Ketika pertama kali saya terserempak dengan pautan video ini yang ustaz kongsikan di Youtube channel beliau dan membaca perincian ulasan video, saya terpaku sejenak. Dua kali saya membacanya dan kemudian setiap kali itu juga saya terdiam. Nama keluarga Karim Amrullah sememangnya tidak akan asing dalam kalangan kita, umat Islam dan warga Malaysia sendiri yang begitu mengenali susuk seseorang bernama HAMKA atau Hj Abdul Malik Karim Amrullah, lewat pembacaan dan pemerhatian kita sehari-hari.
Semoga Allah merahmati Buya Hamka, dan seluruh ahli keluarganya dalam rahmat, kebahagiaan dan kerahmatan. Saya meneruskan niat untuk menonton video berdurasi lebih kurang 1 jam lebih ini yang diulas oleh Ustaz Hasrizal yang dihormati, tentang ulasan buku bertajuk Dari Subuh Hingga Malam hasil karya adik kepada Hamka, Abdul Wadud Karim Amrullah atau juga dikenali dengan nama kristiannya, Willy Amrull. Sejujurnya, saya sangat tertarik untuk mengetahui lebih lanjut tentang ulasan buku tersebut, lebih-lebih lagi seusai membaca penerangan ringkas tentang video berkenaan.
Pertama sekali, saya juga tertarik untuk menyampaikan intipati atau mesej yang Ustaz bawakan disebalik ulasan buku yang dikupas beliau menurut sudut pandang beliau sendiri, dan pada pendapat saya, walaupun kandungan buku ini membawakan tema yang sedikit berat dari beberapa aspek, namun sungguh, ia bermanfaat untuk dijadikan ibrah atau pengajaran.
Secara ringkasnya, intipati buku ini, Dari Subuh hingga Malam membawakan kisah dan pengalaman Willy Amrull sendiri dalam mengharungi liku kehidupannya sehinggalah beliau memilih untuk memeluk agama Kristian hingga ke akhir hayat. Beliau berkahwin dengan seorang Kristian dan kemudian isterinya memeluk agama Islam, bergelar muallaf. Ketika itu, beliau dan isteri menetap di Bali dan menjalankan perniagaan di negara kelahiran Willy sendiri. Beberapa siri kejatuhan dalam perniagaan benar-benar menggoncang hati beliau dan isteri, sehinggalah isteri beliau memperoleh ketenangan dan ketenteraman dengan memeluk kembali agama lamanya. Willy kemudiannya menyusul isterinya dan menukar agama ke Kristian tidak lama selepas itu.
Saya sangat mengesyorkan untuk kita sama-sama menonton ulasan buku oleh Ustaz Hasrizal bagi mendapatkan lebih pencerahan serba ringkas tentang kehidupan Abdul Wadud Karim Amrullah.
Take home message yang dapat saya ambil daripada perkongsian Ustaz Hasrizal tentang buku ini adalah,
Kukuhkan pegangan akidah seawal beragama, kemudian tumpulah kepada kemajuannya, kerana Islam bukanlah pada aspek ritual semata-mata.
Allahyarham AWKA tidak memperoleh support system didikan akidah yang jitu daripada kelompok agamanya berbanding dengan apa yang didakwahkan oleh rakan isterinya yang berbangsa Kristian. Moga Tuhan sentiasa meletakkan kita dalam jalan kebenaran dan memberikan hidayah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham AWKA yang masih hidup. Sememangnya pada masa kini support system dalam konteks beragama (Menghafaz, rukun, hukum) di Malaysia sendiri lebih tertumpu kepada aspek ritual, berbanding pengukuhan akidah yang sempurna.
Maka disebabkan hal 'tradisi' berikut, timbul perbalahan, perbezaan pendapat, caci mencaci, label melabel, makian, kerana hanya semata-mata mahu membuktikan siapa yang betul dan siapa yang salah dalam beragama, yang mana perkara ini tidak seharusnya berlaku sekiranya kita memberikan penekanan lebih penting terhadap aspek akidah dalam beramal dengan agama.
Subjek akidah yang diajar seawal di sekolah - sekolah rendah di Malaysia tidak sewajarnya hanya dijadikan bahan melengkapkan pengajaran silibus, namun ia perlu bersifat organik melalui perbincangan dan pendapat antara guru dan pelajar itu sendiri supaya pelajar tidak semata-mata 'menghafal' akidah yang dipelajari.
Wallahuaklam, semoga kita kekal tumbuh menjadi insan yang berbudi, dan berakhlak mulia hasil daripada kepercayaan akidah yang sempurna dalam menempuh setiap episod kehidupan yang dijalani. Semoga Tuhan mengekalkan kita dalam jalan kebenaran. Allahumma Amin.
No comments:
Post a Comment