang untuk bertemu kerana jarak tempat tinggal yang jauh dan
tuntutan lain. Ada yang bekerja, mengambil lesen memandu dan tak kurang juga
yang sudah menyambung pengajian melalui laluan pantas. (baca: fast track) di salah sebuah universiti
awam.
“Insyi,
kamu dah sedia? Jom segera, Pakcik mahu hantar adik kamu ke hospital pula
selepas ini.” Insyi tersedar dari lamunannya lantas segera turun ke tingkat
bawah. Terlihat bapa dan ibu saudara kesayangannya tersenyum manis kepadanya.
Sambil bersalaman dengan Puan Faridah, ibu saudaranya, sempat berpesan. “Insyi,
apa-apa juga keputusan yang kamu terima, kami juga akan terima dengan lapang
dada.” Insyi senyum. “Makcik, insyaAllah, moga segalanya baik-baik saja.Insyi
dah serahkan segalanya pada Dia.”
Terdengar
riuh dan esak tangis di dalam dewan
Pusat Tahfiz itu. Ada yang menangis kegembiraan, tidak kurang juga yang
menangis kerana kesyukuran. Insyi sedari tadi melilau pandangannya mencari kelibat
rakan-rakannya namun seperti tiada seorang pun yang kelihatan. Gelagatnya itu
mendapat tumpuan Cikgu Hafiz. Cikgu Hafiz lantas mengatur langkah menuju tempat
Insyirah berdiri. “Assalamualaikum Insyirah,” Insyirah berpaling. “Ehh cikgu
Hafiz! Apa khabar cikgu?” Cikgu Hafiz membalas, “Alhamdulillah saya baik-baik
sahaja, ohya, bagaimana dengan keputusan kamu?” Cikgu Hafiz sengaja mengukir
senyuman lebar sambil matanya melirik kepada slip peperiksaan yang dipegang
Insyirah. Insyirah tersipu malu. Lantas dia menyerahkan sendiri slip
peperiksaan tersebut kepada cikgu Hafiz. “Terima kasih untuk segala nasihat dan
dorongan cikgu kepada saya selama ini, anggaplah keputusan ini sebagai hadiah
buat cikgu dan warga Tahfiz.” Cikgu Hafiz menyambut slip dari tangan Insyirah
lantas terus mengucapkan hamdalah tidak putus-putus sebaik sahaja matanya
tertancap pada jumlah bilangan A+ yang
berderet di slip kepunyaan Insyirah. “Tahniah Insyirah,” Cikgu Hafiz menyeka
air mata yang mengalir di pipinya.
Setibanya
di rumah, Insyirah mendapat khabar berita tentang keputusan SPM
sahabat-sahabatnya. Kesemua mereka berjaya memperoleh straight A dan Insyirah
lah orang yang terlalu gembira dengan keputusan mereka. “Kenapa antunna tak
datang sama ambil result pagi tadi?”
Soal Insyirah sambil menambah emotikon sedih pada mesej ringkas whatsapp di
group kepunyaan mereka. Tidak sampai beberapa saat, muncul mesej balasan dari
teman-temannya. “Insyiiii tahniahhh awakkk!!, maaf Izzah tak dapat nak hadir
sebab ada urusan kerja yang tak dapat dielakkan. Nah bunga ros untuk awak.hihi.”
–Izzah. Insyirah menggelengkan kepalanya membaca mesej dari Izzah sambil
tersenyum lebar. “Tak habis-habis dengan bunga ros dia.” Mesej lain muncul.
“Haii Insyii, mashaa Allah Insyiii, ‘pengsan’ ana tengok result enti hahaha
tahniah Insyi sayangg, btw maaf tak dapat hadir jugak sebab ada ujian memandu
hariniii,” –Mastura. Nisa, Emilia, Hanna dan Hani membalas perkara yang serupa.
Walaupun Insyi sedikit kecewa, namun kekecewaannya sedikit terubat apabila kesemua sahabatnya memberikan respon
balas dan merancang untuk berjumpa dalam masa yang terdekat sebelum
masing-masing melangkah ke alam baharu. Sekali lagi, keadaan tidak mengizinkan
untuk mereka bertemu atas kekangan masing-masing. Insyirah pasrah dan mereka
berjanji untuk saling berhubung selepas bermula kelas di universiti kelak.
10 Julai 2015. Insyirah diterima
masuk ke sebuah Kolej Mara yang terletak di Barat tanah air dengan tajaan penuh
dari pihak Majlis Amanah Rakyat. Sebelum melepaskan Insyirah di Kolej Mara
tersebut pada hari pendaftarannya, Pakcik Halim sempat berpesan, “ Insyirah,
pakcik tahu kamu akan jaga diri kamu baik-baik walau di mana pun kamu berada,
tapi pakcik tetap tak akan tinggalkan pesanan untuk pandai-pandailah kamu
memilih dengan siapa kamu berkawan. Kalau lebih baik, carilah rakan-akan
seperti di Pusat Tahfiz dulu. Ingat, berusahalah untuk istiqamah beramal dengan
apa yang kamu pegang dalam hidup. Pakcik dan Makcik sentiasa mendoakan kamu.”
Insyirah membalas. “Baik InsyaAllah Pakcik. Saya akan cuba jaga baik-baik
prinsip yang saya pegang dalam hidup. Di mana pun saya pergi. Halalkan
segalanya ya, sepanjang Pakcik dan Makcik bersusah-payah untuk kebajikan kami
adik beradik.” Insyirah tidak dapat menahan kolam matanya yang bergenang sejak
tadi dari tumpah membasahi pipinya. Dia beralih kepada adiknya, Iman dan Amin
sambil bersalaman. “Doakan kakak, Jangan nakal-nakal dan jaga Pakcik Makcik
baik-baik.” Iman dan Amin mengangguk dan memeluk erat kakak kesayangan mereka.
Sambil
berjalan menuju pulang ke asrama kolej, Insyirah masih lagi mengesat air mata
yang bercucuran sejak tadi membasahi pipinya. Entah kenapa, dia merasakan ada
sesuatu yang tidak kena yang akan berlaku pada dirinya sepanjang perjalanan ke
kolej sebentar tadi.
Sebulan
berlalu. Kelas Kimia pada petang itu berjalan seperti biasa. Usai kelas,
Insyirah seperti biasa mengatur langkahnya menuju ke surau untuk bersolat asar
dan murajaah hafazannya. Waktu yang bersisa sebelum maghrib menjelma akan
dimanfaatkan sebaiknya untuk mengulangkaji pelajaran dan menyiapkan assignment yang bertimbun. Insyirah yang
biasa jalan berseorangan ke mana sahaja dia pergi rupa-rupanya mendapat tumpuan
beberapa pelajar perempuan di kelasnya. Salah seorang daripada mereka bercadang
untuk berkenalan dengan Insyirah. Tiba-tiba seorang daripada mereka menyampuk.
“Eh, biar betul kau? Nak kenal dengan budak tudung labuh macam langsir tu?? Eii
korang pergilah, aku tak sanggup nak terkena tempias alim dia. Sambil
membetul-betulkan hujung shawl yang dipakainya, dia berjalan meninggalkan
rakan-rakannya.
“Ehem.
Assalamualaikum, awak ni Insyirah kan? Maaf mengganggu, saya lihat awak selalu
jalan seorang. Awak ada masalahkah?, Oh btw, saya Amirah, dan yang ni
Syahirah.” Insyirah yang sedang berjalan menuju ke surau disapa oleh dua orang
pelajar perempuan sekelasnya. Sambil memberikan senyuman, dia membalas.
“Waalaikumussalam Amirah dan Syahirah. Eh tak mengganggu pun, saya memang suka
jalan seorang diri, bukan apa, mahu kejar masa kerana banyak perkara untuk
diselesaikan kerana di sini semua ‘laju’, jadi saya yang agak ‘lambat’ ni
kenalah belajar buat kerja cepat-cepat. Hehe.” Insyirah menggaru kepalanya yang
tidak gatal. Gadis dua orang yang berada di hadapannya saling berpandangan.
Amirah yang sejak tadi memerhati pakaian Insyirah yang bertutup dari atas
hingga bawah membandingkan baju t-shirt lengan pendek yang dipakainya beserta
inner hitam untuk menutup lengan. “Oh begitu, bukan apa, kami ni sejenis yang
suka berkawan, jadi kalau ada apa- apa untuk kami bantu, beritahu saja ya!”
Amirah membalas sambil meminta diri untuk ke kantin makan selepas mereka
bertukar nombor telefon.
Insyirah
meletakkan beg dan fail yang digalasnya sambil mindanya ligat berfikir.
Ingatannya terus terbawa kepada 6 orang sahabatnya yang jauh di perantauan di
seluruh Malaysia dan luar negara. Rindu, namun Insyirah pasti dirinya termasuk
mereka bertujuh walaupun jarang berhubung antara satu sama lain, hati mereka
sering terpaut. Seusai murajaah hafazannya, Insyirah beralih pula untuk
menyelesaikan assignment. Namun dia mendapati dirinya sering tidak fokus kerana
asyik memikirkan perbualan antara dirinya dan rakan sekelasnya sebentar tadi. “
Mungkin, aku boleh berkawan dengan mereka untuk sedikit demi sedikit mengajak
mereka ke arah kebaikan?” Insyirah bermonolog sendirian. Memang dia sudah
maklum dengan rakan sekelasnya yang lebih terbuka bersosial dengan pelajar
lelaki, latar belakang keluarga dan sekolah yang berbeza dan akhlak mereka
bersama pensyarah yang benar-benar membuatkan Insyirah agak culture shock mendapat classmates sedemikian rupa. Sambil
menguis-nguis pensilnya, Insyirah berhasrat untuk memulakan langkah pertama
untuk berkawan dengan mereka.
Tengahari
itu para pelajar agak ramai memenuhi dewan selera Kolej. Insyirah menatang
dulangnya sambil melilau mencari tempat kosong. Tiba-tiba, terdengar suara
memanggil namanya. “Insyirah!” Segera dia mencari arah suara tersebut.
Rupa-rupanya Amirah dan Syahirah serta seorang rakannya dilihat melambai-lambai ke arahnya. Insyi lantas
mengatur langkahnya menuju kearah mereka bertiga. Sambil melabuhkan punggung
di sisi Amirah, Insyirah melemparkan
senyuman kepada Syahirah dan seorang lagi rakannya. “ Insyirah, kenalkan yang
hujung tu Zahirah.” Insyirah menggangguk sambil melemparkan senyuman. Zahirah
memandang Insyirah dari atas ke bawah dan membalas senyuman Insyirah acuh tidak
acuh. Sambil menikmati makanan, Amirah yang sejak tadi diam, memecah kesunyian
antara mereka berempat. “Ohya, esok hari minggu kan, kita keluar ke bandar esok
mahu tak, Insyirah?” Insyirah membalas teragak-agak. “Err esok ya? InsyaAllah
boleh.” Amirah menjerit kecil. “Yeay! Baik, kalau macamtu esok kita akan pergi
awal pagi ya.” Insyirah menggangguk sambil mengunyah makanannya perlahan-lahan.
Tiba-tiba dia merasakan sesuatu tidak senang di hatinya.
Insyirah
yang sejak awal pagi telah menunggu di stesen bas resah melihat jam di
tangannya sambil mencari kelibat Amirah, Syahirah dan Zahirah yang tidak
kelihatan. Insyirah mengeluarkan mushaf yang sering dibawanya ke mana-mana dan
mula bertilawah. Tiba-tiba, bahunya ditepuk dari belakang. Insyirah berpaling. Dilihatnya
mereka bertiga sedang berada di belakangnya. Amirah Nampak seperti diburu rasa
bersalah. “Maaf ya Insyirah, kami terlewat kerana baru saja bangun. Maklumlah,
malam tadi kami marathon drama korea.” Tanpa menunggu untuk Insyirah membalas.
Zahirah segera menyampuk. “Dahlah, jom cepat, banyak tempat kita nak singgah
lepas ni.” Insyirah bangkit mengikuti mereka menaiki bas yang baru sahaja tiba.
Bas yang dinaiki mereka berhenti di hadapan sebuah kompleks beli belah di
Bandar itu. Sememangnya pusat beli belah inilah satu-satunya tarikan buat para
pelajar Kolej Mara tersebut. Sambil berjalan beriringan menuju ke pintu masuk,
Amirah yang berada di sebelah Insyirah berbisik perlahan kepadanya. “Insyirah,
kami nak bawa awak jalan-jalan tengok wayang harini.” Amirah tersengih sambil
terus menarik tangan Insyirah untuk ke panggung wayang yang terletak di dalam
kompleks beli belah itu. Tanpa memberi peluang kepada Insyirah untuk memberi
respon, Syahirah dan Zahirah membuka topik perbualan tentang filem-filem cinta
kontemporari yang mereka minati. Sementara Amirah membeli tiket untuk mereka
berempat, Syahirah menarik Insyirah yang kelihatan serba salah sambil berkata,
“ Insyirah, awak nampak takut-takut, ada yang tak kena kah? Ohya, jom kita
selfie bersama nak tak? Kami nak upload di instagram.” Berderau darah Insyirah
mendengar kata-kata terakhir Syahirah. Dengan penuh rasa serba salah, Insyirah
menerima ajakan rakan baharunya itu. Beberapa keping gambar telah diupload ke
instagram, dan Insyirah yang sejak tadi tidak senang duduk mula berasa selesa
dengan Syahirah yang pandai menceriakan suasana. Mereka terus berswafoto (baca:
selfie) bersama sehinggalah tidak menyedari Amirah yang sudah lama menunggu di
pintu panggung.
“Insyirah, macam mana? Best tak
cerita tadi? Heronya hensem kan? Saya teringin nak dapat kasih sayang daripada
pakwe saya macamtu jugak!” Amirah berceloteh. Tiba-tiba, Syahirah menyampuk.
“Ehem, Insyirah, awak tak ada ‘kekasih’ ke?” Soalan cepumas Syahirah itu
membuatkan Insyirah sedikit terkejut lantas menggelengkan kepalanya. Gelengan
Insyirah mengundang tanda tanya di raut wajah Syahirah, Amirah dan Zahirah.
Selesai makan di restoran, mereka
bergerak pulang Kolej. Hari menjelang maghrib dan Insyirah baru tersedar bahawa
hari ini dia telah terlalai beberapa jam untuk murajaah hafazannya. Masuk
sahaja ke dalam bilik, Insyirah terus menghempaskan tubuhnya ke katil dek
kepenatan seharian di luar.
Azan
maghrib yang baru sahaja berkumandang membuatkan Insyirah terjaga.
“Astaghfirullah!! terlepas asar, ulangan
hafazan pun tak settle lagi, Allahu,”
Insyirah meraup wajahnya dan terus menuju ke bilik air dengan tergesa-gesa.
Pagi
keesokannya, Insyirah disapa oleh rakan-rakan sekelasnya sebaik sahaja kakinya
melangkah masuk ke dalam kelas. Beberapa orang pelajar lelaki memandangnya
sambil melemparkan senyuman. Tiba-tiba, terasa bahunya disapa seseorang. “Hai
Insyirah, selamat pagi!” Amirah melabuhkan punggung di kerusi sebelahnya sambil
tersenyum. Insyirah membalas seadanya. “ Selamat pagi Amirah,”
“Ohya,
Insyirah, malam ni kami mahu ajak awak menonton perlawanan futsal antara
pelajar lelaki batch kita buat julung-julung kalinya pada tahun ini, jom sama,
selepas maghrib.” Insyirah yang sedang berombak kencang dadanya sekadar
mengangguk perlahan. “Yes! Baik, kami tunggu di dewan selera ya selepas
maghrib, jangan lambat!” Amirah bangkit dari kerusi sambil bernyanyi kecil.
Insyirah
ligat mengemaskini statusnya di laman sosial instagram. Sejak akhir-akhir ini,
jumlah terkumpul likesnya sudah mencecah ribu. Sambil tersenyum simpul, dia
merenung kesemua gambar-gambarnya yang diupload ke laman sosial instagram
kepunyaannya sejak tahun pertama persediaan dahulu. Ternyata komen-komen yang
terpapar kebanyakannya memuji kecantikan wajahnya. Sedang asyik mengemas kini
status, tiba-tiba iphone 5S yang dipegangnya nya bergetar menandakan notifikasi
masuk di aplikasi waksep (baca: whatsapp). Mesej daripada seorang lelaki yang
tidak dikenalinya. “Assalamualaikum, saya Azwan. Pelajar senior course
engineering di kolej Mara. Tak silap saya selalu lihat awak sejak hari pertama
awak mendaftar di sini. Err, kalau sudi, teringin jugak nak berkenalan dengan
saudari yang cantik manis ni.” Tidak semena-mena bibir Insyirah mengukir
senyuman. Malam itu, mereka bersembang rancak sehinggalah Insyirah tidak sedar
bahawa dia telah mengabaikan sesuatu yang penting pada malam itu.
“Insyi???” Insyi yang sedang asyik
scroll gambar-gambar di instagramnya tertancap pada komen salah seorang
pengguna di status gambarnya yang mendapat 5k likes. Selendang biru pendek dan
agak jarang itu menjadi pilihannya di dalam gambar itu. “Izzah…” Insyi berbisik
perlahan. Entah mengapa, jiwanya seakan meronta untuk membalas komen sahabat
yang dicintainya suatu ketika dahulu tetapi egonya melebihi kehendaknya. Lantas
dia segera mengabaikan komen tersebut. Sejak hari itu, notifikasi waksep nya
penuh dengan mesej-mesej daripada sahabat-sahabat lamanya namun segalanya
diabaikan. Sekadar bluetick.
Nun jauh
di utara tanah air, beberapa orang gadis bertudung labuh dilihat sedang duduk
membincangkan sesuatu di bawah pohon sena di Tasik bersebelahan Pusat Tahfiz
Darul Firus. Salah seorang daripada mereka terlihat begitu sugul. “Izzah, please utter some words, we need your wise opinion, jangan macamni, hang
tak boleh jatuh macamni sekali hanya sebab sahabat kita yang dah jatuh tu!”
Mastura bersuara memecah keheningan antara mereka. Lambat-lambat, Izzah
bersuara, “Entah lah mas, ana rasa kita pun dah bersalah sebab tak pernah langsung
ziarah dia kat kolej mara tu, walaupun kita cuba untuk contact dia banyak kali,
tapi dia abaikan macamtu aje. Bermakna dia dah tawar hati dengan kita. Ana rasa
kita yang bersalah sebab terlalu memandang tinggi pada kemampuan dia untuk
survive di kolej Mara tu.” “Ingat tak,
kita pernah berjanji kan, tak akan lupakan ukhuwwah yang dibina ni, sampai
bila-bila? Dan kita berjanji kepada Allah untuk berusaha mempertahankan nya
walau apa juga cabaran yang menimpa?” Giliran Hanna pula melontarkan
pandangannya. “ Antunna, ana tahu, kita semua masih terkejut dan bersedih
dengan perkara yang menimpa Insyirah, memang kita tak boleh menyalahkan dirinya
seratus peratus. Tapi mungkin juga, Insyirah sendiri yang tersilap dalam
memilih rakan-rakan baharunya? Ukhti, ana yakin, Insyirah sebenarnya amat
memerlukan kita.”
Hani yang sedari tadi diam tiba-tiba bangkit
bersuara. “ Yes!” Masing-masing berpandangan. Hani, kalau dia berkeadaan
sebegitu bermakna ada sesuatu yang istimewa sedang berlegar di dalam buah
fikirannya. Sambil melemparkan senyuman kepada sahabatnya, dia berbicara, “Ana
ada idea yang sangat bernas! Untuk buat Insyi tersedar semula, selebihnya, kita
mohon pada Dia agar jagakan Insyirah untuk kita semua.” “Apa dia?” Serentak
terpacul kata-kata itu dari mulut mereka yang berenam. Hani buat muka dan
tersengih lebar. “Allah, bantulah kami.” Izzah berbisik perlahan.
Insyirah yang sedang asyik menaip
tugasannya di komputer riba tidak perasan jam sudah pun menunjukkan waktu 3
pagi. Dia menggeliat sambil mencapai iphone 5S nya. Entah mengapa, hatinya
tergerak untuk meninjau akaun facebooknya yang sudah berhabuk. Selesai log
masuk, Insyirah dapati terdapat puluhan mesej di notifikasinya. Malas untuk
memeriksa notifikasinya yang berlambak, Insyi beralih kepada post-post rambang
di paparan wallnya. Tiba-tiba, matanya tertancap pada satu post yang bertajuk, “Permata
yang Hilang, masihkah ada harapan? Tajuk post tersebut dibacanya satu persatu.
Dilihatnya sudah ratusan share dan likes yang diraih. “Novel rupanya.” Getus Insyirah
apabila membaca dekripsi yang diberikan. Lantas tidak semena-mena hatinya
meronta-ronta untuk mula membaca isi kandungan novel online tersebut.
Perlahan
di tekannya link yang disediakan, muncul paparan novel versi ebook di komputer
ribanya. Menjengah ke muka surat pertama, serta merta dadanya mula berombak
kencang. Berdebar-debar sebaik sahaja membaca dedikasi prolog dari penulis
novel tersebut, Miss Izz. Dedikasinya berbunyi, “Jazakillah khairan katsira
kepada sahabat-sahabat seperjuangan, dalam kesibukan menuntut ilmu, masih
berpeluang mencurahkan buah fikiran untuk penghasilan novel yang banyak serba
kekurangan. Tanpa antunna, tidak mungkin tercapai matlamat novel ini
dihasilkan. Untuk si dia, yang sentiasa kami ingati dan kasihi, kembalilah..kami
rindukan kamu yang dahulu. Khas buat
jiwa-jiwa yang pernah berukhuwwah, moga bermanfaat, moga mendapat reda Allah.”
Insyirah
mula mengubah posisi duduknya dari kerusi meja belajar ke atas katil.
Disandarkan belakangnya ke dinding sambil menyambung bacaannya.
TSIQAH
PADANYA –Miss Izz
Sepanjang
20 tahun aku melayari hidup yang penuh suka duka dan pancaroba ini, ada
seseorang yang cukup istimewa dalam hatiku. Mungkin aku boleh katakan, posisi
sebagai seorang sahabat yang cukup istimewa, ada sesuatu yang istimewa pada
dirinya, tidak terdapat pada orang lain. Pertama kali melihat wajahnya, jujur
aku katakan, waktu itu jiwa mudaku yang memberontak dan kacau, serabut, jadi
hilang apabila melihat wajahnya yang bersih dan menenangkan. Pertama kali juga
mengenali dirinya, sudah tertawan dengan akhlaknya yang cukup menawan. Gadis
itu, yang gemar menyarung tudung labuh warna biru firus, berkulit putih
kemerah-merahan, tinggi lampai dan halus suaranya, telah mencuri hatiku saat
pertama kali memulakan ‘sesi taaruf’ secara tidak rasmi bersamanya. Masih segar
di ingatan, waktu itu jiwaku serabut dek kemelut yang berlaku dalam kalangan
ahli keluargaku. Ternyata emosiku terjejas teruk dan aku gagal mengawalnya
dengan baik. Setiap kali jumpa orang , mesti hendak marah dan memaki-maki,
walaupun orang itu tidak pernah melakukan walau sekelumit masalah kepadaku.
Ditakdirkan pertemuan kami, waktu itu perutku minta diisi, lantas dengan
langkah yang longlai dan jiwa yang kacau, aku gagahkan juga kaki ku mengatur
langkah ke kantin sekolah memandangkan dewan selera sudah tutup. Aku memesan
Nasi Goreng Kampung bersama air sirap kegemaranku. Sedang menunggu pesanan
siap, aku menghantarkan pandangan ke sekitar kantin, matahari yang panas
memancar terik menghangatkan kulitku.
Ada beberapa orang pelajar yang masih menikmati makanan di kantin.
Tiba-tiba, pandanganku terhenti kepada seorang pelajar perempuan tinggi lampai
bertudung labuh warna hijau sedang menyapu sampah yang bertebaran di sekitar
kantin. Lantas aku bermonolog sendirian, “Rajinnnnya budak ni? Tengahari buta
panas macamni buat kerja macamtu,” Sememangnya aku pernah mendengar perbualan
rakan-rakan sekelasnya tentang seorang pelajar perempuan dari Tingkatan 3
Baiduri akan datang setiap dua hari sekali membantu para pekerja di dewan
selera, kantin dan surau. “Rupanya dialah orangnya,” Getus hatiku lagi.
Tiba-tiba, Makcik dari kaunter makanan memanggil aku untuk mengambil pesanan
yang sudah siap. Sambil berjalan mencari tempat yang sesuai untuk menikmati
juadah, aku menatang pinggan nasi gorengku dan air sirap. Entah mengapa, aku
terlanggar kerusi salah sebuah meja makan dan badanku hilang keseimbangan
lantas air sirap yang dibawa tumpah. Hatiku berdebar kuat apabila air tersebut
tidak jatuh ke lantai tetapi sebaliknya mengenai seseorang. “Ahh!” Terdengar
satu suara halus menjerit kecil. Aku yang sedari tadi memandang ke lantai
lantas mengangkat kepalaku.Takut-takut. Disebelahku, seorang pelajar perempuan
berkulit putih kemerah-merahan bersama sebatang penyapu di tangannya sedang memegang
tudungnya yang tertumpah air sirap kepunyaanku. Aku menggaru kepala yang tidak
gatal lantas mulut laju menuturkan permohonan maaf. “Eh, tak mengapa! Sikit
saja ni, lagipun, sekejap lagi memang mahu cuci semua baju.Hehe, lagipun saya
yang ‘gatal’ menyapu di sini, maaf ya, mengganggu pula awak nak makan.” Aku
terpana. Aku pula yang serba salah dibuatnya.
Lama kami berdiam di situ dan akhirnya dia meminta diri. Aku yang tidak
keruan tiba-tiba melontarkan sesuatu, “Eh, emm ana Hajar,” sambil menghulurkan
tangan untuk bersalaman. Salamku bersambut. “Ana, Sofea.” Satu senyuman manis
dilemparkan kepadaku dan senyumannya hari itu bukan sahaja telah berjaya
mengurangkan gundah yang bersarang di hatiku, malah telah menjadi satu
permulaan yang indah kepada ukhuwwah kami.
Insyirah
merasakan sesuatu yang tidak kena pada dirinya. Air mata yang bertakung di
kolam matanya sepanjang membaca tadi akhirnya tumpah jua. Dia gagal mengawal
emosinya. Bahunya terhenjut-henjut kerana esakan tangisnya. Merasakan dia tidak
kuat untuk meneruskan bacaan tetapi jiwanya meronta-ronta untuk membaca halaman
seterusnya. Seakan dapat meneka penulis yang kedua ini, tangisan Insyirah makin
hebat.
IDOLA
DALAM DIAM –Miss M
“Sadaqallahalazim…”
Sofea dan rakan-rakannya baru sahaja menyudahi murajaah mereka pada hari itu.
Hari yang baik, cuaca yang menyenangkan dan langit biru pekat serta angin yang
bertiup lembut membuatkan gadis bertujuh yang sedang duduk membentuk bulatan di
bawah pohon sena tepi tasik itu makin rancak berbual. Semua maklum dengan salah
seorang sahabat mereka di situ yang baru sahaja berhadapan dengan satu ujian
yang berat, ditambah dengan ujian yang sudah sedia ada ke atas dirinya.
“Sofea, kami sentiasa mendoakan hang, ingat tu selalu, hang tak
keseorangan, moga Allah lepaskan segala jerih payah dan kesusahan yang hang hadapi.” Hajar berbicara. “InsyaAllah, ana baik-baik
aje, jangan risau,” ketenangan yang terpamer pada riak wajah sahabat mereka
yang seorang itu begitu menghairankan. Sofea yang kuat, yang kental dan tidak
pernah sekalipun mereka lihat dia bersedih dengan keadaan yang menimpa dirinya.
Jauh di sudut hati, mereka tahu yang Sofea menanggung segalanya dengan sabar
akan segala ujian yang menimpa dirinya.
Suasana sunyi seketika antara mereka bertujuh. Tiba-tiba, Ain, si
kecil molek yang berwajah kebudak-budakan berbicara, “Antunna, kalau salah
seorang daripada kita telah terpisah dan terlalu jauh antara kita, macam mana
ya? Apa yang kita nak buat?” Sofea membalas persoalan Ain. “Kita akan buat satu
cerita tentang kisah hidup kita bertujuh dan pastikan dia akan baca segala
kisah suka duka pahit manis kita bersama, dan…” Dan? Serentak yang lain
menyoal. “Kita akan tunggu dia semula, di bawah pohon sena ni, di tepi tasik
yang menjadi saksi ukhuwwah kita mekar bersama.”
Insyirah tidak dapat meneruskan pembacaannya. Tangisan nya
menjadi-jadi. Dia menekup mukanya dengan tangannya. Dalam tangisannya,
pandangan nya tertancap pada tudung labuh biru firus yang tersangkut kemas di
dalam almari. Serentak itu juga pandangan nya jatuh kepada quran mini yang
terletak kemas di rak buku meja belajar kepunyaannya. Sudah satu tahun dia
meninggalkan pemakaian muslimahnya dan qurannya sudah jarang-jarang di baca.
Apatah lagi mahu sekadar meyelak. Dengan mata yang masih sembab, dia mencapai
quran mini di rak buku. Diselak nya satu persatu halaman sehingga akhirnya
selakannya berhenti di satu surah yang cukup digemarinya suatu ketika
dahulu. Ad-Dhuha. Perlahan dia
mengalunkan bacaan. Beberapa titik air jatuh dari tubir matanya mengenai
halaman quran yang dipegangnya erat.
Izzah baru sahaja selesai murajaah hafazannya. Selepas melipat
telekung, dia menuju ke meja belajarnya untuk menyambung ulangkaji. Tiba-tiba,
telefon bimbitnya berbunyi menandakan notifikasi grup di whatsapp masuk. Seperti biasa, dia tidak akan menghiraukan
notifikasi nya, namun malam itu hatinya meronta-ronta untuk memeriksa mesej
yang masuk. Ditekannya icon hijau bersimbolkan telefon, matanya terus tertancap
pada satu mesej di satu grup yang sudah lama ‘berhabuk’. Kehairanan dan seakan
tidak percaya dengan apa yang dilihatnya, Izzah terus membuka notifikasi grup.
Sebaik sahaja selesai membaca mesej tersebut, tidak semena-mena air matanya
tumpah, dan bibirnya menutur hamdalah. Izzah menghela nafas, sambil menyandarkan
belakangnya di kerusi yang didudukinya. Dia yakin ada hati-hati yang ceria
sepertinya pada malam itu untuk turut berkongsi kegembiraan yang dialaminya.
Insyirah memarkir keretanya tidak jauh dari tasik bersebelahan
pusat Tahfiz Darul Firus. Dia baru sahaja bertemu dengan ibu dan bapa
saudaranya. Mereka yang sudah hampir putus harapan dengan apa yang berlaku pada
dirinya setahun yang lalu benar-benar terkejut dengan perubahan yang berlaku ke
atas dirinya. Adik-adiknya turut terpana dan kehairanan. Amin terlebih dahulu
memulakan perbualan sewaktu mereka menikmati makan tengahhari bersama tadi.
“Along, inilah Along kami yang pernah ‘hilang’ dulu.” Ucapan ringkas itu begitu
meruntun jiwa seorang Insyirah. Pakcik saudaranya tersenyum memandang Insyirah.
“Insyi, Allah berikan kamu sahabat-sahabat yang baik, yang memang bersungguh
nak tarik kamu ke syurgaNya. Ohya, tadi Cikgu Hafiz kirim salam pada kamu.”
Insyirah sudah dapat mengagak pakciknya telah memberitahu cikgu Hafiz akan
perubahan dirinya. Insyirah tersenyum simpul.
Insyirah menghela nafas. Dia keluar dari
kereta Irisnya lantas berjalan menuju ke bawah pohon sena yang begitu
dirinduinya. Sambil menunggu kedatangan insan-insan istimewa di hatinya,
Insyirah duduk di bangku yang disediakan di bawah pohon dan menyelak qurannya untuk mula bertilawah. 10
minit berlalu, insan yang ditunggu tidak juga kunjung tiba.
Insyirah
meneruskan bacaannya. Sedang asyik bertilawah, tiba-tiba satu suara muncul di
belakangnya, menyambung bacaan tilawahnya. Kemudian satu persatu ayat dari
surah berkenaan di sambung oleh suara yang berbeza. Suara-suara yang cukup
dikenalinya, cukup dirinduinya. Insyirah tidak segera berpaling. Air matanya
sekali lagi bercucuran membasahi tudung labuh biru firus yang dipakainya.
Terasa tangan seseorang memaut lehernya dari belakang. Kemudian satu suara
berbisik di telinganya lembut, “Insyi, kami juga rindukan hang.” Suara itu.
Suara yang sudah lama tidak dedengarinya. Tidak mampu menahan tangisnya,
Insyirah lekas berpaling dan memegang tangan yang memaut lehernya lantas
memeluk erat insan yang kini menghadapnya. “Insyi!!” serentak sahabat yang lain
berlari mengelilingi mereka. Tiba-tiba terdengar suara, “Eh, ana baru perasan
Izzah dah meninggi sikit weyh, hahaha dan nampaknya ukhti kecil molek kita
makin jealous dengan makcik kepoh ni!” Semua mata termasuk Insyirah memandang
kepada empunya suara. Hani. Ternyata waktu benar-benar mengubah segalanya. Hani
yang pendiam telah mula menunjukkan ‘belang’nya. Insyirah memulakan perbualan.
“Actually, ana macam dapat agak dah
siapa punya idea untuk buat novel tu.” Sambil memandang tepat kearah Hani yang
berdiri bertentangan dengan dirinya.” Sambil bersilang lengan, Hani membalas
selamba, “Well, you knew who I am.” Serta merta pecah gelak ketawa antara
mereka bertujuh.
Pejam celik, dua tahun berlalu. Insyirah bakal
menamatkan pengajian asasinya dan akan terbang ke Russia tidak lama lagi. Setahun
yang lalu, dia telah meninggalkan pemakaian muslimahnya dan mula mengikut arus
pemakaian rakan-rakan baharunya. Namun,
dek keprihatinan sahabat-sahabat lamanya, dia diberi kekuatan untuk kembali
menjadi dirinya yang dahulu. Beberapa minit yang lalu, dia baru sahaja
mengucapkan selamat tinggal kepada ahli keluarga serta beberapa orang sahabat
nya yang menyambut pengajian degree mereka di tanah air. Pemergian Insyirah
disambut dengan berita gembira bahawa adik lelakinya, Iman yang pernah dikesan
kanser barah otak Tahap 1 telah pulih sepenuhnya berkat berterusan mendapatkan
rawatan di hospital. Insyirah menghela nafas, sambil menghalakan pandangannya
ke luar tingkap kapal terbang, matanya tidak lekang dari menikmati langit biru
yang terbentang luas. Terngiang-ngiang di mindanya akan kata-kata salah seorang
sahabat yang dicintainya, “Pandang langit, setiap kali anti jatuh, untuk
ingatkan diri yang kita tak pernah akan lebih hebat dari sesiapapun, dan paling
penting, harapan tu, selalu, akan ada Insyi.”
Insyi
memperkemaskan duduknya lalu mencapai quran mini warna biru firus kepunyaannya.
Baru sahaja hendak mula bertilawah, terdengar satu bunyi. “BUKK” sebuah buku
bertajuk “Relasi” karya Hilal Asyraf singgah di kakinya. Insyirah tunduk
mengambil buku yang jatuh dikakinya sambil mencari tuan punya buku tersebut.
Tiba-tiba, muncul di sebelahnya. “Err, Assalamualaikum, maaf Cik, tu buku saya,
terjatuh dari dalam beg sandang sewaktu hendak keluarkan barang tadi.
Maklumlah, beg penuh dengan barang-barang, err maaf ya Cik.”
Insyirah
membalas, “Ohh takde apa pun, nah buku awak.” Sambil menghulurkan Relasi kepada
seorang pemuda tinggi lampai berkulit cerah dan berkaca mata yang berdiri di
hadapannya itu.
“Terima
kasih cik.” Insyirah membalas senyuman lelaki berkenaan dan dia berlalu
meninggalkan Insyirah menuju ke tempat duduknya.
Perjalanan
menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Moscow memakan masa hampir 20 jam.
Insyirah melangkah turun dari kapal terbang sambil mengucapkan syukur tidak
henti-henti. Matanya melilau mencari senior-senior kumpulan pelajar Malaysia
dari Universitinya. Tiba-tiba, seseorang menghampirinya, “Awak Insyirah? Saya
Kak Ain, Jom, yang lain semua dah berkumpul di dalam.” Insyirah mengekori
seniornya itu sambil mereka berbual-bual memulakan sesi ‘taaruf’. Tiba-tiba,
matanya terhenti pada seorang pemuda tinggi lampai berkaca mata, sebiji yang
dijumpainya di dalam kapal terbang tadi. Perasan akan Insyirah yang kehairanan,
Pemuda berkulit cerah itu mengangguk kepadanya dari jauh sambil membuat isyarat
menunjukkan dia juga satu universiti dengan Insyirah. Insyirah membalas
anggukan pemuda tersebut.
“Weyh,
Afiq, siapatu?? Ehh jappp itu bukan
Insyirah ke? Pen Ketua Umum kita yang
anta duk minat sejak dulu tu ?! Wuhh tak sangka jumpa semula kat sini
ehhh, Ehem.” Azrai, di sebelahnya buat-buat berdehem mengusiknya apabila
melihat dirinya membuat isyarat dari jauh dengan gadis tudung labuh, berkulit
putih kemerah-merahan itu. “Aish, hang ni! Ana terserempak dengan dialah tadi
dalam pesawat.” “Oooooo” Azrai mencebik sambil buat muka. Afiq
menggeleng-gelengkan kepala. Jauh di sudut hatinya, dia sudah ada perancangan untuk
mengenali gadis bertudung labuh itu dengan lebih dekat. Perancangan yang patuh
syariah dan diredaiNya. Siapa sangka, gadis yang diminatinya sejak zaman
bersekolah di Pusat Tahfiz dahulu akan menuntut di universiti yang sama
dengannya. Memang dahulu hubungan antara pelajar banin dan banat sangat-sangat
terpelihara sehingga masing-masing seperti tidak mengenali antara satu sama
lain, kecuali sekiranya seseorang itu adalah merupakan orang terpenting dan
dikenali di sekolah mereka. Oleh sebab itu Afiq tidak hairan apabila Insyirah langsung
tidak mengenalinya, kerana dia tidak pernah memegang apa-apa jawatan di pusat
tahfiz itu ketika di dalam pesawat sebentar tadi. Afiq mengulum senyum. Segera
dia beristighfar panjang dan memperbaharui niatnya. Afiq memandang Insyirah
yang masih mengenakan tudung warna biru firus, warna kegemarannya sejak zaman
persekolahan lagi sambil bermonolog. “Insyirah, semoga kekal tsabat.”
No comments:
Post a Comment