Monday, 30 July 2018

Bayang - bayang Kesyukuran

             Tangan tua itu mencapai beberapa helai sayur sawi yang terletak di dalam kotak gabus itu dan membelek-beleknya. Selepas beberapa kali membalik-balikkannya, dia memasukkan 3 ikat sayur sawi bunga yang masih berwarna hijau pekat itu ke dalam bakul yang dijinjit nya sedari tadi.
Amoi, mau cari apa lagi? You mau masak apa harini?”
Sebuah senyuman dihadiahkan daripada wajah tua itu kepada nyonya penjual ayam yang berdiri tidak jauh daripadanya.
“Saya mau masak Mi Goreng Special la hari ni nyonya, anak-anak saya balik bercuti dari asrama semalam!”
“OOOO itu macam kaaaaa.. banyak bagus la youu…”
Wajah tua itu hanya tersenyum mendengar omelan nyonya tua yang sudah berumur lingkungan 60-an itu. Sekilas matanya memandang ke dalam bakul yang dijinjitnya. Ada separuh ekor ayam yang sudah siap dipotong, 3 ikat sawi bunga, satu plastik sotong, setengah kilo ayam dan udang, dua bungkus mi kuning serta beberapa ulas lada merah.
Di minda nya sudah terbayang wajah ceria anak-anak yang begitu dirindukannya menikmati sarapan mi goreng yang mereka sukai hasil air tangannya itu. 
++++
“Assalamualaikum Warahmatullah…” Salam kedua selesai diberi, Fauzi membetulkan duduknya sambil membaca zikir ringkas usai solat Isyak pada malam itu.
 Dia mengangkat tangannya ke paras dada dan memanjatkan doa nya kepada yang Esa.
Sebentar kemudian, Fauzi berpaling ke belakang dan menatap wajah isterinya yang sudahpun selesai berdoa.
“Abang nak makan apa malam ini? Saya ada buat kentang masak tumis petang tadi.”
Fauzi mengukir senyum manis dan dilemparkan buat isterinya itu.
“Jom, makan sama dengan abang.”
Dia  terdiam. Terbayang di mindanya beras yang sudah pun hampir kehabisan dan barangan dapur lain yang sudah pun habis. Sejujurnya, dia tidak menjamah walau sebutir nasi pun sejak tengah hari tadi. Hanya sejam sebelum suaminya pulang dari tempat kerja tadi dia sempat menumis kentang yang hanya tinggal sebiji itu.
Serta merta, air jernih tumpah ke pipi dari kolam matanya.
Dengan sisa tangis yang masih mengalir di pipinya, dia menghantar langkah suaminya ke dapur dengan pandangan sayu.
++++
Fauzi menjamah makanan yang terhidang di hadapan nya dengan berselera sekali.
Hampir menitis air mata nya melihat suaminya yang begitu baik sekali dan sangat menjaga hatinya sebagai seorang isteri.  
“Alhamdulillah…”
Fauzi menjilat butir-butir nasi yang berada di celahan jari nya.
Sebuah senyuman manis sekali lagi dihadiahkan buat isterinya yang masih tidak lepas menatap wajahnya sedari tadi.
Dia gagal mengawal air mata nya daripada tumpah ke pipi. Serta merta dia meluru kearah suaminya dan merangkul tubuh Fauzi dari belakang dengan esak tangis yang tidak berupaya lagi ditahan.
++++
            Sofea, anak sulungnya, yang mengambil jurusan perubatan baru sahaja pulang bercuti sempena hari raya dari Dublin dan sudahpun bergelar seorang doktor, Fathia, anak keduanya, seorang peguam bela dan peguam cara sudahpun membuka firma guamannya berdekatan rumah mereka, anak ketiganya Farihi, penuntut tahun akhir dan merupakan pelajar cemerlang kuliah kejuruteraan di universitinya. Ilhami dan Hani, masing-masing sedang menjalani tahun 3 mereka di Institut Perguruan dalam jurusan Bahasa Inggeris. Dan yang bongsu, Amani iaitu yang keenam, merupakan  penuntut tahun 2 Fakulti Seni Bina jurusan Perancangan Bandar serta mengambil minor dalam jurusan Bahasa Jepun.
Mata yang redup itu menatap satu persatu wajah anaknya dengan penuh kasih. Mereka yang masing-masing sedang leka menjamah mi goreng tidak perasan akan sepasang mata yang asyik memerhati mereka sejak tadi.
“Ibu, sedapnya. Lama dah Farihi tak makan Mi Goreng Special ibu ni tau!” Ujar Farihi seraya menyenduk mi goreng tambahan ke dalam pinggannya.
Dia hanya mengangguk kecil sambil tersenyum simpul melihat tingkah laku anak-anaknya itu.
++++
Beberapa titik air jernih membasahi helaian kertas yang dipegang Amani sejak tadi. Dia yang masih berdiri di luar balkoni itu masih memegang sekeping gambar yang sudah hampir terkoyak dek basah terkena air matanya.
Amani mendongakkan kepalanya, sejurus pandangan nya dihalakan ke sekitar laman balkoni rumah nya itu yang penuh dengan bunga-bunga dan pokok-pokok menghijau, berwarna warni, indah sekali menghiasi seluruh pelusuk laman.
Serta merta terbayang di mindanya satu tubuh tua yang amat dirinduinya sedang menyiram pokok-pokok di sekitar dengan senyum yang tidak pernah lekang daripada wajahnya.
Nafas dihela perlahan, lantas sekeping gambar kenangan ahli keluarganya itu digenggam erat ke dadanya.
++++
Tangan kanannya berbalut dan berikat anduh. Tangan kirinya membelek sayur-sayuran dan kekacang yang sudah kekuningan dan lecur.
Pandangannya dihalakan ke sekeliling pasar yang lengang. Hanya beberapa orang penjual yang masih setia menunggu pelanggan di gerai masing-masing. Bangunan yang sudah separuh roboh ini merupakan pasar awam penduduk di daerah ini dan sangat meriah sekali dengan aktiviti jual beli pada suatu ketika dahulu.
Matahari sudah meninggi dan cahayanya sudah menerobos masuk ke celah-celah dinding bangunan yang berlubang. Sepasang mata yang redup menoleh ke dalam bakul rotannya yang sudah dipenuhi dengan sayur dan kekacang untuk dimasak.
“Mahu cari apa lagi, Puan?”
Satu suara dari arah belakang menyapa dirinya yang masih berdiri di tengah-tengah pasar itu. Seorang lelaki penjual daging sedang berdiri di gerainya sambil menghalau lalat yang menghurungi daging jualannya.
“Sudah cukup, saya mahu segera pulang memasak untuk anak-anak yang sedang kelaparan. Lauk yang ada ini pun inshaAllah akan bertahan untuk tiga minggu.”
“Semoga anak-anakmu sihat sejahtera. Saya berharap segala yang berlaku ini akan segera berakhir.”
Mata yang redup itu hanya menunduk. Dia menghela nafas perlahan.
“Saya pergi dahulu.”
++++
“Abang, makan tengah hari sudah tersedia. Saya masak makanan kegemaran abang dan anak-anak!”
Ahmad berpaling ke arah isterinya dan mengangguk laju.
“Anak-anak, mari kita makan bersama!”
Ahmad melaung memanggil anak-anaknya yang masih leka bermain bola di luar rumah.
Kelima-lima kepala sedang menatap hidangan yang terhidang meja makan dengan gembira. Ada Maqluba, Musakhan, Hummus dan Kanafeh yang nampak menyelerakan sekali.
“Aku mahu ini!”
Moustafa, anak sulung Ahmad segera mencapai Musakhan yang terletak tidak jauh daripada pinggannya.
“Moustafa, jangan lupa adik-adik mu!”
Ahmad menggelengkan kepalanya melihat tingkah laku anak sulungnya yang masih kebudak-budakan itu.
“Abang, jemput makan, ini sahaja yang saya mampu sediakan.”
Ahmad menoleh ke sebelahnya lantas dia menggeleng perlahan.
“Jangan risau, abang akan makan bersamamu. Biarkan anak-anak mengisi perut mereka dahulu.”
Sebuah senyuman manis dihadiahkan buat Ahmad daripada wanita berlesung pipit yang duduk di sebelahnya.
++++
“Ibu, adakah makan tengah hari sudah tersedia?”
Satu suara mengejutkan dirinya daripada lamunan yang panjang.
Segera dia berpaling ke arah suara yang memanggilnya.
“Naeem, sudah, tolong bantu ibu bawa hidangan ini ke meja.”
Naeem mengangguk lantas meluru kearah ibu nya dan mengambil semangkuk sayur dan kekacang yang sudah direbus.
Naeem, Moustafa dan Sayed. Anak-anaknya inilah antara harta yang ditinggalkan buat dirinya semenjak suaminya pergi menghadap illahi beberapa bulan yang lepas sewaktu kediaman mereka hancur akibat ditimpa peluru berpandu dari arah udara.
Sepasang mata yang redup itu tidak lepas memandang wajah ketiga-tiga anaknya yang sedang menikmati hidangan yang dimasaknya.
Moustafa, Naeem dan Sayed masing-masing berumur 21, 18, dan 16 tahun dan masih belajar di sekolah dan universiti di daerah mereka menetap ini.
Moustafa, merupakan pelajar tahun tiga jurusan syariah di universiti nya dan merupakan pelajar terbaik setiap semester kerana cemerlang dalam akademik dan kokurikulumnya. Anak sulungnya ini bercita-cita ingin menjadi pensyarah di universiti luar negara apabila tamat belajar nanti. Naeem, penuntut tahun pertama kuliah kujuruteraan di universiti yang sama seperti abangnya. Naeem sangat meminati bidang mekatronik dan berhasrat untuk menghasil kan jet peribadi miliknya sendiri suatu hari nanti. Sayed yang terakhir, iaitu anak bongsunya masih bersekolah dan sentiasa memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang setiap kali peperiksaan.
Dia menghela nafas perlahan. Air jernih mengalir deras menuruni pipinya. Terasa seperti semalam dia membesarkan anak-anaknya ini bersama suami yang amat dicintainya.
++++
“Naeem, kalau aku syahid, tolong jagakan ibu.”
Moustafa menyepak bola kearah adiknya, Naeem. Manakala Sayed leka dengan telefon bimbitnya mengambil gambar.
“Kalau aku juga syahid? Siapa yang akan jaga ibu?”
Moustafa mengejar bola yang sedang digelecek Naeem dan berusaha memintasnya.
Sekilas dia memandang kepada Sayed di kejauhan.
“Aku akan harapkan Sayed.”
“GOLL!!”
Naeem meloloskan bola ke dalam gawang gol dan berteriak. Moustafa hanya tersenyum memandang tingkah laku adiknya itu. Dia melontarkan pandangan nya kearah langit yang membiru dan ada beberapa ekor burung yang terbang beriringan sambil bercicipan.
“Naeem, Moustafa, jom kita ambil gambar bersama di sana!!”
Sayed berteriak  kepada abang-abangnya sambil menghala kan telunjuknya kearah bangunan yang sudah hancur yang terletak tidak jauh dari padang tempat mereka bermain. Bangunan itu dahulu merupakan rumah mereka yang mempunyai balkoni di atasnya, dan setiap petang mereka sekeluarga akan duduk bersama di balkoni tersebut sambil menikmati pemandangan indah.
Moustafa dan Sayed berlari - lari anak menuju kearah adik bongsu mereka yang sudah pun memanjat tangga rumah yang sudah roboh dan naik ke balkoni.
Langkah Moustafa dipercepatkan memanjat tangga yang sudah separuh hancur itu. Dia memejamkan matanya dan memegang dadanya yang tiba-tiba berdegup dengan sangat kencang.
Naeem, Moustafa, Sayed duduk beriringan di tepi tembok balkoni rumah mereka dan masing-masing memandang kearah kamera telefon bimbit milik Sayed sambil mengukir senyum manis.
“1, 2, 3!”
Sayed menyentuh butang bulat berwarna putih di skrin telefon bimbitnya.
“BOMMMM!!!!!!”
++++
Mata yang sentiasa redup itu hari ini tidak henti – henti mengalirkan air matanya. Dia bangkit daripada duduk nya dengan kepayahan sambil berjalan perlahan-perlahan menuju kearah bangunan yang sudah seratus peratus hancur. Serpihan simen dan batu-batu berselerak memenuhi jalan. Di sana sini terdengar jeritan orang ramai yang berusaha menyelamatkan mangsa- mangsa di celahan runtuhan.
Dia terduduk. Beberapa orang lelaki sedang mengusung tiga tubuh yang sudah hancur wajahnya dan terputus tangan dan kakinya. Tiga tubuh itu diselimutkan dan di letak kan di atas tanah. Dia segera meluru ke arah wajah – wajah yang tertutup itu dan membukanya satu persatu.
Tiga wajah pemuda yang sudah hancur namun cukup dikenalinya, seolah – olah sedang tersenyum manis kepadanya. Air mata nya bercucuran. Dia memeluk erat ketiga-tiga tubuh tersebut dengan esak tangis yang semakin kuat kedengaran.
Di bawah celahan runtuhan bangunan, sebuah telefon bimbit yang sudah separuh hancur        digenggam erat oleh satu tangan yang diselimuti darah pekat. Sekeping gambar tiga anak muda sedang tersenyum manis masih terpampang di skrin telefon.    

Friday, 13 April 2018

Tahniah Buat Zaid!

5 April 2018, Khamis, 8 PM.

Alhamdulillah ala kulli hal, benar-benar bersyukur kerana Zaid dipilih untuk turut serta berada sebaris bersama  karya-karya lain dalam Zine Sulung Celoteh Budak Pagoh.

Zaid hanyalah manifestasi sebuah nilai kepercayaan. Sejauh mana kita meletakkan kepercayaan kita kepada ilahi dengan berbuat sebaik-baiknya untuk berada dalam kalangan hamba yang dicintai-Nya?
Sejauh mana kah kita percaya terhadap sahabat yang lama kita sangka sudah melupai kita? Sejauh mana kah kita percaya terhadap kasih sayang ibu dan bapa terhadap anak-anaknya? Ini hanya secubit. Terlalu banyak persoalan-persoalan tentang percaya yang gagal kita bumikan dalam diri sebenarnya.

Persoalan yang ringkas, namun hakikatnya agak sukar untuk dijawab hatta oleh diri ini.

Semoga Zaid bisa membuka mata hati kita yang selalu buta dengan dosa dan kelalaian. Buat 'Zaid', moga dikau tenang serta dirahmati di sana. Beruntunglah kerana telah selamat daripada fitnah dunia yang semakin menggila. Doakan kami pulang kepada Dia dalam keadaan yang paling diredai-Nya.

Setiap yang bernyawa akan merasai mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada kami. (21:35)

 
Terima kasih tidak terhingga kepada penyunting Zaid, Siti Merah Manja dan Zaharahanum Kamarudin kerana 'tertambat' dengan kisah Zaid. Moga aku bisa terus menulis kerana-Nya.






Wednesday, 24 May 2017

29 Syaaban


“ Jangan lari!!” Jeritan nyaring dari suara seorang kanak-kanak lelaki berumur 8 tahun itu mengejutkan seisi warga rumah anak-anak syurga yang terletak di hujung kota di ibu negara Malaysia itu. Serentak berpasang-pasang mata mengalihkan pandangan mereka kepada dua orang kanak-kanak lelaki yang saling berkejaran sesama sendiri di luar perkarangan rumah. Ada yang menggeleng-gelengkan kepala, ada juga yang bersorak keriangan melihat keceriaan mereka. Tidak terkecuali sepasang mata tua yang redup pandangannya memandang sambil mengukir senyuman dari kejauhan.

            Begitulah rutin dua orang pelajar lelaki tersebut saban waktu, warga rumah tersebut sememangnya sudah maklum dengan keriuhan tidak berkesudahan mereka berdua.  Addien dan Aqil. Dua orang kanak-kanak lelaki yang ditimpa musibah sejak kecil dek kehilangan kedua-dua ibu-bapanya sewaktu kunjungan mereka ke Gaza, Palestin. Mereka ditakdirkan untuk dipertemukan dengan Ustaz Faqih yang pada ketika itu merupakan peserta program yang terselamat sewaktu penempatan kem mereka dibedil sang Zionis.

Gaza, 29 Syaaban 1430 H

            Ustaz Faqih menyapu mukanya yang berdebu sambil berusaha bangun dengan kepayahan. Dia berpaut di tembok yang masih kukuh sambil berusaha mencari jalan keluar dari runtuhan itu sambil mengharap kelibat rakan-rakan seperjuangannya muncul di sisinya.

Dalam kepayahan dan kesakitan di tangannya, dia menolak batu-batu yang menghalang laluan menuju ke pintu luar.

“Ergghhh…”

Suara mengerang yang muncul di belakangnya membuatkan Ustaz Faqih tersentak. Lantas dia berpaling ke belakang. Di hadapannya kini seorang lelaki yang cukup dikenalinya terlantar di lantai rumah sambil mengerang kesakitan. Ustaz Faqih segera menuju ke arah sahabatnya itu dalam kepayahan. Bercucuran air matanya apabila melihat kedua-dua tangan sahabatnya itu hancur serta dadanya yang dipenuhi dengan darah.
Ustaz Faqih tidak dapat menahan esakan tangisnya apabila melihat sahabatnya itu masih tenang dan berusaha untuk menghadiahkan senyuman kepadanya.

Dalam kepayahan, sahabatnya itu berusaha menuturkan sesuatu kepadanya, “Faqih… tolong.. jagakan Aqil… dan…. Addien…”

Ustaz  Faqih tersentak. “Addien??” 

“Aiman.. tak dapat.. diselamatkan… akh… jagakan mereka…”

Ustaz Faqih mengetap bibirnya, Aiman, sahabat sepengajian nya juga telah kembali kepadaNya dalam keadaan yang paling diredaiNya. Makin kuat tangisan Ustaz Faqih apabila menyedari pada waktu itu, di pangkuannya, tubuh syuhada itu sudah terkulai layu dengan senyuman manis menghiasi wajahnya. 

Petaling Jaya, Malaysia

            “Assalamualaikum, Ustaz.” Lamunan Ustaz Faqih terhenti apabila bahunya disentuh seseorang. Wajah tua itu lekas berpaling.

“Ahh.. Waalaikumussalam.. kamu rupanya Halim..” Ustaz Faqih menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tersenyum.

“Maaf ustaz, harini ana lewat sedikit sebab ada banyak urusan yang perlu diselesaikan. Hari ini juga, Yayasan kita mendapat sumbangan dari seorang pengusaha kosmetik terkemuka tanah air untuk persiapan Ramadan dan Syawal nanti, Alhamdulillah ala kulli hal!”
Ustaz Faqih melabuhkan punggung di kerusi berdekatan sambil mempersilakan anak muda di hadapannya duduk.

“Segala pujian hanya bagiNya, Semoga Allah sentiasa mengukuhkan perjalananmu, anak muda.” Ustaz Faqih menepuk bahu Halim sambil menunjuk kepada dua orang kanak-kanak lelaki yang asyik berkejaran dan bermain sedari tadi.

“Mereka punya masa hadapan yang sangat cerah seperti kamu suatu ketika dulu,Halim. Mereka cepat belajar. Ana sengaja biarkan mereka mengelola halaqah mingguan bersama anak-anak lain sebab ana lihat sendiri kesungguhan mereka untuk belajar perkara baharu setiap hari. Tarbiyah.. benar-benar mendewasakan mereka.. bila ana dah tak ada nanti.. sambung amanah abi mereka untuk jaga mereka berdua.”

“InsyaAllah.. ana janji Ustaz.. ana akan jaga mereka dengan baik sampai satu tahap mereka benar-benar menjadi seorang ikhwah. Betul Ustaz, ana pun setiap minggu tebuk mereka berdua, prestasi sentiasa memberangsangkan, saling berlumba secara sihat setiap hari. Semoga mereka mampu jadi seperti Musa dan Harun yang saling menguatkan.”

Halim, pemuda tinggi lampai berkaca mata, berkulit sawomatang berumur 25 tahun itu, sudah menetap bersama Ustaz Faqih sejak berumur 5 tahun lagi apabila ahli keluarganya serta kedua orang tuanya terkorban dalam kemalangan jalan raya. Bapa kepada Halim merupakan kenalan rapat Ustaz Faqih dan disebabkan Halim memilih untuk berada di bawah jagaan Ustaz Faqih, ahli keluarganya yang lain tidak mampu lagi untuk menghalang. Anak muda berkelulusan Bahasa Inggeris di universiti terkemuka tanah air ini sudah aktif terlibat dengan misi-misi kemanusiaan sejak usia nya menginjak 15 tahun apabila sering menjadi teman setia Ustaz Faqih dalam misi kemanusiaan yang dijalankannya. Memandangkan Ustaz Faqih adalah antara sebilangan kecil ikhwah senior yang ditakdirkan selamat dalam setiap misi kemanusiaan yang mereka jalankan, Ahli Persatuan Keamanan Sedunia masing-masing sebulat suara untuk membentuk Rumah Yayasan Ikhlas di ibu kota Kuala Lumpur sebagai tulang belakang kepada persatuan mereka, dan dikendalikan sendiri oleh Ustaz Faqih dengan bantuan Halim.

“Addien, Aqil! Cepat, masa kamu berdua sudah tiba!” Laungan Ustaz Faqih yang tegas itu mengejutkan mereka berdua.

Tanpa banyak bicara, mereka segera berlari menaiki anak tangga menuju ke tingkat atas rumah. Tidak sampai 10 minit kemudian, tercegat kemas dua orang kanak-kanak lelaki comel berpakaian jubah putih dan berkopiah kemas sambil tangan mereka menggenggam erat naskhah quran terjemahan masing-masing.

“Hari ini giliran siapa dulu dengan Abang Halim, Ustaz?”

Aqil yang proaktif seperti biasa mengajukan soalannya kepada  Ustaz Faqih yang sudah memakai cermin mata bulatnya sambil menggosok-gosok hujung rotan buluh yang setia bersamanya.
Ustaz Faqih tidak menjawab tetapi mengarahkan telunjuknya kepada Addien.

Addien menelan liur. Hari ini dia tidak akan kalah dengan Aqil seperti selalu!

Halim di hadapannya tersenyum lebar memandangnya dengan mata bersinar.

“Bismillahirrahmanirrahim…”

Bergema ruang pengajian itu dengan satu suara kecil nyaring mengalunkan Surah Al-Baqarah ayat 155.
“Dan kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan,kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” [2: 155]

Burung-burung di luar rumah yang bertenggek di dahan pohon sena saling bercicipan tidak henti-henti seakan turut berzikir bersama alunan ayat suci dariNya yang dilantunkan oleh Addien.
Petang yang dingin itu menyaksikan Rumah Yayasan Ikhlas bergema dengan ruh kesungguhan anak-anak muda yang dipilihNya untuk meneruskan perjuangan Sang Nabi tercinta di muka bumi Malaysia ini.
“Yeayyyyy! Ana menang hari ni!” Addien berteriak sambil menolak bahu sahabatnya itu.
Aqil mengukir senyuman sumbing sambil mengelak.
“Lagi 2 hari menuju Ramadan ni akh, apa matlamat enta?” 

Addien melabuhkan punggung di sebelah Aqil yang mendongak memandang ke langit malam yang terbentang luas.
Sesiapa sahaja yang duduk bersama mereka berdua pasti tidak percaya bahawa mereka hanyalah kanak-kanak malang yang kehilangan ibu bapa dan keluarga tercinta, dan hanya berumur 8 tahun dek kerana isi perbualan mereka yang ketara berbeza daripada kanak-kanak lain seusia mereka. Seawal usia mereka berdua menginjak 3 tahun, Ustaz Faqih telah mengajar mereka membaca dan menghafaz Al-Quran sehinggalah mereka berjaya khatam hafazan masing-masing pada usia 8 tahun. Bukan itu sahaja, Ustaz Faqih turut membawa mereka berdua ke program-program kemanusiaan di serata negara yang telah mengajar mereka berdua erti kehidupan, sehinggalah pada suatu hari, Ustaz Faqih berjaya mengasaskan Rumah Yayasan Ikhlas yang mengumpulkan anak-anak yatim kepada sahabat-sahabat seperjuangannya yang telah terkorban dalam misi kemanusiaan yang mereka sertai.
Sambil memainkan jarinya dengan rumput yang menghijau itu, Addien menundukkan pandangannya. 

“Ana… nak tingkatkan tahajjud setiap hari, nak bantu Abang Halim dan Ustaz Faqih lebih banyak dan nak doakan keluarga kita sentiasa dalam naungan rahmatNya di dunia sana..”
 Aqil mengangguk sambil tersenyum. Kolam matanya sudah mula bergenang. Sudah 8 tahun mereka berdua menumpang kasih Ustaz Faqih dan meraikan Ramadan serta Syawal bersama warga rumah Yayasan Ikhlas yang lain. Tatkala kanak-kanak sebaya mereka di luar sana sibuk merancang persiapan Ramadan dan Syawal bersama keluarga tercinta, mereka di sini bersama rakan seperjuangan tidak pernah berpeluang merasai nikmat itu.
Bukan mereka tidak akur dengan takdir, Cuma kadangkala jiwa mentah mereka sering terusik dan emosi mula menghantui mereka apabila melihat kebahagiaan kanak-kanak lain.

“Dahlah, nangis lama-lama pun tak ada guna nya kalau kita tak berbuat yang terbaik di sini untuk kebaikan mereka di sana, kan akh?”
Aqil mengesat air mata yang mengalir di pipinya sambil terus menghalakan pandangannya ke arah langit yang terbentang luas.
“Ana mahu jadi seperti Uwais Al Qarni yang ikhlas dalam kecintaannya kepada agama ini, keikhlasan yang sukar digambarkan itulah yang sepatutnya jadi impian kita semua sehingga bila-bila pun. Dan.. esok sempena hari-hari terakhir sebelum menuju Ramadan, ana ada something nak ‘bagi’ pada enta.”
Aqil sengih lebar sambil gilirannya pula menolak bahu Addien.
Addien tertolak ke hadapan dan hampir-hampir terjatuh dari bukit yang mereka duduki. Segera dia memandang tajam ke arah Aqil.
Aqil yang sudah menghidu tindakan seterusnya daripada Addien mula bangun perlahan-lahan, mengatur langkah untuk meninggalkan sahabatnya itu.

“AQILLLLLLL!!”
Suara nyaring Addien sekali lagi membuatkan Ustaz Faqih yang sedang mengulang bacaan hafazannya terhenti seketika, lantas dia menggeleng-gelengkan kepala melihat di kejauhan taman tasik di hadapan rumah Yayasan Ikhlas itu, dua orang kanak-kanak lelaki sedang kejar-mengejar antara satu sama lain.





Rumah Yayaysan Ikhlas, 29 Syaaban 1438 H
Kelihatan beberapa orang kanak-kanak lelaki mula membentuk bulatan, lutut bertemu lutut sambil menghalakan pandangan mereka kearah seorang kanak-kanak lelaki lain seusia mereka yang berpakaian lengkap jubah putih bersama kopiah kegemarannya. Semua mata seakan-akan menanti suara dari tubuh kecil itu.
“Baik InsyaAllah, kita mulakan halaqah kita malam ni dengan Ummul Furqan Al-Fatihah..”
Tidak jauh dari lingkungan itu, seorang kanak-kanak lelaki berkulit cerah, berserban kemas dan berjubah putih  memandang sahabatnya yang sedang mengetuai halaqah mereka pada malam itu sambil tersenyum lebar.


Friday, 14 April 2017

Insyirah

“Sadaqallahalazim...” Seorang gadis bertudung labuh warna biru firus baru sahaja menamatkan bacaan tilawahnya. Petang itu, surah Ad-Dhuha mengakhiri bacaan tilawahnya. Surah yang mempunyai seribu satu ibrah itu merupakan antara surah yang cukup digemarinya. Kerap kali ayat-ayat dari surah itu meniti di bibirnya tiap kali dia ingin mencari kekuatan. Seusai melipat telekung dan sejadah, dia bangkit meninggalkan tempat kebiasaan mengulang hafazannya, iaitu di sudut hujung dalam surau kepunyaan  asrama Tahfiz Ulul Albab Darul Firus itu. Sambil melangkah keluar dari surau, pandangan nya melilau mencari teman-teman yang selalu bersamanya saban petang untuk mereka bersama menikmati makan malam di dewan selera asrama. Tiba-tiba, “Insyirah!” Segera dia mencari arah punca suara. Pandangannya terhenti pada sesusuk tubuh yang berdiri tidak jauh darinya. Izzah, gadis kelahiran pulau pinang yang sentiasa ceria dan happening itu merupakan antara sahabat pertama yang dikenalinya di pusat tahfiz ini sehinggalah perhubungan mereka menjadi kian erat dari tahun ke tahun.“Insyi dah selesai murajaah dan tilawah? Jom makan bersama, yang lain dah tunggu di dewan selera.” Insyirah tersenyum dan mengangguk lantas segera mengekori temannya menuju ke dewan.
            Insyirah. Nama yang seringkali menimbulkan rasa lapang di hati sesiapa yang menyebutnya. Bukan semata-mata kerana maksud yang terkandung di sebalik nama yang indah itu, tetapi juga kerana si empunya nama sememangnya terkenal dalam kalangan pelajar sekolah Tahfiz Ulul Albab Darul Firus dengan budi perkerti, akhlak yang sangat indah dan menyenangkan. Bukan setakat itu, Insyirah walaupun terkenal dengan sifat pemalunya, namun dia juga merupakan salah seorang yang dipercayai dalam kalangan guru-gurunya untuk menjadi Penolong Ketua Umum di sekolahnya. Insyirah yang sentiasa dihormati kerana kecerdasannya, ketegasannya, keelokan budinya. Orang kata, segala nilai-nilai yang ada pada dirinya merupakan pakej yang lengkap untuk menjadi seorang muslimah sejati. Insyirah merupakan anak sulung daripada 3 orang adik beradik. Dia yang berumur 17 tahun merupakan tempat bergantung kedua-dua orang adik lelakinya, Iman dan Amin selepas kedua-kedua orang tua mereka meninggal dunia dalam satu nahas jalan raya ketika Insyirah berumur 13 tahun. Kini, telah pun genap tahun ke 5 orang tua Insyirah meninggalkan mereka bertiga. Mujur bapa saudara mereka, Encik Halim sudi menyara mereka adik beradik, dan bapa saudara mereka itulah tempat menumpang kasih sayang yang telah lama hilang dari kehidupan mereka. Walaupun Insyirah kehilangan tempat bergantung kasih sayang dari kedua orang tuanya, selain bapa saudaranya dia turut dikurniakan beberapa orang teman yang setia bersamanya susah dan senang. Ada enam orang semuanya yang terdiri dari latar belakang keluarga yang pelbagai. Izzah, Mastura, Emilia, Nisa, Hanna dan Hani. Sememangnya seluruh warga tahfiz itu maklum dengan betapa eratnya hubungan antara mereka bertujuh. Iman dan Amin pula yang masing-masing berumur 13 dan 14 tahun turut bersekolah di sekolah yang sama. Betapa beruntungnya Encik Halim dan isterinya kerana mempunyai anak-anak saudara yang soleh solehah. Ternyata arwah adik lelakinya itu telah meninggalkan permata-permata yang terlalu berharga buat dirinya.
Beberapa bulan sahaja lagi pelajar Tahfiz Ulul Albab Darul Firus akan menduduki peperiksaan SPM, dan kesibukan mengulangkaji pelajaran dan kelas tambahan saban hari itu tidak pernah menghalang mereka untuk tetap berterusan mengulang hafazan. Insyirah turut tidak ketinggalan dengan rutin harian nya mengulang hafazan dan mengulangkaji pelajaran. Hari itu, angin sepoi-sepoi bahasa meniup lembut tudung bawal hijau yang dipakainya. Insyirah dan teman-temannya khusyuk menelaah pelajaran masing-masing. Tiba-tiba, salah seorang daripada mereka memecah kesunyian antara mereka bertujuh. “Fuh, kenapa ana rasa berdebar sangat eh sejak kebelakangan ni? Walaupun setiap hari kita sama-sama ulangkaji pelajaran, ana tetap rasa tak bersedia untuk hadapi peperiksaan yang besar ni.” Yang lain sejak tadi khusyuk menatap nota masing-masing lantas menghalakan pandangan kepada sahabat mereka yang seorang itu. Izzah, memang terkenal dalam kalangan mereka yang paling extrovert dan ceria.
“Eh Insyi, kenapa ya, hang selalu tenang sangat, walaupun dalam situasi ‘genting’ sekarang ni?” Izzah meluahkan rasa hairan yang terbuku dalam hatinya sejak tadi. Insyirah hanya menguntum senyum. Dia membalas perlahan. “Izzah, hang nii, macam baru harini kenal ana kan? Ana ni nampak aje tenang tau, luaran. Tapi dalam hati, entah macam mana bergelojak Allah aje yang tahu.” Izzah buat muka. “Eleh, bergelojak kononnn, ehem, selalu setiap kali exam kenapa nama hang aje yang terpampang kat senarai nama kelas pertama anugerah pengetua?”
“Allahu, itu rezeki namanya Izzah, ana usaha aje sehabis baik, yang beri semua hasil tu Dia yang selayaknya.” Teman-teman yang lain sudah mula tersengih-sengih apabila mereka lihat wajah Insyirah sudah mula merah padam kerana malu. Lantas tika itu juga tawa mereka berderai. Taman tasik di sebelah asrama mereka hidup dengan kehadiran anak-anak muda yang jelas matlamat mereka melaksanakan setiap perkara kerana-Nya.
            Iman, adik lelaki Insyi yang berumur 13 tahun dikejarkan ke hospital. Iman yang sedang asyik bermain bola sepak bersama rakan-rakannya tiba-tiba jatuh pengsan apabila hendak membalas sepakan dari rakannya. Insyi yang sedang tekun mendengar pengajaran gurunya terganggu seketika apabila guru kaunselornya, Cikgu Hafiz masuk ke dalam kelas lantas meminta izin untuk bertemu dengan Insyi. “Insyirah, maaf kerana mengganggu konsentrasi kamu belajar, tetapi, cikgu rasa perkara ini perlu diberitahu kepada kamu.” Insyirah diam. Dadanya berombak kencang tiba-tiba. Dia seakan boleh mengagak berita yang akan keluar dari mulut Cikgu Hafiz. Cikgu Hafiz perasan akan perubahan yang berlaku pada wajah Insyirah. “Insyirah, maafkan cikgu, adik kamu, Iman baru sahaja dikejarkan ke hospital kerana pengsan sewaktu bermain bola pada sesi Pendidikan Jasmani pagi tadi, Alhamdulillah dia sudah sedarkan diri dan keadaannya stabil.Cuma..” Cikgu Hafiz tidak meneruskan ayatnya. “Cuma dia mempunyai satu penyakit kanser Tahap 1.” Insyirah tiba-tiba menyambung. Cikgu Hafiz tersentak. Tanpa menunggu Cikgu Hafiz meneruskan kata-katanya, Insyirah pantas becerita. “ Iman memang sudah dikesan mempunyai kanser barah otak hujung tahun lalu sewaktu dia berumur 12 tahun, dia sering mengalami masalah ingatan dan seringkali jatuh pengsan kerana pening tiba-tiba. Bapa saudara saya sudah maklum akan perkara ini, kami bersyukur kerana penyakit kanser Iman dikesan sejak awal. Sekarang, Iman masih dalam proses menjalani rawatan di hospital sebenarnya, Cuma adik saya.. Iman tu, memang ‘berlagak’ seolah-olah dia seorang manusia normal yang sihat sejahtera.” Cikgu Hafiz menggelengkan kepalanya. “Insyirah, tolong jangan rahsiakan apa-apa lagi daripada kami, kami sedia membantu kamu adik- beradik setulus hati, kami tidak sanggup kehilangan permata yang terlalu berharga di Pusat Tahfiz ini.” Insyirah tunduk. “Maafkan saya cikgu, memang niat saya tidak mahu menyusahkan orang lain selagi kami berkemampuan.” Cikgu Hafiz mula mengukir senyum. “Insyirah, kamu mesti berjanji dengan saya, kamu tidak akan mengecewakan warga Tahfiz ini dengan keputusan SPM  kamu kerana menanggung ujian seberat ini. Buktikan pada diri kamu yang kamu mampu tabah melawan kesusahan ini dan menghadiahkan keputusan SPM yang cemerlang kepada diri kamu dan kami guru-guru!”

            Peperiksaan SPM baru sahaja berlalu, seluruh pelajar Tahfiz Darul Firus menyambut kejayaan mereka mengharungi peperiksaan dengan solat sunat hajat beramai-ramai. Insyirah dan sahabat-sahabatnya tidak ketinggalan memohon kepada yang Maha Esa agar urusan penandaan kertas peperiksaan mereka berjalan dengan lancar. Seusai solat, Insyirah dan sahabat-sahabatnya berjalan beriringan keluar dari surau menuju ke tempat kebiasaan mereka berkumpul. Taman Tasik Seri Kayangan yang dipenuhi pepohon sena yang sedang berbunga mekar. Mastura, sahabat Insyirah yang kecil molek mula mengutip bunga-bunga yang bertaburan di sekitar pohon tempat mereka selalu berteduh. “Seronok kan, kalau ukhuwwah kita mekar seperti bunga ni, sampai bila-bila.” Insyirah dan yang lain menoleh ke arah Mastura yang leka mengutip bunga sambil berceloteh. Izzah tiba-tiba bersuara, “Mas, apa yang hang merepek nii, kan kita memang dah berjanji nak jaga baik-baik ukhuwwah ni sampai ke syurga-Nya InsyaAllah? Takda apa yang perlu dirisaukan kalau hati masing-masing dah terikat dengan kasih sayang yang dinaungiNya. Nak ana ulang lagi Surah Anfal ayat 63 tu ka? Tak gitu, Insyi?” Insyi yang sedari tadi diam memerhati lantas mengangguk. “Memang benar. Kita memang berjanji untuk jaga ukhuwwah yang dibina sehingga ke syurga. Tapi, hati manusia sentiasa berubah-ubah, dan pelbagai lagi cubaan dan halangan yang bakal kita semua hadapi bila dah melangkah ke alam universiti nanti. Perkara yang paling kita tak mahu adalah hadirnya rasa antara kita sudah tidak penting lagi dalam diri masing-masing. Kita kena sentiasa berusaha untuk jaga ukhuwwah ni dengan saling berhubung dan mendoakan antara satu sama lain bila dah berjauhan nanti. Kalaupun tak berhubung, kita mesti saling mendoakan. Selebihnya, Allah yang tolong jagakan untuk kita sesama kita.” Emilia yang khusyuk membaca novel siri penulis kegemarannya, Hlovate, segera mengangkat mukanya dari buku lantas mendongak ke langit. Antunna nak tahu tak, harapan tu kan, selalu akan ada. Emi selalu tengok langit kalau sedih. Sebab Emi tahu harapan mesti ada sebagaimana langit yang seringkali muncul kebiruan selepas malam yang gelap pekat memenuhi sekalian alam. Antunna, pandanglah langit selalu sekiranya salah seorang daripada kita terpisah, salah seorang daripada kita tidak jujur, salah seorang daripada kita sudah benar-benar jauh. Dengan harapan dan doa, dia akan kembali seperti dahulu, bersama kita, menjaga ukhuwah ni sehingga ke syurga.” Tiba-tiba, Izzah bertepuk tangan, “PAPP, PAPP” “Fuh, tak pernah tak haru mendengar falsafah enti ni, Emi, hehehehe. Ni semua membuatkan ana nak rajinkan diri jugak membaca novel-novel ‘ilmiah’seperti tu,” Nisa mencelah. “Weyh Izzah, tak habis-habis hang mengusik Emi kan? Hang tu pun apa kurangnya, dalam hati ada taman beb! Macam ana tak tahu hang selalu curi-curi tulis diari waktu kami semua sedang tidoq kann, hahaha” Nisa mengambil buku berkulit keras tebal warna maroon dari belakang Izzah lantas mengangkatnya. Izzah blushing. Yang lain sudah mula ketawa terbahak-bahak. “Nisaaaaaaaaa!!!” Berlakulah adegan kejar mengejar antara dua sahabat di taman Tasik yang permai. Petang itu, pohon sena yang lebat berbunga menjadi saksi pertemuan terakhir antara mereka
            Insyi bersiap-siap dengan jubah hijau gelap serta tudung bawal turki corak dahlia yang digemarinya. Tidak sabar rasanya untuk bertemu dengan sahabat- sahabat seperjuangannya. Bayangkan, cuti selama tiga bulan lebih sementara menunggu keputusan keluar mereka tidak langsung berpeluang untuk bertemu kerana jarak tempat tinggal yang jauh dan tuntutan lain. Ada yang bekerja, mengambil lesen memandu dan tak kurang juga yang sudah menyambung pengajian melalui laluan pantas. (baca: fast track) di salah sebuah universiti awam.
“Insyi, kamu dah sedia? Jom segera, Pakcik mahu hantar adik kamu ke hospital pula selepas ini.” Insyi tersedar dari lamunannya lantas segera turun ke tingkat bawah. Terlihat bapa dan ibu saudara kesayangannya tersenyum manis kepadanya. Sambil bersalaman dengan Puan Faridah, ibu saudaranya, sempat berpesan. “Insyi, apa-apa juga keputusan yang kamu terima, kami juga akan terima dengan lapang dada.” Insyi senyum. “Makcik, insyaAllah, moga segalanya baik-baik saja.Insyi dah serahkan segalanya pada Dia.”

Terdengar riuh dan  esak tangis di dalam dewan Pusat Tahfiz itu. Ada yang menangis kegembiraan, tidak kurang juga yang menangis kerana kesyukuran. Insyi sedari tadi melilau pandangannya mencari kelibat rakan-rakannya namun seperti tiada seorang pun yang kelihatan. Gelagatnya itu mendapat tumpuan Cikgu Hafiz. Cikgu Hafiz lantas mengatur langkah menuju tempat Insyirah berdiri. “Assalamualaikum Insyirah,” Insyirah berpaling. “Ehh cikgu Hafiz! Apa khabar cikgu?” Cikgu Hafiz membalas, “Alhamdulillah saya baik-baik sahaja, ohya, bagaimana dengan keputusan kamu?” Cikgu Hafiz sengaja mengukir senyuman lebar sambil matanya melirik kepada slip peperiksaan yang dipegang Insyirah. Insyirah tersipu malu. Lantas dia menyerahkan sendiri slip peperiksaan tersebut kepada cikgu Hafiz. “Terima kasih untuk segala nasihat dan dorongan cikgu kepada saya selama ini, anggaplah keputusan ini sebagai hadiah buat cikgu dan warga Tahfiz.” Cikgu Hafiz menyambut slip dari tangan Insyirah lantas terus mengucapkan hamdalah tidak putus-putus sebaik sahaja matanya tertancap pada jumlah  bilangan A+ yang berderet di slip kepunyaan Insyirah. “Tahniah Insyirah,” Cikgu Hafiz menyeka air mata yang mengalir di pipinya.
Setibanya di rumah, Insyirah mendapat khabar berita tentang keputusan SPM sahabat-sahabatnya. Kesemua mereka berjaya memperoleh straight A dan Insyirah lah orang yang terlalu gembira dengan keputusan mereka. “Kenapa antunna tak datang sama ambil result pagi tadi?” Soal Insyirah sambil menambah emotikon sedih pada mesej ringkas whatsapp di group kepunyaan mereka. Tidak sampai beberapa saat, muncul mesej balasan dari teman-temannya. “Insyiiii tahniahhh awakkk!!, maaf Izzah tak dapat nak hadir sebab ada urusan kerja yang tak dapat dielakkan. Nah bunga ros untuk awak.hihi.” –Izzah. Insyirah menggelengkan kepalanya membaca mesej dari Izzah sambil tersenyum lebar. “Tak habis-habis dengan bunga ros dia.” Mesej lain muncul. “Haii Insyii, mashaa Allah Insyiii, ‘pengsan’ ana tengok result enti hahaha tahniah Insyi sayangg, btw maaf tak dapat hadir jugak sebab ada ujian memandu hariniii,” –Mastura. Nisa, Emilia, Hanna dan Hani membalas perkara yang serupa. Walaupun Insyi sedikit kecewa, namun kekecewaannya sedikit terubat  apabila kesemua sahabatnya memberikan respon balas dan merancang untuk berjumpa dalam masa yang terdekat sebelum masing-masing melangkah ke alam baharu. Sekali lagi, keadaan tidak mengizinkan untuk mereka bertemu atas kekangan masing-masing. Insyirah pasrah dan mereka berjanji untuk saling berhubung selepas bermula kelas di universiti kelak.
            10 Julai 2015. Insyirah diterima masuk ke sebuah Kolej Mara yang terletak di Barat tanah air dengan tajaan penuh dari pihak Majlis Amanah Rakyat. Sebelum melepaskan Insyirah di Kolej Mara tersebut pada hari pendaftarannya, Pakcik Halim sempat berpesan, “ Insyirah, pakcik tahu kamu akan jaga diri kamu baik-baik walau di mana pun kamu berada, tapi pakcik tetap tak akan tinggalkan pesanan untuk pandai-pandailah kamu memilih dengan siapa kamu berkawan. Kalau lebih baik, carilah rakan-akan seperti di Pusat Tahfiz dulu. Ingat, berusahalah untuk istiqamah beramal dengan apa yang kamu pegang dalam hidup. Pakcik dan Makcik sentiasa mendoakan kamu.” Insyirah membalas. “Baik InsyaAllah Pakcik. Saya akan cuba jaga baik-baik prinsip yang saya pegang dalam hidup. Di mana pun saya pergi. Halalkan segalanya ya, sepanjang Pakcik dan Makcik bersusah-payah untuk kebajikan kami adik beradik.” Insyirah tidak dapat menahan kolam matanya yang bergenang sejak tadi dari tumpah membasahi pipinya. Dia beralih kepada adiknya, Iman dan Amin sambil bersalaman. “Doakan kakak, Jangan nakal-nakal dan jaga Pakcik Makcik baik-baik.” Iman dan Amin mengangguk dan memeluk erat kakak kesayangan mereka.
Sambil berjalan menuju pulang ke asrama kolej, Insyirah masih lagi mengesat air mata yang bercucuran sejak tadi membasahi pipinya. Entah kenapa, dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena yang akan berlaku pada dirinya sepanjang perjalanan ke kolej sebentar tadi.

Sebulan berlalu. Kelas Kimia pada petang itu berjalan seperti biasa. Usai kelas, Insyirah seperti biasa mengatur langkahnya menuju ke surau untuk bersolat asar dan murajaah hafazannya. Waktu yang bersisa sebelum maghrib menjelma akan dimanfaatkan sebaiknya untuk mengulangkaji pelajaran dan menyiapkan assignment yang bertimbun. Insyirah yang biasa jalan berseorangan ke mana sahaja dia pergi rupa-rupanya mendapat tumpuan beberapa pelajar perempuan di kelasnya. Salah seorang daripada mereka bercadang untuk berkenalan dengan Insyirah. Tiba-tiba seorang daripada mereka menyampuk. “Eh, biar betul kau? Nak kenal dengan budak tudung labuh macam langsir tu?? Eii korang pergilah, aku tak sanggup nak terkena tempias alim dia. Sambil membetul-betulkan hujung shawl yang dipakainya, dia berjalan meninggalkan rakan-rakannya.
“Ehem. Assalamualaikum, awak ni Insyirah kan? Maaf mengganggu, saya lihat awak selalu jalan seorang. Awak ada masalahkah?, Oh btw, saya Amirah, dan yang ni Syahirah.” Insyirah yang sedang berjalan menuju ke surau disapa oleh dua orang pelajar perempuan sekelasnya. Sambil memberikan senyuman, dia membalas. “Waalaikumussalam Amirah dan Syahirah. Eh tak mengganggu pun, saya memang suka jalan seorang diri, bukan apa, mahu kejar masa kerana banyak perkara untuk diselesaikan kerana di sini semua ‘laju’, jadi saya yang agak ‘lambat’ ni kenalah belajar buat kerja cepat-cepat. Hehe.” Insyirah menggaru kepalanya yang tidak gatal. Gadis dua orang yang berada di hadapannya saling berpandangan. Amirah yang sejak tadi memerhati pakaian Insyirah yang bertutup dari atas hingga bawah membandingkan baju t-shirt lengan pendek yang dipakainya beserta inner hitam untuk menutup lengan. “Oh begitu, bukan apa, kami ni sejenis yang suka berkawan, jadi kalau ada apa- apa untuk kami bantu, beritahu saja ya!” Amirah membalas sambil meminta diri untuk ke kantin makan selepas mereka bertukar nombor telefon.

Insyirah meletakkan beg dan fail yang digalasnya sambil mindanya ligat berfikir. Ingatannya terus terbawa kepada 6 orang sahabatnya yang jauh di perantauan di seluruh Malaysia dan luar negara. Rindu, namun Insyirah pasti dirinya termasuk mereka bertujuh walaupun jarang berhubung antara satu sama lain, hati mereka sering terpaut. Seusai murajaah hafazannya, Insyirah beralih pula untuk menyelesaikan assignment. Namun dia mendapati dirinya sering tidak fokus kerana asyik memikirkan perbualan antara dirinya dan rakan sekelasnya sebentar tadi. “ Mungkin, aku boleh berkawan dengan mereka untuk sedikit demi sedikit mengajak mereka ke arah kebaikan?” Insyirah bermonolog sendirian. Memang dia sudah maklum dengan rakan sekelasnya yang lebih terbuka bersosial dengan pelajar lelaki, latar belakang keluarga dan sekolah yang berbeza dan akhlak mereka bersama pensyarah yang benar-benar membuatkan Insyirah agak culture shock mendapat classmates sedemikian rupa. Sambil menguis-nguis pensilnya, Insyirah berhasrat untuk memulakan langkah pertama untuk berkawan dengan mereka.
Tengahari itu para pelajar agak ramai memenuhi dewan selera Kolej. Insyirah menatang dulangnya sambil melilau mencari tempat kosong. Tiba-tiba, terdengar suara memanggil namanya. “Insyirah!” Segera dia mencari arah suara tersebut. Rupa-rupanya Amirah dan Syahirah serta seorang rakannya dilihat  melambai-lambai ke arahnya. Insyi lantas mengatur langkahnya menuju kearah mereka bertiga. Sambil melabuhkan punggung di  sisi Amirah, Insyirah melemparkan senyuman kepada Syahirah dan seorang lagi rakannya. “ Insyirah, kenalkan yang hujung tu Zahirah.” Insyirah menggangguk sambil melemparkan senyuman. Zahirah memandang Insyirah dari atas ke bawah dan membalas senyuman Insyirah acuh tidak acuh. Sambil menikmati makanan, Amirah yang sejak tadi diam, memecah kesunyian antara mereka berempat. “Ohya, esok hari minggu kan, kita keluar ke bandar esok mahu tak, Insyirah?” Insyirah membalas teragak-agak. “Err esok ya? InsyaAllah boleh.” Amirah menjerit kecil. “Yeay! Baik, kalau macamtu esok kita akan pergi awal pagi ya.” Insyirah menggangguk sambil mengunyah makanannya perlahan-lahan. Tiba-tiba dia merasakan sesuatu tidak senang di hatinya.
Insyirah yang sejak awal pagi telah menunggu di stesen bas resah melihat jam di tangannya sambil mencari kelibat Amirah, Syahirah dan Zahirah yang tidak kelihatan. Insyirah mengeluarkan mushaf yang sering dibawanya ke mana-mana dan mula bertilawah. Tiba-tiba, bahunya ditepuk dari belakang. Insyirah berpaling. Dilihatnya mereka bertiga sedang berada di belakangnya. Amirah Nampak seperti diburu rasa bersalah. “Maaf ya Insyirah, kami terlewat kerana baru saja bangun. Maklumlah, malam tadi kami marathon drama korea.” Tanpa menunggu untuk Insyirah membalas. Zahirah segera menyampuk. “Dahlah, jom cepat, banyak tempat kita nak singgah lepas ni.” Insyirah bangkit mengikuti mereka menaiki bas yang baru sahaja tiba. Bas yang dinaiki mereka berhenti di hadapan sebuah kompleks beli belah di Bandar itu. Sememangnya pusat beli belah inilah satu-satunya tarikan buat para pelajar Kolej Mara tersebut. Sambil berjalan beriringan menuju ke pintu masuk, Amirah yang berada di sebelah Insyirah berbisik perlahan kepadanya. “Insyirah, kami nak bawa awak jalan-jalan tengok wayang harini.” Amirah tersengih sambil terus menarik tangan Insyirah untuk ke panggung wayang yang terletak di dalam kompleks beli belah itu. Tanpa memberi peluang kepada Insyirah untuk memberi respon, Syahirah dan Zahirah membuka topik perbualan tentang filem-filem cinta kontemporari yang mereka minati. Sementara Amirah membeli tiket untuk mereka berempat, Syahirah menarik Insyirah yang kelihatan serba salah sambil berkata, “ Insyirah, awak nampak takut-takut, ada yang tak kena kah? Ohya, jom kita selfie bersama nak tak? Kami nak upload di instagram.” Berderau darah Insyirah mendengar kata-kata terakhir Syahirah. Dengan penuh rasa serba salah, Insyirah menerima ajakan rakan baharunya itu. Beberapa keping gambar telah diupload ke instagram, dan Insyirah yang sejak tadi tidak senang duduk mula berasa selesa dengan Syahirah yang pandai menceriakan suasana. Mereka terus berswafoto (baca: selfie) bersama sehinggalah tidak menyedari Amirah yang sudah lama menunggu di pintu panggung.
            “Insyirah, macam mana? Best tak cerita tadi? Heronya hensem kan? Saya teringin nak dapat kasih sayang daripada pakwe saya macamtu jugak!” Amirah berceloteh. Tiba-tiba, Syahirah menyampuk. “Ehem, Insyirah, awak tak ada ‘kekasih’ ke?” Soalan cepumas Syahirah itu membuatkan Insyirah sedikit terkejut lantas menggelengkan kepalanya. Gelengan Insyirah mengundang tanda tanya di raut wajah Syahirah, Amirah dan Zahirah.
            Selesai makan di restoran, mereka bergerak pulang Kolej. Hari menjelang maghrib dan Insyirah baru tersedar bahawa hari ini dia telah terlalai beberapa jam untuk murajaah hafazannya. Masuk sahaja ke dalam bilik, Insyirah terus menghempaskan tubuhnya ke katil dek kepenatan seharian di luar.
Azan maghrib yang baru sahaja berkumandang membuatkan Insyirah terjaga. “Astaghfirullah!!  terlepas asar, ulangan hafazan pun tak settle lagi, Allahu,” Insyirah meraup wajahnya dan terus menuju ke bilik air dengan tergesa-gesa.
Pagi keesokannya, Insyirah disapa oleh rakan-rakan sekelasnya sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke dalam kelas. Beberapa orang pelajar lelaki memandangnya sambil melemparkan senyuman. Tiba-tiba, terasa bahunya disapa seseorang. “Hai Insyirah, selamat pagi!” Amirah melabuhkan punggung di kerusi sebelahnya sambil tersenyum. Insyirah membalas seadanya. “ Selamat pagi Amirah,”
“Ohya, Insyirah, malam ni kami mahu ajak awak menonton perlawanan futsal antara pelajar lelaki batch kita buat julung-julung kalinya pada tahun ini, jom sama, selepas maghrib.” Insyirah yang sedang berombak kencang dadanya sekadar mengangguk perlahan. “Yes! Baik, kami tunggu di dewan selera ya selepas maghrib, jangan lambat!” Amirah bangkit dari kerusi sambil bernyanyi kecil.
Insyirah ligat mengemaskini statusnya di laman sosial instagram. Sejak akhir-akhir ini, jumlah terkumpul likesnya sudah mencecah ribu. Sambil tersenyum simpul, dia merenung kesemua gambar-gambarnya yang diupload ke laman sosial instagram kepunyaannya sejak tahun pertama persediaan dahulu. Ternyata komen-komen yang terpapar kebanyakannya memuji kecantikan wajahnya. Sedang asyik mengemas kini status, tiba-tiba iphone 5S yang dipegangnya nya bergetar menandakan notifikasi masuk di aplikasi waksep (baca: whatsapp). Mesej daripada seorang lelaki yang tidak dikenalinya. “Assalamualaikum, saya Azwan. Pelajar senior course engineering di kolej Mara. Tak silap saya selalu lihat awak sejak hari pertama awak mendaftar di sini. Err, kalau sudi, teringin jugak nak berkenalan dengan saudari yang cantik manis ni.” Tidak semena-mena bibir Insyirah mengukir senyuman. Malam itu, mereka bersembang rancak sehinggalah Insyirah tidak sedar bahawa dia telah mengabaikan sesuatu yang penting pada malam itu.
            “Insyi???” Insyi yang sedang asyik scroll gambar-gambar di instagramnya tertancap pada komen salah seorang pengguna di status gambarnya yang mendapat 5k likes. Selendang biru pendek dan agak jarang itu menjadi pilihannya di dalam gambar itu. “Izzah…” Insyi berbisik perlahan. Entah mengapa, jiwanya seakan meronta untuk membalas komen sahabat yang dicintainya suatu ketika dahulu tetapi egonya melebihi kehendaknya. Lantas dia segera mengabaikan komen tersebut. Sejak hari itu, notifikasi waksep nya penuh dengan mesej-mesej daripada sahabat-sahabat lamanya namun segalanya diabaikan. Sekadar bluetick.

Nun jauh di utara tanah air, beberapa orang gadis bertudung labuh dilihat sedang duduk membincangkan sesuatu di bawah pohon sena di Tasik bersebelahan Pusat Tahfiz Darul Firus. Salah seorang daripada mereka terlihat begitu sugul. “Izzah, please utter some words, we need your wise opinion, jangan macamni, hang tak boleh jatuh macamni sekali hanya sebab sahabat kita yang dah jatuh tu!” Mastura bersuara memecah keheningan antara mereka. Lambat-lambat, Izzah bersuara, “Entah lah mas, ana rasa kita pun dah bersalah sebab tak pernah langsung ziarah dia kat kolej mara tu, walaupun kita cuba untuk contact dia banyak kali, tapi dia abaikan macamtu aje. Bermakna dia dah tawar hati dengan kita. Ana rasa kita yang bersalah sebab terlalu memandang tinggi pada kemampuan dia untuk survive di kolej Mara tu.”  “Ingat tak, kita pernah berjanji kan, tak akan lupakan ukhuwwah yang dibina ni, sampai bila-bila? Dan kita berjanji kepada Allah untuk berusaha mempertahankan nya walau apa juga cabaran yang menimpa?” Giliran Hanna pula melontarkan pandangannya. “ Antunna, ana tahu, kita semua masih terkejut dan bersedih dengan perkara yang menimpa Insyirah, memang kita tak boleh menyalahkan dirinya seratus peratus. Tapi mungkin juga, Insyirah sendiri yang tersilap dalam memilih rakan-rakan baharunya? Ukhti, ana yakin, Insyirah sebenarnya amat memerlukan kita.”
 Hani yang sedari tadi diam tiba-tiba bangkit bersuara. “ Yes!” Masing-masing berpandangan. Hani, kalau dia berkeadaan sebegitu bermakna ada sesuatu yang istimewa sedang berlegar di dalam buah fikirannya. Sambil melemparkan senyuman kepada sahabatnya, dia berbicara, “Ana ada idea yang sangat bernas! Untuk buat Insyi tersedar semula, selebihnya, kita mohon pada Dia agar jagakan Insyirah untuk kita semua.” “Apa dia?” Serentak terpacul kata-kata itu dari mulut mereka yang berenam. Hani buat muka dan tersengih lebar. “Allah, bantulah kami.” Izzah berbisik perlahan.
            Insyirah yang sedang asyik menaip tugasannya di komputer riba tidak perasan jam sudah pun menunjukkan waktu 3 pagi. Dia menggeliat sambil mencapai iphone 5S nya. Entah mengapa, hatinya tergerak untuk meninjau akaun facebooknya yang sudah berhabuk. Selesai log masuk, Insyirah dapati terdapat puluhan mesej di notifikasinya. Malas untuk memeriksa notifikasinya yang berlambak, Insyi beralih kepada post-post rambang di paparan wallnya. Tiba-tiba, matanya tertancap pada satu post yang bertajuk, “Permata yang Hilang, masihkah ada harapan? Tajuk post tersebut dibacanya satu persatu. Dilihatnya sudah ratusan share dan likes yang diraih. “Novel rupanya.” Getus Insyirah apabila membaca dekripsi yang diberikan. Lantas tidak semena-mena hatinya meronta-ronta untuk mula membaca isi kandungan novel online tersebut.


Perlahan di tekannya link yang disediakan, muncul paparan novel versi ebook di komputer ribanya. Menjengah ke muka surat pertama, serta merta dadanya mula berombak kencang. Berdebar-debar sebaik sahaja membaca dedikasi prolog dari penulis novel tersebut, Miss Izz. Dedikasinya berbunyi, “Jazakillah khairan katsira kepada sahabat-sahabat seperjuangan, dalam kesibukan menuntut ilmu, masih berpeluang mencurahkan buah fikiran untuk penghasilan novel yang banyak serba kekurangan. Tanpa antunna, tidak mungkin tercapai matlamat novel ini dihasilkan. Untuk si dia, yang sentiasa kami ingati dan kasihi, kembalilah..kami rindukan kamu yang dahulu.  Khas buat jiwa-jiwa yang pernah berukhuwwah, moga bermanfaat, moga mendapat reda Allah.”
Insyirah mula mengubah posisi duduknya dari kerusi meja belajar ke atas katil. Disandarkan belakangnya ke dinding sambil menyambung bacaannya.

TSIQAH PADANYA –Miss Izz
Sepanjang 20 tahun aku melayari hidup yang penuh suka duka dan pancaroba ini, ada seseorang yang cukup istimewa dalam hatiku. Mungkin aku boleh katakan, posisi sebagai seorang sahabat yang cukup istimewa, ada sesuatu yang istimewa pada dirinya, tidak terdapat pada orang lain. Pertama kali melihat wajahnya, jujur aku katakan, waktu itu jiwa mudaku yang memberontak dan kacau, serabut, jadi hilang apabila melihat wajahnya yang bersih dan menenangkan. Pertama kali juga mengenali dirinya, sudah tertawan dengan akhlaknya yang cukup menawan. Gadis itu, yang gemar menyarung tudung labuh warna biru firus, berkulit putih kemerah-merahan, tinggi lampai dan halus suaranya, telah mencuri hatiku saat pertama kali memulakan ‘sesi taaruf’ secara tidak rasmi bersamanya. Masih segar di ingatan, waktu itu jiwaku serabut dek kemelut yang berlaku dalam kalangan ahli keluargaku. Ternyata emosiku terjejas teruk dan aku gagal mengawalnya dengan baik. Setiap kali jumpa orang , mesti hendak marah dan memaki-maki, walaupun orang itu tidak pernah melakukan walau sekelumit masalah kepadaku. Ditakdirkan pertemuan kami, waktu itu perutku minta diisi, lantas dengan langkah yang longlai dan jiwa yang kacau, aku gagahkan juga kaki ku mengatur langkah ke kantin sekolah memandangkan dewan selera sudah tutup. Aku memesan Nasi Goreng Kampung bersama air sirap kegemaranku. Sedang menunggu pesanan siap, aku menghantarkan pandangan ke sekitar kantin, matahari yang panas memancar terik menghangatkan kulitku.  Ada beberapa orang pelajar yang masih menikmati makanan di kantin. Tiba-tiba, pandanganku terhenti kepada seorang pelajar perempuan tinggi lampai bertudung labuh warna hijau sedang menyapu sampah yang bertebaran di sekitar kantin. Lantas aku bermonolog sendirian, “Rajinnnnya budak ni? Tengahari buta panas macamni buat kerja macamtu,” Sememangnya aku pernah mendengar perbualan rakan-rakan sekelasnya tentang seorang pelajar perempuan dari Tingkatan 3 Baiduri akan datang setiap dua hari sekali membantu para pekerja di dewan selera, kantin dan surau. “Rupanya dialah orangnya,” Getus hatiku lagi. Tiba-tiba, Makcik dari kaunter makanan memanggil aku untuk mengambil pesanan yang sudah siap. Sambil berjalan mencari tempat yang sesuai untuk menikmati juadah, aku menatang pinggan nasi gorengku dan air sirap. Entah mengapa, aku terlanggar kerusi salah sebuah meja makan dan badanku hilang keseimbangan lantas air sirap yang dibawa tumpah. Hatiku berdebar kuat apabila air tersebut tidak jatuh ke lantai tetapi sebaliknya mengenai seseorang. “Ahh!” Terdengar satu suara halus menjerit kecil. Aku yang sedari tadi memandang ke lantai lantas mengangkat kepalaku.Takut-takut. Disebelahku, seorang pelajar perempuan berkulit putih kemerah-merahan bersama sebatang penyapu di tangannya sedang memegang tudungnya yang tertumpah air sirap kepunyaanku. Aku menggaru kepala yang tidak gatal lantas mulut laju menuturkan permohonan maaf. “Eh, tak mengapa! Sikit saja ni, lagipun, sekejap lagi memang mahu cuci semua baju.Hehe, lagipun saya yang ‘gatal’ menyapu di sini, maaf ya, mengganggu pula awak nak makan.” Aku terpana. Aku pula yang serba salah dibuatnya.  Lama kami berdiam di situ dan akhirnya dia meminta diri. Aku yang tidak keruan tiba-tiba melontarkan sesuatu, “Eh, emm ana Hajar,” sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman. Salamku bersambut. “Ana, Sofea.” Satu senyuman manis dilemparkan kepadaku dan senyumannya hari itu bukan sahaja telah berjaya mengurangkan gundah yang bersarang di hatiku, malah telah menjadi satu permulaan yang indah kepada ukhuwwah kami.
Insyirah merasakan sesuatu yang tidak kena pada dirinya. Air mata yang bertakung di kolam matanya sepanjang membaca tadi akhirnya tumpah jua. Dia gagal mengawal emosinya. Bahunya terhenjut-henjut kerana esakan tangisnya. Merasakan dia tidak kuat untuk meneruskan bacaan tetapi jiwanya meronta-ronta untuk membaca halaman seterusnya. Seakan dapat meneka penulis yang kedua ini, tangisan Insyirah makin hebat.

IDOLA DALAM DIAM –Miss M
“Sadaqallahalazim…” Sofea dan rakan-rakannya baru sahaja menyudahi murajaah mereka pada hari itu. Hari yang baik, cuaca yang menyenangkan dan langit biru pekat serta angin yang bertiup lembut membuatkan gadis bertujuh yang sedang duduk membentuk bulatan di bawah pohon sena tepi tasik itu makin rancak berbual. Semua maklum dengan salah seorang sahabat mereka di situ yang baru sahaja berhadapan dengan satu ujian yang berat, ditambah dengan ujian yang sudah sedia ada ke atas dirinya.
“Sofea, kami sentiasa mendoakan hang, ingat tu selalu, hang tak keseorangan, moga Allah lepaskan segala jerih payah dan kesusahan yang hang hadapi.”  Hajar berbicara. “InsyaAllah, ana baik-baik aje, jangan risau,” ketenangan yang terpamer pada riak wajah sahabat mereka yang seorang itu begitu menghairankan. Sofea yang kuat, yang kental dan tidak pernah sekalipun mereka lihat dia bersedih dengan keadaan yang menimpa dirinya. Jauh di sudut hati, mereka tahu yang Sofea menanggung segalanya dengan sabar akan segala ujian yang menimpa dirinya.
Suasana sunyi seketika antara mereka bertujuh. Tiba-tiba, Ain, si kecil molek yang berwajah kebudak-budakan berbicara, “Antunna, kalau salah seorang daripada kita telah terpisah dan terlalu jauh antara kita, macam mana ya? Apa yang kita nak buat?” Sofea membalas persoalan Ain. “Kita akan buat satu cerita tentang kisah hidup kita bertujuh dan pastikan dia akan baca segala kisah suka duka pahit manis kita bersama, dan…” Dan? Serentak yang lain menyoal. “Kita akan tunggu dia semula, di bawah pohon sena ni, di tepi tasik yang menjadi saksi ukhuwwah kita mekar bersama.”

Insyirah tidak dapat meneruskan pembacaannya. Tangisan nya menjadi-jadi. Dia menekup mukanya dengan tangannya. Dalam tangisannya, pandangan nya tertancap pada tudung labuh biru firus yang tersangkut kemas di dalam almari. Serentak itu juga pandangan nya jatuh kepada quran mini yang terletak kemas di rak buku meja belajar kepunyaannya. Sudah satu tahun dia meninggalkan pemakaian muslimahnya dan qurannya sudah jarang-jarang di baca. Apatah lagi mahu sekadar meyelak. Dengan mata yang masih sembab, dia mencapai quran mini di rak buku. Diselak nya satu persatu halaman sehingga akhirnya selakannya berhenti di satu surah yang cukup digemarinya suatu ketika dahulu.  Ad-Dhuha. Perlahan dia mengalunkan bacaan. Beberapa titik air jatuh dari tubir matanya mengenai halaman quran yang dipegangnya erat.

Izzah baru sahaja selesai murajaah hafazannya. Selepas melipat telekung, dia menuju ke meja belajarnya untuk menyambung ulangkaji. Tiba-tiba, telefon bimbitnya berbunyi menandakan notifikasi grup di whatsapp masuk. Seperti biasa, dia tidak akan menghiraukan notifikasi nya, namun malam itu hatinya meronta-ronta untuk memeriksa mesej yang masuk. Ditekannya icon hijau bersimbolkan telefon, matanya terus tertancap pada satu mesej di satu grup yang sudah lama ‘berhabuk’. Kehairanan dan seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya, Izzah terus membuka notifikasi grup. Sebaik sahaja selesai membaca mesej tersebut, tidak semena-mena air matanya tumpah, dan bibirnya menutur hamdalah. Izzah menghela nafas, sambil menyandarkan belakangnya di kerusi yang didudukinya. Dia yakin ada hati-hati yang ceria sepertinya pada malam itu untuk turut berkongsi kegembiraan yang dialaminya.
Insyirah memarkir keretanya tidak jauh dari tasik bersebelahan pusat Tahfiz Darul Firus. Dia baru sahaja bertemu dengan ibu dan bapa saudaranya. Mereka yang sudah hampir putus harapan dengan apa yang berlaku pada dirinya setahun yang lalu benar-benar terkejut dengan perubahan yang berlaku ke atas dirinya. Adik-adiknya turut terpana dan kehairanan. Amin terlebih dahulu memulakan perbualan sewaktu mereka menikmati makan tengahhari bersama tadi. “Along, inilah Along kami yang pernah ‘hilang’ dulu.” Ucapan ringkas itu begitu meruntun jiwa seorang Insyirah. Pakcik saudaranya tersenyum memandang Insyirah. “Insyi, Allah berikan kamu sahabat-sahabat yang baik, yang memang bersungguh nak tarik kamu ke syurgaNya. Ohya, tadi Cikgu Hafiz kirim salam pada kamu.” Insyirah sudah dapat mengagak pakciknya telah memberitahu cikgu Hafiz akan perubahan dirinya. Insyirah tersenyum simpul.
             Insyirah menghela nafas. Dia keluar dari kereta Irisnya lantas berjalan menuju ke bawah pohon sena yang begitu dirinduinya. Sambil menunggu kedatangan insan-insan istimewa di hatinya, Insyirah duduk di bangku yang disediakan di bawah pohon dan  menyelak qurannya untuk mula bertilawah. 10 minit berlalu, insan yang ditunggu tidak juga kunjung tiba.
Insyirah meneruskan bacaannya. Sedang asyik bertilawah, tiba-tiba satu suara muncul di belakangnya, menyambung bacaan tilawahnya. Kemudian satu persatu ayat dari surah berkenaan di sambung oleh suara yang berbeza. Suara-suara yang cukup dikenalinya, cukup dirinduinya. Insyirah tidak segera berpaling. Air matanya sekali lagi bercucuran membasahi tudung labuh biru firus yang dipakainya. Terasa tangan seseorang memaut lehernya dari belakang. Kemudian satu suara berbisik di telinganya lembut, “Insyi, kami juga rindukan hang.” Suara itu. Suara yang sudah lama tidak dedengarinya. Tidak mampu menahan tangisnya, Insyirah lekas berpaling dan memegang tangan yang memaut lehernya lantas memeluk erat insan yang kini menghadapnya. “Insyi!!” serentak sahabat yang lain berlari mengelilingi mereka. Tiba-tiba terdengar suara, “Eh, ana baru perasan Izzah dah meninggi sikit weyh, hahaha dan nampaknya ukhti kecil molek kita makin jealous dengan makcik kepoh ni!” Semua mata termasuk Insyirah memandang kepada empunya suara. Hani. Ternyata waktu benar-benar mengubah segalanya. Hani yang pendiam telah mula menunjukkan ‘belang’nya. Insyirah memulakan perbualan. “Actually, ana macam dapat agak dah siapa punya idea untuk buat novel tu.” Sambil memandang tepat kearah Hani yang berdiri bertentangan dengan dirinya.” Sambil bersilang lengan, Hani membalas selamba, “Well, you knew who I am.” Serta merta pecah gelak ketawa antara mereka bertujuh.

 Pejam celik, dua tahun berlalu. Insyirah bakal menamatkan pengajian asasinya dan akan terbang ke Russia tidak lama lagi. Setahun yang lalu, dia telah meninggalkan pemakaian muslimahnya dan mula mengikut arus pemakaian rakan-rakan baharunya.  Namun, dek keprihatinan sahabat-sahabat lamanya, dia diberi kekuatan untuk kembali menjadi dirinya yang dahulu. Beberapa minit yang lalu, dia baru sahaja mengucapkan selamat tinggal kepada ahli keluarga serta beberapa orang sahabat nya yang menyambut pengajian degree mereka di tanah air. Pemergian Insyirah disambut dengan berita gembira bahawa adik lelakinya, Iman yang pernah dikesan kanser barah otak Tahap 1 telah pulih sepenuhnya berkat berterusan mendapatkan rawatan di hospital. Insyirah menghela nafas, sambil menghalakan pandangannya ke luar tingkap kapal terbang, matanya tidak lekang dari menikmati langit biru yang terbentang luas. Terngiang-ngiang di mindanya akan kata-kata salah seorang sahabat yang dicintainya, “Pandang langit, setiap kali anti jatuh, untuk ingatkan diri yang kita tak pernah akan lebih hebat dari sesiapapun, dan paling penting, harapan tu, selalu, akan ada Insyi.”
Insyi memperkemaskan duduknya lalu mencapai quran mini warna biru firus kepunyaannya. Baru sahaja hendak mula bertilawah, terdengar satu bunyi. “BUKK” sebuah buku bertajuk “Relasi” karya Hilal Asyraf singgah di kakinya. Insyirah tunduk mengambil buku yang jatuh dikakinya sambil mencari tuan punya buku tersebut. Tiba-tiba, muncul di sebelahnya. “Err, Assalamualaikum, maaf Cik, tu buku saya, terjatuh dari dalam beg sandang sewaktu hendak keluarkan barang tadi. Maklumlah, beg penuh dengan barang-barang, err maaf ya Cik.”
Insyirah membalas, “Ohh takde apa pun, nah buku awak.” Sambil menghulurkan Relasi kepada seorang pemuda tinggi lampai berkulit cerah dan berkaca mata yang berdiri di hadapannya itu.
“Terima kasih cik.” Insyirah membalas senyuman lelaki berkenaan dan dia berlalu meninggalkan Insyirah menuju ke tempat duduknya.
Perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Moscow memakan masa hampir 20 jam. Insyirah melangkah turun dari kapal terbang sambil mengucapkan syukur tidak henti-henti. Matanya melilau mencari senior-senior kumpulan pelajar Malaysia dari Universitinya. Tiba-tiba, seseorang menghampirinya, “Awak Insyirah? Saya Kak Ain, Jom, yang lain semua dah berkumpul di dalam.” Insyirah mengekori seniornya itu sambil mereka berbual-bual memulakan sesi ‘taaruf’. Tiba-tiba, matanya terhenti pada seorang pemuda tinggi lampai berkaca mata, sebiji yang dijumpainya di dalam kapal terbang tadi. Perasan akan Insyirah yang kehairanan, Pemuda berkulit cerah itu mengangguk kepadanya dari jauh sambil membuat isyarat menunjukkan dia juga satu universiti dengan Insyirah. Insyirah membalas anggukan pemuda tersebut.
“Weyh, Afiq, siapatu??  Ehh jappp itu bukan Insyirah ke? Pen Ketua Umum kita yang  anta duk minat sejak dulu tu ?! Wuhh tak sangka jumpa semula kat sini ehhh, Ehem.” Azrai, di sebelahnya buat-buat berdehem mengusiknya apabila melihat dirinya membuat isyarat dari jauh dengan gadis tudung labuh, berkulit putih kemerah-merahan itu. “Aish, hang ni! Ana terserempak dengan dialah tadi dalam pesawat.” “Oooooo” Azrai mencebik sambil buat muka. Afiq menggeleng-gelengkan kepala. Jauh di sudut hatinya, dia sudah ada perancangan untuk mengenali gadis bertudung labuh itu dengan lebih dekat. Perancangan yang patuh syariah dan diredaiNya. Siapa sangka, gadis yang diminatinya sejak zaman bersekolah di Pusat Tahfiz dahulu akan menuntut di universiti yang sama dengannya. Memang dahulu hubungan antara pelajar banin dan banat sangat-sangat terpelihara sehingga masing-masing seperti tidak mengenali antara satu sama lain, kecuali sekiranya seseorang itu adalah merupakan orang terpenting dan dikenali di sekolah mereka. Oleh sebab itu Afiq tidak hairan apabila Insyirah langsung tidak mengenalinya, kerana dia tidak pernah memegang apa-apa jawatan di pusat tahfiz itu ketika di dalam pesawat sebentar tadi. Afiq mengulum senyum. Segera dia beristighfar panjang dan memperbaharui niatnya. Afiq memandang Insyirah yang masih mengenakan tudung warna biru firus, warna kegemarannya sejak zaman persekolahan lagi sambil bermonolog. “Insyirah, semoga kekal tsabat.”













Percaya Sampai Syurga - Prolog

Dia leka menulis sesuatu di komputer riba. Jemari laju menekan papan kekunci, menyamai kelajuan susunan kata-kata di dalam minda yang sedang...