Kubang Pasu, Malaysia, 2010
Noorul menarik nafas dalam-dalam. Debaran di dada
masih belum berhenti. Fikirannya bercelaru. Baru sebentar tadi Mama dan
Babahnya meninggalkan perkarangan sekolah berasrama penuh ini. Suasana ini…suasana
yang terlalu baharu buat dirinya. Hari ini merupakan hari pertama pendaftaran
Tingkatan 4 di Maktab Rendah Sains Mara Kubang Pasu di negeri Kedah, negeri
Jelapang Padi.
Tadi, sepanjang tempoh perjalanan ke sekolah ini,
kereta yang dipandu babah berpapasan dengan pemandangan padi menghijau, saujana
mata memandang di kiri dan kanan jalan. Sepatutnya Noorul gembira dan teruja
serta terpukau dengan kecantikan negeri ini, tetapi sebaliknya yang berlaku.
Dia menangis sepanjang perjalanan. Maklumlah, tidak pernah berpisah dengan
kedua-dua orang tuanya sejak kecil, anak bongsu pula itu. Noorul hanya ada dua
orang adik-beradik. Dia dan abang sulung yang berumur tiga tahun tua
daripadanya, Mikael. Oleh sebab itu dia sangat rapat dengan Mama dan Babah
sejak kecil.
Keputusan untuk ke sekolah berasrama penuh ini pun
bukan atas keinginannya seratus peratus, namun atas pujukan Mama dan Babah
juga. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia menolak tawaran berkenaan apabila
surat tawaran tiba di rumah sebulan yang lalu. Mama dan Babah juga yang
menyarankan untuk dia menghantar permohonan ke MRSM apabila keputusan PMR
keluar waktu itu. Kata Babah,
“Sesekali jauh berjalan, luas
pemandangan… Allah bersama dengan orang-orang yang menuntut ilmu dengan penuh
sabar…”
Ahh Babah… ada ada sahaja… Noorul hanya mendiamkan
diri, cuba untuk kuat walaupun dia tahu Mama dan Babah mengetahui kondisi
hatinya yang tidak mahu berpisah dengan mereka. Tetapi apabila difikirkannya
semula…mungkin ini juga adalah peluang terbaik untuk dia ‘lari’ daripada
sesuatu. Mungkin ini cara Tuhan untuk ‘menyelamatkan’ dirinya.
Walaupun Noorul anak yang rapat dan agak… manja…
tetapi dia ialah anak bongsu yang berdikari tahu! Berdikari dalam erti kata…menyembunyikan
perasaan dan ‘rahsia’ sendiri. Dia sentiasa tampil ceria dan gembira di hadapan
Mama dan Babah, walaupun perasaannya penuh kecamuk dan ketakutan. Dia hanya
tidak mahu Mama dan Babah bimbang akan dirinya. Entahlah… sejak kecil Noorul
sangat banyak perasaan rendah diri. Rendah hati? Tidak, lebih tepat lagi rendah
diri… merasa diri tidak cukup bagus, tidak cukup baik, tidak… macam macam lagi
persangkaan negatif yang sering timbul dalam dirinya. Noorul juga seorang yang
sangat pemalu. Terlalu. Lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan orang yang
kurang rapat atau tidak dikenalinya, memang dia sangat pemalu. Oleh sebab itu
juga dia terlalu rapat dengan keluarganya kerana hanya ketika bersama Mama,
Babah dan abangnya sahaja dia boleh bersikap seperti biasa dan natural.
Ah… ini lah perjalanan paling panjang dalam hidupnya.
Perjalanan dari Petaling Jaya – Kedah bukan sesuatu yang mudah untuk emosinya. Debaran
masih bersarang di dadanya. Sana sini kelihatan ibu bapa mula beransur
meninggalkan perkarangan sekolah. Meninggalkan permata hati masing-masing.
Noorul menghela nafas, memegang dadanya. Dia menguatkan langkah, menuju ke
perkarangan asrama yang berada hanya beberapa KM dari tempat dia berdiri. Dormnya
berada di tingkat dua, kerana semua pelajar baharu tingkatan empat ditempatkan
di situ.
Perlahan-lahan, satu persatu anak tangga dipijaknya.
Ada beberapa orang pelajar perempuan yang berpapasan dengannya, memakai
kerudung putih, baju beige serta kain berwarna perang sedang menuruni tangga.
Noorul seperti biasa, memberanikan diri melirik kepada kumpulan pelajar
perempuan itu, dan melemparkan senyuman. Senyumannya bersambut. Seorang pelajar
perempuan berkulit cerah, ketinggian sederhana, melemparkan senyuman kepadanya
seraya menuruni tangga.
Noorul mengangguk kepada pelajar tersebut, tanda
hormat dan segera meneruskan langkahnya. Sampai sahaja di dorm, katil-katil di
kiri dan kanan sudah dipenuhi dengan barang-barang milik pelajar. Sebentar
tadi, sewaktu dia dan Mama menghantarnya bersama barang-barang ke dalam dorm
ini, ia masih kosong lagi, dan dia memilih katil paling hujung, jauh dari
pintu. Matanya dilirik kepada katil yang sudah dipasang cadar di sebelahnya.
Siapa agaknya pemilik katil di sebelahnya? Noorul menghembus nafas dan segera mengemas
barang-barangnya untuk mempersiapkan diri bagi sesi orientasi yang akan bermula
selepas maghrib.
+++
Noorul melangkah masuk perlahan-lahan ke dalam Surau
Al-Ikhlas. Dia yang mengenakan baju kurung berlatar hitam corak kuning cair
bersama tudung bawal hitam menjinjit beg telekung di tangan kanan. Ada Quran
kecil warna biru firus pemberian Mikael turut dibawa bersama di dalam beg
telekung itu. Surau kecil yang dihiasi karpet dan langsir berwarna biru itu
penuh dengan para pelajar baharu. Di setiap saf, sudah dipenuhi dengan kumpulan
pelajar perempuan, barangkali ada yang sudah berkenalan sesama sendiri, kerana
rancak sungguh perbualan masing-masing. Ada yang duduk bersandar di tiang,
sambil menunggu waktu maghrib tiba, ada yang duduk keseorangan di suatu sudut,
bersama telekung yang sudah disarung. Ada yang sedang mengambil dan menyusun
telekung masing-masing ke dalam almari.
Noorul melabuhkan punggung di suatu sudut yang tidak
ada begitu ramai pelajar berkumpul di kiri dan kanan, dan mula menukar telekung
yang dibawanya. Sejujurnya, debaran di dada masih hebat. Sejak sampai tadi,
hanya ada seorang pelajar yang diingatinya, itu pun bukan berkenalan, hanya
berpapasan di tangga dan berbalas senyuman.
Noorul mengeluarkan Quran biru firus pemberian
abangnya, dan mula menyelak perlahan-lahan. Dahulu, di persekolahan menengah
rendah, dia sempat menghafaz beberapa surah pilihan lain untuk tujuan
pertandingan hafazan, dan surah-surah berkenaan kerap menjadi penemannya saban
waktu. Jam tangan dilirik. Ada beberapa minit sebelum waktu Maghrib tiba. Surah
Waqiah dibuka, dan di semak pantas sebelum ditutupnya untuk mengulang hafazan. Perlahan
Noorul melantunkan Surah Waqiah yang dihafaznya, dengan penuh khusyuk. Tanpa
Noorul sedari, ada sepasang mata yang memerhatikannya sejak tadi.
+++
“Rapatkan saf….”
Kedengaran suara Imam di bahagian jemaah lelaki memberikan
pesanan untuk merapatkan saf masing-masing. Noorul membetulkan telekungnya, Quran
disimpan dan bersedia untuk masuk ke dalam saf jemaah wanita. Hatinya sudah
sedikit lapang, apabila usai mengulang hafazan sebentar tadi.
+++
“Assalamualaikum Warahmatullah…”
Salam kedua selesai diberi. Noorul membetulkan
duduknya. Tidak lama selepas zikir usai solat dibaca, doa dilafazkan dan Noorul
memohon dengan penuh khusyuk, agar Tuhan mempermudahkan urusannya selama
perjalanan baharu, di tempat baharu ini.
Para pelajar sudah mula bangkit dari saf masing-masing,
bersalaman dengan jemaah kiri dan kanan seusai peringatan dari pembesar suara kedengaran
agar pelajar baharu berkumpul di dewan utama untuk memulakan sesi orientasi.
Noorul baru sahaja hendak bangkit dari duduk apabila satu tangan dihulurkan
kepadanya. Noorul mengangkat muka. Seorang pelajar perempuan berkulit cerah
yang berpapasan dan berbalas senyuman dengannya ketika di tangga asrama
perempuan petang tadi sedang berada di hadapannya, bersama senyuman manis terukir
di bibir.
+++
“Ily. Ily Leeyana.”
Ujar budak perempuan berkulit cerah, berketinggian
sederhana yang sedang berjalan beriringan dengannya menuju ke dewan utama. Mereka
sempat berkenalan ringkas, walaupun Noorul masih malu-malu dan terkejut apabila
didatangi Ily . Rupanya sebelum Maghrib tadi Ily sudah memerhatikan Noorul yang
sedang mengulang hafazannya di hujung surau. Dan Ily segera memilih untuk solat
di sebelah Noorul. Ily merupakan anak jati Kuala Lumpur, dan anak ke-empat
daripada enam orang adik-beradik.
Sesi orientasi berjalan dengan lancar. Masing-masing
diberikan kumpulan berasingan dan terus ditempatkan mengikut homeroom
masing-masing. Entah kebetulan atau apa, dia dan Ily ditempatkan dalam homeroom
yang sama.
Tiba sesi suai kenal, gemuruh Noorul bertandang
kembali. Ada lapan orang ahli homeroom lain yang terdiri daripada empat orang
lelaki dan empat orang perempuan termasuk dia dan Ily. Ada yang dari Negeri
Sembilan, Pahang, Kelantan, Kuala Lumpur dan Johor. Debaran di dada Noorul
makin hebat. Selepas ini, merupakan gilirannya. Miss Fatihah, guru
homeroomnya bertepuk tangan usai Ily memperkenalkan dirinya.
Pandangan Ms Fatihah dan rakan-rakan homeroom lain
mula ditumpukan kepada dirinya. Bagai hendak tercampak keluar jantungnya ketika
itu. Noorul mengepal penumbuknya dan hendak membuka mulut bersuara. Bibirnya
bergetar tanda dia begitu gemuruh.
Tiba-tiba, satu tangan diletakkan di atas tangannya
yang sedang menggigil. Nurul melirik ke sebelah. Senyum manis terukir di bibir
Ily. Entah kekuatan apa yang menolak diri Noorul pada ketika itu, nafas dihela
perlahan dan dia memperkenalkan dirinya. Walaupun ada sedikit gugup pada
ucapannya, lebih lebih lagi apabila memberitahu harapan dan tujuan dia berada
di sekolah ini, ada sedikit kelegaan di hatinya apabila semua rakan homeroom
bertepuk tangan meraikan kehadirannya.
+++
Noorul dan Ily berjalan pulang ke asrama usai sesi orientasi di dewan utama. Noorul masih mendiamkan diri, fikirannya ligat
berputar tentang insecurities. Bolehkah aku menyesuaikan diri?
Seakannya, rakan-rakan homeroom yang lain nampak outspoken dan
hebat-hebat, termasuk Ily di sisinya.
“Tadi Noorul mengulang Surah Waqiah ya?”
“Huh?”
Noorul tersentak daripada lamunannya. Mereka sudahpun
tiba di depan pintu dorm.
“Err… ya…Surah Waqiah.”
Ily menolak pintu dorm. Baru ada beberapa orang yang
sudah tiba di dorm. Mungkin yang lain masih menjamu supper yang
disediakan di Dewan Selera.
“Nak tak kalau kita murajaah sama-sama?”
Ily menyoal sambil berjalan ke katilnya diikuti
Noorul. Mereka berhenti di sudut hujung, sudut paling jauh dari pintu.
“Eh?”
Serentak Noorul dan Ily berpandangan. Rupa-rupanya
katil dia dan Noorul bersebelahan. Pecah ketawa kecil daripada Ily. Noorul yang
sejak tadi mendiamkan diri turut tergelak. Ily mengukir senyum manis,
dilemparkan kepada Noorul di hadapannya.
“Ohya… soalan tadi… nak tak kalau kita
murajaah sama sama, memandangkan katil kita pun sangat dekat jaraknya.”
Ily menunjuk ke arah katil mereka sambil masih
mengukir sengih.
“Oh… yaa… boleh. Sure, lagi
seronok kalau ada yang sama-sama teman mengulang dan tasmik.”
Ily mengangguk laju, bersama senyum manis yang masih
terukir. Malam itu, selesai menguruskan diri, Noorul dan Ily duduk berhadapan
di atas katil masing-masing sambil mengulang hafazan dan bergilir-gilir tasmik.
+++
Sedar tidak sedar, sudah hampir satu tahun Noorul
menuntut ilmu di bumi Jitra, negeri Jelapang Padi ini. Kehidupan di asrama
sangat sibuk. Kelas prep malam dan petang, latihan kerja rumah serta
kelas yang berderet, ditambah dengan aktiviti-aktiviti yang diadakan, hampir
tidak terkejar Noorul dibuatnya. Satu lagi, subjek-subjek menengah atas
merupakan subjek kritikal dan sangat penting untuk diberikan perhatian untuk
tujuan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini.
Malam minggu, Noorul membuat panggilan ke rumahnya.
Dia benar-benar rindukan suara Mama dan Babah, walaupun hakikatnya dalam tempoh
satu tahun ini hampir saban minggu dia menelefon keluarganya, sehingga sering disakat
Ily.
Ily… susuk itulah yang entah mengapa… memberikan
motivasi dan kekuatan kepada dirinya ketika rasa cemas dan gemuruhnya
bertandang. Bukan itu sahaja, setiap kali dia berfikiran negatif akan sesuatu
perkara atau keadaan, Ily sering memberikan kata-kata semangat dan kekuatan.
Dia juga kadangkala dimarahi Ily akibat terlalu asyik memikirkan pandangan
orang lain berbanding mengutamakan perasaan sendiri.
Dan… kehadiran Ily sedikit sebanyak mengubah dirinya
yang dahulu takut terhadap semua perkara, prejudis terhadap semua orang, dan
mengutamakan prasangka buruk atas setiap perkara. Lebih utama lagi, dia ada
teman baru menghafaz Al- Quran.
Dalam banyak-banyak keadaan, entah mengapa juga dia
dan Ily sering berada bersama. Tidak kira aktiviti berkumpulan, persatuan,
perlawanan, mereka sering kebetulan berada bersama. Hal ini membuatkan mereka
lebih mengenali sesama sendiri akan kelemahan dan kekurangan masing-masing.
+++
Ily dan Noorul baru sahaja selesai mengulang hafazan
masing-masing pada malam itu. Mereka memilih surah Qaff untuk di murajaah
bersama.
“Noorul, Ily baru teringat ada something
nak beri pada Noorul.”
“Huh? Apa dia?”
Ily hanya mendiamkan diri, dia lantas bangun dari
katil dan menuju ke arah locker yang tertutup. Selang dua minit, Ily
kembali berada di hadapan Noorul. Tangannya diletak ke belakang. Noorul
mengerutkan muka.
“Apa tu?”
Ily mengukir sengih, Segera dicapainya tangan kanan
Noorul dan meletakkan sesuatu di atasnya. Sekeping poskad berlatarkan pemandangan Masjid
Aya Sofya, Turki berada di atas tangannya. Poskad itu dibelinya di Turki sewaktu
cuti akhir semester tempoh hari ketika percutiannya bersama keluarga di sana.
“Wow… thank you… so much…”
“You’re welcome…sorry it isn’t that great
right?”
Ily menggaru kepalanya yang tidak gatal. Noorul
membalikkan poskad dan terdapat tulisan tangan Ily di situ.
“Please read it later.”
Ily menutup tulisan tangannya.
“Hey… no! Ni pun dah lebih dari
cukup tahu… Terima kasih Ily…-...”
Kata-kata Noorul terhenti apabila Ily sudah memaut
tubuhnya dengan erat. Lama.
Noorul tersentak, namun perlahan-lahan dia membalas
pelukan Ily.
“Terima kasih… jadi sahabat Ily.”
Noorul mengusap belakang Ily dan terus memaut
tubuhnya dengan lebih erat apabila terdengar esakan tangis. Nafas dihela
perlahan. Ily tidak tahu… dia… yang terlalu ingin berterima kasih kepada Ily
sebenarnya… dan… ada satu perkara yang dirahsiakan Noorul daripada pengetahuan
Ily, dan dia tidak pernah mahu Ily tahu akan perkara tersebut.
+++
Noorul mengesat air mata yang mengalir di pipi.
Ingatannya kepada kisah lama itu bertamu kembali. Dia sendiri tidak mengerti
akan perasaannya itu. Kerap kali perasaan ini berkecamuk dalam mindanya, dan
dia tidak mampu untuk meluahkan.
Sejujurnya, perasaan sayang Noorul terhadap Ily lebih
daripada segalanya. Dia terlalu sayangkan Ily. Ily adalah orang pertama yang
membuatkan dirinya kembali tersenyum, kembali bangkit, dan kembali kuat, dan…
perlahan-lahan kembali pada Tuhan.
Dahulu…dia pernah jatuh hati kepada salah seorang
pelajar perempuan di dalam kelasnya, sewaktu di persekolahan menengah rendah. Sewaktu
di menengah rendah, dia bersekolah di sebuah girl school. Atau lebih
tepat lagi, sekolah yang menempatkan semua perempuan, dan ada aliran agama. Noorul
sendiri tidak pasti bila kali pertama dia jatuh sayang kepada rakannya itu.
Cuma apa yang dia ingati adalah pernah pada suatu ketika, seingatnya… dia
pernah tidur sebantal dengan rakan perempuannya itu, dan mereka… bermesra serta
berpelukan sesama sendiri. Di sekolah itu juga, kebanyakan senior dan
rakan-rakan Noorul mengakui mempunyai perasaan sesama jantina, dan saling
berpasangan sesama sendiri, tanpa pengetahuan pihak sekolah. Sehinggalah pada
suatu hari… ketika itu entah bagaimana pintu hidayah perlahan-lahan mengetuk
hati Noorul. Semuanya bermula apabila Noorul dipelawa untuk menyertai
pertandingan hafazan yang dianjurkan pihak sekolah. Kebetulan Noorul sudah
diajar menghafaz surah-surah pilihan oleh Mama dan Babah sejak kecil lagi, jadi
menghafaz surah baharu bukanlah satu cabaran yang terlalu besar buat dirinya.
Dan ketika itulah… lama kelamaan Noorul perasan ada sesuatu yang tidak kena
tentang apa yang dilakukannya selama ini. Menjalinkan hubungan cinta dengan
rakan perempuan sendiri? Tidur sebantal tanpa pengetahuan warden pada setiap
malam? Perasaan apakah ini? Apa yang dia lakukan? Ah, bodoh sekali. Umpama
orang kemaruk bercinta sesama lelaki dan perempuan, itulah kebodohan yang dia
lakukan, iaitu memberi hadiah, memberi ucapan, sanggup melakukan apa sahaja
untuk yang dicintai. Dan… saban masa, dia sering tidak lekang mengingati rakan
yang dicintainya itu.
Sejak itu, Noorul semakin banyak menelusuri perasaan
sendiri, melakukan pembacaan sendiri, dan sehinggalah pada hari dia mengambil
keputusan bertemu dengan kaunselor sekolah dan meluahkan apa yang dipendamnya,
dan… akhirnya dia berjaya memutuskan hubungan ‘percintaan’ yang dijalin bersama
rakan perempuannya itu. Mujur pada ketika itu, Noorul mengambil langkah bijak
kerana berjumpa kaunselor dan mengakhiri segalanya ketika hari terakhir
menduduki peperiksaan PMR, di mana para pelajar akan mula bercuti panjang.
Ketika itulah Noorul menggunakan sebaiknya peluang yang ada untuk memutuskan
segalanya dengan rakan perempuannya itu. Ahh… hal ini tidak semudah memetik
jari. Ia memakan seluruh jiwa, hati dan perasaan Noorul sehingga hari ini. Sehingga
saat ini.
Tiada siapa yang mengetahui tentang perasaan ini,
termasuk Mama dan Babah serta abang kandungnya. Noorul simpan kemas dalam
hatinya sendiri. Sepertimana dia menyembunyikan rasa cemas di hatinya, di sebalik
senyuman dan keceriaannya di hadapan Mama dan Babah. Apa yang perlu dilakukan?
Untuk Noorul yang suka membaca, dan tahu tentang
fitrah yang sewajarnya, dia sangat maklum… perasaan ini tidak sewajarnya
dilayan. Cukuplah sesuatu dosa yang pernah dilakukan, yang menjerumuskan
dirinya ke lembah itu dahulu. Noorul meramas rambutnya. Bahunya disentuh dari
belakang.
“Noorul… kenapa ni? Are you okay?”
Ily yang baru terjaga dari tidur berada di
hadapannya. Noorul cepat-cepat mengesat
air mata yang semakin laju jatuh ke pipi.
“Oh… takde apa…”
Entah mengapa, apabila terdengar sahaja suara Ily,
air matanya semakin sukar ditahan. Ily yang berada di hadapannya lantas memeluk
erat tubuh Noorul. Sangkaannya, mungkin Noorul homesick lagi, seperti
biasa.
+++
Petang itu merupakan kertas terakhir bagi peperiksaan
SPM. Seramai 450 orang pelajar tingkatan 5 MRSM Kubang Pasu akan menamatkan
kertas terakhir, subjek Tasawwur Islam, termasuk Noorul dan Ily.
Hari itu juga, Noorul bertekad meluahkan isi hatinya
kepada Ily, dan apa yang disimpannya selama ini. Walau apa yang terjadi, dia
sudah tidak mampu menahan perasaan ini. Dia terlalu sayangkan Ily, sejauh mana
pun dia menepisnya, perasaan itu akan bertamu kembali. Saban hari, malam
berganti siang, siang berganti malam, hari-hari terakhir yang dilaluinya di
sekolah ini bersama Ily akan sentiasa menjadi ingatan paling bermakna buat
dirinya. Kerana… hari-hari yang dilalui bersama Ily adalah satu cabaran besar
buat dirinya.Tanpa berfikir lebih panjang, sekeping surat disisipkan ke dalam
laci Ily sewaktu dia mengemas barang-barang untuk pulang ke kampung halaman
masing-masing.
Mungkin inilah hari terakhir dia akan bertemu dengan
Ily. Sebelum masuk ke dalam dewan peperiksaan tadi dia sempat bersalaman dengan
Ily dan mengucapkan selamat maju jaya seperti kebiasaan. Sebaik mungkin dia
berusaha menahan sebak di dadanya ketika itu. Selepas menyelesaikan kertas
terakhir tadi, dia terus bergegas keluar dari dewan dan menuju ke asrama untuk
mengemas barang-barang. Dia juga sudah siap-siap menelefon Mama dan Babah yang sedang
dalam perjalanan untuk menjemputnya. Dia mengambil keputusan untuk mengakhiri
perhubungannya dengan Ily melalui sekeping surat.
+++
Ily terduduk. Surat yang dibacanya direnyuk. Tidak
tahu apa yang ingin digambarkan perasaannya ketika ini. Sedih, kecewa, marah…rindu,
kasihan…? Semuanya bercampur baur.
Mengapa Noorul memilih untuk memutuskan hubungan
dengan dirinya begitu sahaja? Fikirannya
kusut sekali, cuba memproses apa yang Noorul tuliskan dalam surat yang
menghempap perasaannya sebentar tadi. Ditolehnya ke katil sebelah yang sudah
kosong, dan tilamnya sudah disandarkan ke dinding. Katil yang dahulunya
menempatkan Noorul, insan yang sering menjadi peneman suka dan duka sepanjang
perjalanan menuntut ilmu di bumi ini. Sungguh,
dia tidak pernah menyangka Noorul menyimpan duka yang begitu hebat dalam
dirinya selama ini. Selama ini, Noorul yang sentiasa ceria di hadapannya,
hakikatnya menyembunyikan satu rasa duka yang sangat mendalam. Mungkin ini juga
salah satu sebab mengapa mereka jarang mempunyai ‘deep conversation’
sesama sendiri. Pada kebanyakan waktu, hanya dia yang banyak meluahkan rasa
hatinya berbanding Noorul.
Dia juga… sayangkan Noorul… terlalu sayangkan Noorul.
Mereka berdua mempunyai banyak persamaan, dan Noorul sangat selesa dengan budi
pekerti Noorul. Sewaktu pertama kali bertemu muka di sekolah ini lagi, ada satu
perasaan senang yang menyusup masuk ke dalam hati Ily ketika berkenalan dengan
Noorul. Ketika itu dirasakannya, Noorul adalah sahabat terbaik yang dicarinya
selama ini. Mereka berkongsi hobi yang sama, angan-angan yang sama, dan
cita-cita yang sama. Ily tidak dapat menahan sebak di dadanya. Air jernih
mengalir turun ke pipi. Dia masih ingat ketika mereka berdua berbual tentang angan-angan
masing-masing untuk melanjutkan pelajaran ke tanah Uncle Sam, Amerika Syarikat.
Kini semuanya tinggal kenangan dan angan-angan kosong.
Hatinya benar-benar remuk, perit sekali. Dia langsung
tidak sempat untuk mengucapkan selamat tinggal dan memeluk Noorul buat kali
terakhir sebelum mereka berpisah untuk satu tempoh yang lama. Mengapa Noorul
terburu-buru sedemikian? Tadi selepas keluar dari dewan dia bertanya kepada
rakan-rakan lain yang sedang sibuk meluangkan masa bersama pada hari terakhir,
tentang keberadaan Noorul. Puas dia mencari Noorul di surau, di perpustakaan,
dan akhirnya dia pulang ke dorm dengan harapan susuk itu ada di situ sedang
menunggu dirinya. Namun, ternyata hampa… yang dijumpai hanyalah sekeping surat
yang diselit ke dalam lacinya. Ya… dia tahu… mungkin Noorul sudah memendam
perasaan yang terlalu lama, dan bimbang sekiranya dia akan bertindak membenci
Noorul kerana perasaan yang diluahkan tersebut… Ahh tetapi dia bukan begitu!
Jika Noorul mempunyai perasaan sebegitu, dia akan bantu, dia akan bantu Noorul
semampunya! Dan saat ini, perasaan bersalah timbul dalam hati kecilnya.
Sekiranya dia dan Noorul tidak pernah rapat seperti ini, mungkin semua ini
tidak berlaku, dan Noorul tidak akan mendera perasaannya sendiri. Sungguh, dia
tidak dapat membayangkan bagaimana Noorul mengawal hati dan perasaannya selama
ini.
Ily terduduk. Masih terngiang-ngiang tulisan tangan
Noorul yang menyuruhnya untuk berhenti berhubung serta merta. Peritnya rasa
hati, hanya Tuhan yang mengetahui. Air jernih bercucuran menuruni pipi mungil
Ily. Tiada insan lain yang berada dalam dorm tersebut pada saat itu. Hanya ada
dia... dan katil kosong yang dahulu menempatkan Noorul.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment