Thursday 29 September 2022

Percaya Sampai Syurga - Prolog

Dia leka menulis sesuatu di komputer riba. Jemari laju menekan papan kekunci, menyamai kelajuan susunan kata-kata di dalam minda yang sedang beratur menunggu dimuntahkan sebentar sahaja lagi. Sesekali membetulkan letak kaca mata pada batang hidung.

"Nah.”

Satu tangan memegang sekeping coklat Cadbury dihulurkan. Spontan dia tergelak kecil, mengukir senyum. Coklat bertukar tangan. Seorang gadis memakai kaca mata, tudung corak-corak latar hitam melabuhkan punggung di sisi. Sesekali terdengar bunyi troli ditolak laju, bergeser dengan lantai di balai pelepasan. 

Nafas dihela perlahan. Dia berhenti menaip dan mula mengoyak plastik coklat.

"It's been so many years."

Gadis kaca mata memandang tingkap kaca di hadapan.

"Yeah."

Dia yang sedang mengunyah coklat menjawab pendek. Lama mereka mendiamkan diri masing-masing, melayan perasaan sendiri.

Giliran gadis kaca mata pula menghembus nafas, seraya mencapai komputer riba dan membukanya.

Dia masih mengunyah kepingan coklat perlahan-lahan.

Gadis kaca mata menyuakan komputer riba. Beberapa keping gambar yang sudah disunting berlatarkan gunung bersalji di sebuah perkampungan yang sangat mereka cintai terpampang di hadapan mata. 

Senyum lebar terus terukir di bibir. Dia baru sahaja hendak membuka mulut, melontarkan kata - kata pujian, apabila gadis kaca mata tiba - tiba berkata,

"I am just wondering, what will you do if you guys are destined to see each other again?"

Dia mengangkat kening, memandang gadis kaca mata. Pandangan mereka bertentangan.

"I..."

"I want to say sorry."

"Is that all?"

Dia menghela nafas, menggeleng perlahan.

"I... Dont know."

Gadis kaca mata mencapai tangan sahabatnya, dan mengenggam erat.

"It’s okay, I am just asking..."

Dia mengangguk, mengesat sebutir mutiara yang mula mengalir daripada tubir mata.

"Maybe... I dont know, but... The power of 'trust' might just save you guys again."

Dia mendiamkan diri, menanti kata kata seterusnya daripada gadis kaca mata. 

Gadis kaca mata hanya membalas dengan senyuman, mengalihkan semula pandangan kepada komputer riba di hadapan. 


Sunday 25 September 2022

Percaya Sampai Syurga - Bhg 2

 

Downtown Austin, TX, 2019

    “Fasting, cleanses us from sin. Now sin is a word we don’t use a lot anymore, so I believe we sort of struggle to identify the words of sin, and ask ourselves am I sinning? Am I making, what am I doing, am I making mistakes? because often when we thinking about what our mistakes are, we’re thinking about speeding, on highway for example, or stealing, any of this thing that we call illegal in civil society, breaking the law. Well, A sin is when we do something, that is against Allah’s law. That is literally what sin is. A sin is going against how Allah SWT has set out for us to live.  We have sin of thought and feelings and think things… and sin… is a burden for us. It is something that darken our ways… something that make it harder to leave…it’s something that heavy to carry… and so Ramadan come, and help us to leave it…”

Noorul menyapu air jernih yang mengalir laju dari tubir mata. Ingatannya sekali lagi diterjah pesanan indah dan bermakna daripada Anse Tamara Gray sewaktu berkesempatan menghadiri Weekly Halaqa di Rabata Cultural Centre minggu lalu. Ayat yang menyebut tentang kemuliaan Ramadan itu semakin kerap bermain – main di mindanya. Hari ini merupakan Jumaat terakhir sebelum Ramadan menjelang pada hari Sabtu.

Noorul masih bersimpuh di atas sejadah, bersama telekung putih sejak jam 3.00 pagi CST. Nafas dihela perlahan. Belum sempat air matanya kering, ingatan terhadap isi halaqa tersebut kembali menyentuh hatinya. Lafaz Istighfar segera dilantunkan di bibir. Peristiwa masa lalu semakin kerap singgah di ingatannya sejak akhir akhir ini.

Noorul menyapu muka, dan membetulkan duduknya. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 4.30 pagi. Terdengar bunyi paip air dibuka dari dalam shower room.

Ida dah bangun.

Segera dicapai sejadah yang dilipat dan dihamparkannya di sisi. Noorul mencapai pula IPhone X yang terletak di atas meja kopi. Sebelas darjah Celsius. Seraya meletakkan kembali telefonnya, Noorul menarik kemas gebar tebal yang disarung ke tubuh bagi menahan kesejukan pagi.

    “Noor.”

Kedengaran suara seseorang menyapanya. Noorul menoleh. Ida berjalan menghampirinya bersama telekung yang sudah siap disarung. Noorul melemparkan senyum, seraya beranjak sedikit ke tepi untuk memberi laluan kepada Ida menunaikan Tahajjudnya.

    “Allahuakbar…” Takbir dilafaz perlahan.

Zikir dan Istighfar terus dilantunkan di bibir. Sesekali dia menyeka air mata yang mengalir di pipi. Noorul menoleh ke arah Ida yang masih belum bangkit dari sujudnya. Ida… sukar untuk diungkapkan betapa bersyukur dan berterima kasih dirinya kepada Allah atas kehadiran insan di sisinya ini. Apa lagi nikmat yang hendak didustakan? Tuhan sentiasa mengasihi dirinya… Setiap kali dia jatuh, setiap itu juga dia bersama kasih dan rahmat daripada-Nya, memanggil dirinya pulang untuk bangkit berdiri teguh.

Di luar rumah masih gelap. Hanya samar-samar cahaya lampu jalan yang kelihatan melalui jendela dari dalam bilik solat.  

    “Assalamualaikum Warahmatullah…” 

Ida memberi salam kedua.

Usai memberi salam dan memanjatkan doa, Ida mengubah duduknya menghadap Noorul yang masih berpeluk tubuh bersama gebar tebal.

    “It’s been five months…”

    “Yeah… and now Ramadan is nearly coming.”  Noorul membalas perlahan.

    “Spring too.” 

Ida mencelah. Noorul  mengangguk bersama seulas senyuman di bibir.

Suasana senyap menyelubungi mereka berdua. Ida menarik nafas, seraya memandang Noorul. Wajah temannya itu samar samar kelihatan, hanya diterangi cahaya lantern yang terletak di tepi jendela, yang dibeli Ida sewaktu persinggahannya ke bumi Mesir.

    “How are you?”

Noorul terpaku. Walaupun sudah menyangka soalan itu yang akan terpacul daripada bibir sahabatnya itu, dia tetap terkejut dengan pertanyaan Ida.

Noorul tergelak kecil, menghela nafas.

    “Well… I am… good.”

Ida masih memandang tepat ke dalam matanya, lama. Noorul mengalihkan pandangan.

    “Okay.”

Ida mengukir senyum nipis, lalu bangkit dan mencapai Quran mini yang terletak di rak, sebelum kembali melabuhkan punggungnya di sisi Noorul. Halaman Quran diselaknya perlahan, seraya melafazkan Ta’awwuz.

Kedengaran suara merdu Ida melantunkan bait bait ayat daripada Surah Al-Baqarah ayat 183 – 186. Tiba sahaja pada ayat 186, serentak itu juga air mata Noorul tumpah tanpa diminta.

Noorul menarik nafas, cepat cepat menyeka air mata di pipi, bimbang diketahui Ida yang masih menatap Quran mininya.

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepada-Ku, agar mereka memperoleh kebenaran.” (2:186)

+++

Noorul terbongkok-bongkok menyusun barang-barang dan perabot kecil dalam bilik tidurnya. Peluh yang mengalir di dahi hanya dibiarkan. Dia bercekak pinggang sambil mata melilau memerhati keseluruhan bilik. Cantik. Ada sebuah kerusi dan meja IKEA warna putih, ada peg board putih di dinding. Sebuah rak buku kecil, juga warna putih di sisi meja. Noorul melabuhkan punggung di atas katil. Hari ini hari minggu. Ida agaknya sedang berehat di biliknya. Sudah lama mencari ruang untuk mengemas bilik, mujur akhirnya hari ini, kebetulan tiada ke mana dan tidak terlalu sibuk dengan aktiviti harian, dia dapat mengemas dengan tenang.

Noorul mencapai buku nota yang terdapat di rak. Buku ini, legend. Di dalam buku ini dia kumpulkan surat-surat, keratan, kenangan, sejak zaman sekolah dahulu. Noorul menyelak perlahan sebelum akhirnya terhenti pada satu muka surat yang terselit poskad. Ada gambar masjid Aya Sofya megah berdiri dikelilingi burung berterbangan. Noorul membalikkan kertas keras tersebut. Tarikh 2 April 2011. Ada tulisan tangan seseorang di bawahnya, buat dirinya. Noorul memejamkan mata. Cepat-cepat di letakkannya kembali poskad tersebut di celah buku sebelum diselitkan buku tersebut ke dalam rak.

Noorul bangkit dari katil dan berjalan menuju ke arah tingkap biliknya yang terbuka luas. Tempoh hari dia dan Ida baru sahaja selesai menjalani Proposal Defense untuk kajian masing-masing. Syukur, selesai satu debaran. Kini mereka berdua dalam fasa menyelesaikan kajian masing-masing pada Spring semester yang bermula pada bulan September hingga awal Januari.

Noorul menghembus nafas, berat. Sejujurnya, tidak pernah sekali pun dia melupakan susuk itu. Batang tubuh dan nama nya sering menjengah tanpa jemu ke ruangan mindanya. Apa khabar dia agaknya? Genap lapan tahun dia tidak lagi mampu menyebut secara terangan-terangan nama yang sudah lama terhapus dari mulutnya, namun tidak hatinya.

Dan… sedar tidak sedar, sudah saban tahun dia hidup dengan perasaan ini. Perasaan yang sukar sekali dikongsi dengan sesiapapun, kecuali buat susuk itu. 

Basketball Court, UT Austin TX

DUM!

Bunyi bola melantun dengan gegelung besi kedengaran kuat. Noorul menghembus nafas, seraya menyeka peluh yang mengalir di dahinya. Bola yang bergolek di kaki dicapai dan gerak badan diatur untuk dribble dan shoot.

Sekali lagi bola berwarna jingga tersebut berjaya melolosi jaring. Noorul menoleh ke sisi. Dia melemparkan senyum.

Seorang gadis berselendang warna biru laut sedang berdiri sambil menghalakan Fujifilm X100V ke arah Noorul.

    “Please turn around, don’t look here!”

Ida menjerit kecil, sambil dengan gerakan tangan menyuruh Noorul kembali bermain dan beraksi.

Noorul buat muka terpaksa, dan terus melompat tinggi ke udara untuk meloloskan bola ke dalam jaring.

 +++

Noorul meneguk air berkali – kali. Dahaga sungguh rasanya, ditambah dengan cuaca yang semakin panas pada musim ini.

    “Nice nya.”

Noorul menoleh ke sebelah. Ida mengomel perlahan sambil melihat gambar – gambar yang di ambil. Pandangannya jatuh ke skrin Fujifilm milik Ida, yang memaparkan dirinya sedang melompat tinggi melontar bola ke dalam jaring.

Spontan Noorul menekan punat delete di kamera, mengundang jerit kecil daripada Ida.

    “Tak payahlah tengok lama lama…”

Ida mencebik, seraya menepuk lengan Noorul kuat.

    “Aduh! Main kasar…”

Noorul hanya tergelak kecil melihat kelakuan temannya sejak tadi.

    Try lah main satu…” 

Noorul menyepak bola ke kaki Ida. Pantas Ida menggeleng sambil buat muka.

    Don’t want. Aku mahu tengok kau main je.”

Giliran Noorul pula buat muka menyampah, sambil menarik bola ke kakinya.

    “When was the first time you fell in love with basketball?”

Soalan cepumas Ida tersebut membuatkan Noorul seakan tersentak, lantas berhenti memainkan bola dengan kakinya. Lama dia mendiamkan diri sebelum sepatah kata dituturkan. 

    “Middle school.”

Ida yang perasan akan perubahan di wajah Noorul segera mematikan soalan berikutnya yang ingin terpacul daripada bibir.

    “Not aggressive like the old days. Selepas kemalangan aku dah tak kuat nak main macam dulu.”

Noorul menuturkan perlahan sambil menguis-nguis bola di kakinya. Ingatan lama bertamu kembali. Pada tahun 2012, satu kemalangan telah berlaku melibatkan dia dan rakannya ketika menunggang motorsikal pulang ke kampus asasi di Petaling Jaya. Satu tahun lima bulan dia mengambil masa untuk kembali berjalan dengan sempurna selepas lapan bulan memakai kerusi roda dan bertongkat ke mana-mana. Ya, kemalangan tersebut hampir meragut kaki kirinya. Kini sudah masuk tahun ke - enam segalanya telah berlalu sepeerti angin yang bertiup. 

Ida hanya mendiamkan diri, nafasnya dihembus.  Tangannya menepuk kaki kiri Noorul perlahan.

    “Well… Let the best memories stay, man!”

Tidak semena-mena Ida bangkit bersama bola di tangannya dan melontar ke arah jaring dengan pantas.

    “MASUK! YES!!”

Ida buat gaya puas hati sambil memandang ke arah Noorul yang memerhatikannya sejak tadi. Terletus gelak kecil dari bibir Noorul.

    “You’re a gift.”

Sempat Noorul berbisik perlahan sebelum bangkit menyertai Ida yang masih terlompat kegembiraan dengan satu ‘gol’ yang akhirnya berjaya dijaringkan.

+++

Kajang, Selangor, 2007

Mereka sedang bergilir-gilir melontarkan bola apabila senior dorm nya itu datang menghampiri gelanggang. Noorul yang tidak berjaya meloloskan bola berpatah balik masuk ke dalam barisan yang sedang beratur.

    “Noor, masih belum dapat shoot lagi harini?” 

Suara seseorang menerjah gegendang telinganya. Suara itu memang cukup dikenalinya, suara yang mengejutkan dirinya dan rakan dorm yang lain bangun pada waktu subuh, suara yang sering berpesan-pesan tentang perkara kebaikan untuk dia dan suara itu jarang sekali ditinggikan nadanya.

Noorul menoleh ke sisi. Kak Izyan sedang berdiri di sebelahnya sambil tangan kirinya memaut sebiji bola keranjang yang sudah lusuh. Bola itu bola kesayangan Kak Izyan. Setiap kali dia berlatih, bola itu yang akan digunakannya. Jarang sekali dia berlatih menggunakan bola lain yang lebih elok sedikit warnanya. Dia pernah bertanya mengapa Kak Izyan begitu menyayangi bola tersebut dan katanya itu merupakan hadiah pemberian arwah ayahnya yang juga sangat meminati sukan bola keranjang.

    “Haah kak Izyan. Tak tahulah, panas sangat rasanya petang ni, macam tak ada semangat nak main. Tapi Noorul cuba aje banyak kali walaupun tak lepas.”

    “Noorul salah teknik tu rasanya. Haritu Kak Izyan pernah nampak cara awak pegang bola salah. Jadi paduan lontarannya juga tidak mengena.”

    “Eh, yeke? Setahu saya memang dah pegang betul dah. Kalau tidak mesti budak-budak ni dah betulkan dah.” 

Noorul berdebar. Bila masa pula Kak Izyan perasan? Aduh malunya!

    “Mungkin dia orang tak perasan.”  

Balas kak Izyan. Isy Noorul... Jangan cuba dilawan pengamatan Ratu Bola Keranjang Sekolah yang lebih dahulu makan garam dari kau itu!

    “Cuba awak pegang bola ni.” 

Kak Izyan menghulurkan bola kesayangannya yang dipaut sejak tadi.

Noorul memandang bola yang berada di tangan Kak Izyan dan tuan punya badannya silih ganti. Kak Izyan mengangguk dan melontarkan senyuman manis kepadanya.

Noorul menyambut bola yang dihulurkan senior nya itu dan meletakkan tangan kanannya di bawah bola manakala tangan kirinya diletakkan di atas permukaan kiri bola tersebut.

    “Haha Noor... Kita bukan mahu main bola jaring tahu?” 

Kak Izyan menggeleng-gelengkan kepalanya sambil ketawa kecil.

    “Awak punya tangan kiri tu sebenarnya ke bawah sangat nak hampir sama dengan kedudukan tangan kanan... Sepatutnya perlu atas sedikit tangan kiri tu…”

Kak Izyan merapatkan dirinya ke sisi Noorul. Tangan kirinya diletakkan ke atas tangan kiri Noorul dan membetulkan kedudukannya. Tangan kanannya juga diletakkan betul-betul atas tangan kanan Noorul. Kini Kak Izyan yang lebih tinggi daripada nya itu sedang berdiri rapat di belakangnya. Dada Noorul tiba-tiba berdegup kencang. Dia sedaya upaya mengawal gelojak rasa yang bermain di hati ketika itu. Bimbang Kak Izyan perasan akan gemuruh yang dia lalui kerana jarak mereka yang terlalu rapat. Perasaan apakah ini? Sememangnya dia agak segan dan mempunyai rasa hormat yang cukup tinggi kepada senior nya itu namun entah mengapa, seakan ada satu rasa bahagia yang menyusup ke dalam hati nya apabila dia berada dalam kedudukan yang rapat dengan Kak Izyan seperti sekarang ini.

    “Noorul! Giliran hang!”

Tiba-tiba terdengar suara rakan satu dorm melaungkan namanya dari kejauhan.

Noorul tersedar dari lamunannya. Kak Izyan sudah pun melepaskan tangannya dan menjarakkan sedikit dirinya daripada Noorul.

Noorul menyusun beberapa langkah ke hadapan.

Dia mengangkat bola dengan kedudukan 45 darjah daripada hadapannya dan membetulkan posisi kedua-dua belah tangannya. Noorul berusaha untuk fokus walaupun debaran di dadanya masih lagi bersisa. Dengan sepenuh tenaga, dia melompat dan memfokuskan sasarannya kepada kotak merah di atas jaring.

DUMM!!

Kedengaran bunyi bola melantun dengan kotak merah empat segi.

     “YEAYY!!” 

Suara yang cukup dikenali sedang bersorak di belakangnya. Bola keranjang yang berjaya lolos ke dalam jaring itu tadi bergolek perlahan di lantai gelanggang.

Noorul berpaling ke belakang. Dia melemparkan senyuman kepada Kak Izyan yang sedang bertepuk tangan meraikan kejayaannya. Sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal, Noorul berjalan perlahan menuju ke arah Kak Izyan berdiri.

    “Dah, jom duduk.” 

Kak Izyan menarik tangannya dan berjalan menuju ke arah bangku berdekatan. Noorul serba salah. Bukan apa, jarang-jarang Kak Izyan berkelakuan mesra di luar dorm seperti ini dan kali ini dia rasakan mata-mata pelajar lain sedang memandang kepada mereka berdua dengan pandangan mencurigakan. Noorul melabuhkan punggung di sebelah Kak Izyan. Memanglah Kak Izyan itu tidak mahu dirinya dikenali ramai, tetapi dengan sebab perwatakannya itulah ramai para pelajar di sini yang meminati nya secara diam-diam. Baginya tiada masalah kerana siapa sahaja yang tidak akan ‘jatuh cinta’ pada perempuan yang sedang duduk di sebelahnya ini? Pandai, Atlet bola keranjang, Pelajar harapan sekolah, berbudi pekerti, merendah hati, cantik pula tu! Apa sahaja ciri-ciri yang tiada pada seorang Izyan Mohd Ammar?

Noorul tidak tahu hendak berbicara soal apa kerana sejujurnya dia masih berasa segan dengan tindakan spontan Kak Izyan sebentar tadi. Jika di dorm memang mereka rapat, dan dia tiada masalah untuk bergelak ketawa dan berbual mesra tetapi apabila dia memang berasa segan dengan rakan-rakan yang tidak satu dorm dengannya.

    “Lagi berapa bulan sahaja lagi peperiksaan SPM akan bermula. Takut pun ada rasanya ni…”

Kak Izyan memulakan bicaranya apabila melihat Noorul diam membisu.

Noorul mengangguk perlahan seraya memandang ke arah gelanggang bola keranjang di hadapan mereka berdua.

    “Tak lama lagi akak akan tamatkan zaman sekolah.”

“Ya… akak mesti akan rindu awak… dan adik-adik dorm yang lain. Korang semua baik sangat, hehe...”

Noorul tergelak kecil mendengar kata-kata Kak Izyan. Sebenarnya kami semua hormat pada Kak Izyan sebab itu tidak berani berbuat onar di hadapannya! Noorul menggeleng perlahan. Kalaulah Kak Izyan ketahui ada satu rahsia besar yang dia pendamkan selepas kejadian di gelanggang bola keranjang ketika itu…

Hari-hari selepas kejadian tersebut, jantung nya sering berdegup hebat setiap kali berpapasan dengan Kak Izyan atau ketika mereka tinggal berdua sahaja di dalam dorm. Entahlah, dia pun tidak pasti akan rasa yang bermain di hatinya ketika itu. Ada rasa suka, gemuruh, bersalah, macam-macam perasaan bercampur baur. Dia pernah curi-curi pandang wajah Kak Izyan yang mempunyai kacukan Cina-Pakistan itu ketika Kak Izyan tidak perasan. Mujur dia tidak perasan, kalau tidak… mesti Kak Izyan akan syak sesuatu. Wahai, wajah yang sering tersenyum manis itulah yang sering membuatkan dirinya sering tidak fokus di dalam kelas sehingga pernah ditegur oleh Guru Kemahiran Hidupnya, Cikgu Izhar kerana tidak dapat menjawab soalan yang diajukan. Masih segar dalam ingatan Noorul ketika itu, dia menangis hampir setiap malam, tiada siapa yang mengetahui kerana dia terlalu merindukan Kak Izyan. Sehingga saat itulah apabila dia masuk ke alam asasi dan ijazah sarjana muda, dia sentiasa teringatkan Kak Izyan yang pernah menjadi ‘buah hatinya’ dalam diam itu. 

Bersambung...

Thursday 22 September 2022

Percaya Sampai Syurga - Bhg.1

 

Kubang Pasu, Malaysia, 2010

Noorul menarik nafas dalam-dalam. Debaran di dada masih belum berhenti. Fikirannya bercelaru. Baru sebentar tadi Mama dan Babahnya meninggalkan perkarangan sekolah berasrama penuh ini. Suasana ini…suasana yang terlalu baharu buat dirinya. Hari ini merupakan hari pertama pendaftaran Tingkatan 4 di Maktab Rendah Sains Mara Kubang Pasu di negeri Kedah, negeri Jelapang Padi.

Tadi, sepanjang tempoh perjalanan ke sekolah ini, kereta yang dipandu babah berpapasan dengan pemandangan padi menghijau, saujana mata memandang di kiri dan kanan jalan. Sepatutnya Noorul gembira dan teruja serta terpukau dengan kecantikan negeri ini, tetapi sebaliknya yang berlaku. Dia menangis sepanjang perjalanan. Maklumlah, tidak pernah berpisah dengan kedua-dua orang tuanya sejak kecil, anak bongsu pula itu. Noorul hanya ada dua orang adik-beradik. Dia dan abang sulung yang berumur tiga tahun tua daripadanya, Mikael. Oleh sebab itu dia sangat rapat dengan Mama dan Babah sejak kecil.

Keputusan untuk ke sekolah berasrama penuh ini pun bukan atas keinginannya seratus peratus, namun atas pujukan Mama dan Babah juga. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia menolak tawaran berkenaan apabila surat tawaran tiba di rumah sebulan yang lalu. Mama dan Babah juga yang menyarankan untuk dia menghantar permohonan ke MRSM apabila keputusan PMR keluar waktu itu. Kata Babah,

“Sesekali jauh berjalan, luas pemandangan… Allah bersama dengan orang-orang yang menuntut ilmu dengan penuh sabar…”

Ahh Babah… ada ada sahaja… Noorul hanya mendiamkan diri, cuba untuk kuat walaupun dia tahu Mama dan Babah mengetahui kondisi hatinya yang tidak mahu berpisah dengan mereka. Tetapi apabila difikirkannya semula…mungkin ini juga adalah peluang terbaik untuk dia ‘lari’ daripada sesuatu. Mungkin ini cara Tuhan untuk ‘menyelamatkan’ dirinya.

Walaupun Noorul anak yang rapat dan agak… manja… tetapi dia ialah anak bongsu yang berdikari tahu! Berdikari dalam erti kata…menyembunyikan perasaan dan ‘rahsia’ sendiri. Dia sentiasa tampil ceria dan gembira di hadapan Mama dan Babah, walaupun perasaannya penuh kecamuk dan ketakutan. Dia hanya tidak mahu Mama dan Babah bimbang akan dirinya. Entahlah… sejak kecil Noorul sangat banyak perasaan rendah diri. Rendah hati? Tidak, lebih tepat lagi rendah diri… merasa diri tidak cukup bagus, tidak cukup baik, tidak… macam macam lagi persangkaan negatif yang sering timbul dalam dirinya. Noorul juga seorang yang sangat pemalu. Terlalu. Lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan orang yang kurang rapat atau tidak dikenalinya, memang dia sangat pemalu. Oleh sebab itu juga dia terlalu rapat dengan keluarganya kerana hanya ketika bersama Mama, Babah dan abangnya sahaja dia boleh bersikap seperti biasa dan natural.

Ah… ini lah perjalanan paling panjang dalam hidupnya. Perjalanan dari Petaling Jaya – Kedah bukan sesuatu yang mudah untuk emosinya. Debaran masih bersarang di dadanya. Sana sini kelihatan ibu bapa mula beransur meninggalkan perkarangan sekolah. Meninggalkan permata hati masing-masing. Noorul menghela nafas, memegang dadanya. Dia menguatkan langkah, menuju ke perkarangan asrama yang berada hanya beberapa KM dari tempat dia berdiri. Dormnya berada di tingkat dua, kerana semua pelajar baharu tingkatan empat ditempatkan di situ.

Perlahan-lahan, satu persatu anak tangga dipijaknya. Ada beberapa orang pelajar perempuan yang berpapasan dengannya, memakai kerudung putih, baju beige serta kain berwarna perang sedang menuruni tangga. Noorul seperti biasa, memberanikan diri melirik kepada kumpulan pelajar perempuan itu, dan melemparkan senyuman. Senyumannya bersambut. Seorang pelajar perempuan berkulit cerah, ketinggian sederhana, melemparkan senyuman kepadanya seraya menuruni tangga.

Noorul mengangguk kepada pelajar tersebut, tanda hormat dan segera meneruskan langkahnya. Sampai sahaja di dorm, katil-katil di kiri dan kanan sudah dipenuhi dengan barang-barang milik pelajar. Sebentar tadi, sewaktu dia dan Mama menghantarnya bersama barang-barang ke dalam dorm ini, ia masih kosong lagi, dan dia memilih katil paling hujung, jauh dari pintu. Matanya dilirik kepada katil yang sudah dipasang cadar di sebelahnya. Siapa agaknya pemilik katil di sebelahnya? Noorul menghembus nafas dan segera mengemas barang-barangnya untuk mempersiapkan diri bagi sesi orientasi yang akan bermula selepas maghrib.

+++

Noorul melangkah masuk perlahan-lahan ke dalam Surau Al-Ikhlas. Dia yang mengenakan baju kurung berlatar hitam corak kuning cair bersama tudung bawal hitam menjinjit beg telekung di tangan kanan. Ada Quran kecil warna biru firus pemberian Mikael turut dibawa bersama di dalam beg telekung itu. Surau kecil yang dihiasi karpet dan langsir berwarna biru itu penuh dengan para pelajar baharu. Di setiap saf, sudah dipenuhi dengan kumpulan pelajar perempuan, barangkali ada yang sudah berkenalan sesama sendiri, kerana rancak sungguh perbualan masing-masing. Ada yang duduk bersandar di tiang, sambil menunggu waktu maghrib tiba, ada yang duduk keseorangan di suatu sudut, bersama telekung yang sudah disarung. Ada yang sedang mengambil dan menyusun telekung masing-masing ke dalam almari.

Noorul melabuhkan punggung di suatu sudut yang tidak ada begitu ramai pelajar berkumpul di kiri dan kanan, dan mula menukar telekung yang dibawanya. Sejujurnya, debaran di dada masih hebat. Sejak sampai tadi, hanya ada seorang pelajar yang diingatinya, itu pun bukan berkenalan, hanya berpapasan di tangga dan berbalas senyuman.

Noorul mengeluarkan Quran biru firus pemberian abangnya, dan mula menyelak perlahan-lahan. Dahulu, di persekolahan menengah rendah, dia sempat menghafaz beberapa surah pilihan lain untuk tujuan pertandingan hafazan, dan surah-surah berkenaan kerap menjadi penemannya saban waktu. Jam tangan dilirik. Ada beberapa minit sebelum waktu Maghrib tiba. Surah Waqiah dibuka, dan di semak pantas sebelum ditutupnya untuk mengulang hafazan. Perlahan Noorul melantunkan Surah Waqiah yang dihafaznya, dengan penuh khusyuk. Tanpa Noorul sedari, ada sepasang mata yang memerhatikannya sejak tadi.

+++

“Rapatkan saf….”

Kedengaran suara Imam di bahagian jemaah lelaki memberikan pesanan untuk merapatkan saf masing-masing. Noorul membetulkan telekungnya, Quran disimpan dan bersedia untuk masuk ke dalam saf jemaah wanita. Hatinya sudah sedikit lapang, apabila usai mengulang hafazan sebentar tadi.

+++

“Assalamualaikum Warahmatullah…”

Salam kedua selesai diberi. Noorul membetulkan duduknya. Tidak lama selepas zikir usai solat dibaca, doa dilafazkan dan Noorul memohon dengan penuh khusyuk, agar Tuhan mempermudahkan urusannya selama perjalanan baharu, di tempat baharu ini.

Para pelajar sudah mula bangkit dari saf masing-masing, bersalaman dengan jemaah kiri dan kanan seusai peringatan dari pembesar suara kedengaran agar pelajar baharu berkumpul di dewan utama untuk memulakan sesi orientasi. Noorul baru sahaja hendak bangkit dari duduk apabila satu tangan dihulurkan kepadanya. Noorul mengangkat muka. Seorang pelajar perempuan berkulit cerah yang berpapasan dan berbalas senyuman dengannya ketika di tangga asrama perempuan petang tadi sedang berada di hadapannya, bersama senyuman manis terukir di bibir.

+++

“Ily. Ily Leeyana.”

Ujar budak perempuan berkulit cerah, berketinggian sederhana yang sedang berjalan beriringan dengannya menuju ke dewan utama. Mereka sempat berkenalan ringkas, walaupun Noorul masih malu-malu dan terkejut apabila didatangi Ily . Rupanya sebelum Maghrib tadi Ily sudah memerhatikan Noorul yang sedang mengulang hafazannya di hujung surau. Dan Ily segera memilih untuk solat di sebelah Noorul. Ily merupakan anak jati Kuala Lumpur, dan anak ke-empat daripada enam orang adik-beradik.

Sesi orientasi berjalan dengan lancar. Masing-masing diberikan kumpulan berasingan dan terus ditempatkan mengikut homeroom masing-masing. Entah kebetulan atau apa, dia dan Ily ditempatkan dalam homeroom yang sama.

Tiba sesi suai kenal, gemuruh Noorul bertandang kembali. Ada lapan orang ahli homeroom lain yang terdiri daripada empat orang lelaki dan empat orang perempuan termasuk dia dan Ily. Ada yang dari Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan, Kuala Lumpur dan Johor. Debaran di dada Noorul makin hebat. Selepas ini, merupakan gilirannya. Miss Fatihah, guru homeroomnya bertepuk tangan usai Ily memperkenalkan dirinya.

Pandangan Ms Fatihah dan rakan-rakan homeroom lain mula ditumpukan kepada dirinya. Bagai hendak tercampak keluar jantungnya ketika itu. Noorul mengepal penumbuknya dan hendak membuka mulut bersuara. Bibirnya bergetar tanda dia begitu gemuruh.

Tiba-tiba, satu tangan diletakkan di atas tangannya yang sedang menggigil. Nurul melirik ke sebelah. Senyum manis terukir di bibir Ily. Entah kekuatan apa yang menolak diri Noorul pada ketika itu, nafas dihela perlahan dan dia memperkenalkan dirinya. Walaupun ada sedikit gugup pada ucapannya, lebih lebih lagi apabila memberitahu harapan dan tujuan dia berada di sekolah ini, ada sedikit kelegaan di hatinya apabila semua rakan homeroom bertepuk tangan meraikan kehadirannya.

+++

Noorul dan Ily berjalan pulang ke asrama usai sesi orientasi di dewan utama. Noorul masih mendiamkan diri, fikirannya ligat berputar tentang insecurities. Bolehkah aku menyesuaikan diri? Seakannya, rakan-rakan homeroom yang lain nampak outspoken dan hebat-hebat, termasuk Ily di sisinya.

“Tadi Noorul mengulang Surah Waqiah ya?”

“Huh?”

Noorul tersentak daripada lamunannya. Mereka sudahpun tiba di depan pintu dorm.

“Err… ya…Surah Waqiah.”

Ily menolak pintu dorm. Baru ada beberapa orang yang sudah tiba di dorm. Mungkin yang lain masih menjamu supper yang disediakan di Dewan Selera.

“Nak tak kalau kita murajaah sama-sama?”

Ily menyoal sambil berjalan ke katilnya diikuti Noorul. Mereka berhenti di sudut hujung, sudut paling jauh dari pintu.

“Eh?”

Serentak Noorul dan Ily berpandangan. Rupa-rupanya katil dia dan Noorul bersebelahan. Pecah ketawa kecil daripada Ily. Noorul yang sejak tadi mendiamkan diri turut tergelak. Ily mengukir senyum manis, dilemparkan kepada Noorul di hadapannya.

“Ohya… soalan tadi… nak tak kalau kita murajaah sama sama, memandangkan katil kita pun sangat dekat jaraknya.”

Ily menunjuk ke arah katil mereka sambil masih mengukir sengih.

“Oh… yaa… boleh. Sure, lagi seronok kalau ada yang sama-sama teman mengulang dan tasmik.”

Ily mengangguk laju, bersama senyum manis yang masih terukir. Malam itu, selesai menguruskan diri, Noorul dan Ily duduk berhadapan di atas katil masing-masing sambil mengulang hafazan dan bergilir-gilir tasmik.

+++

Sedar tidak sedar, sudah hampir satu tahun Noorul menuntut ilmu di bumi Jitra, negeri Jelapang Padi ini. Kehidupan di asrama sangat sibuk. Kelas prep malam dan petang, latihan kerja rumah serta kelas yang berderet, ditambah dengan aktiviti-aktiviti yang diadakan, hampir tidak terkejar Noorul dibuatnya. Satu lagi, subjek-subjek menengah atas merupakan subjek kritikal dan sangat penting untuk diberikan perhatian untuk tujuan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini.

Malam minggu, Noorul membuat panggilan ke rumahnya. Dia benar-benar rindukan suara Mama dan Babah, walaupun hakikatnya dalam tempoh satu tahun ini hampir saban minggu dia menelefon keluarganya, sehingga sering disakat Ily.

Ily… susuk itulah yang entah mengapa… memberikan motivasi dan kekuatan kepada dirinya ketika rasa cemas dan gemuruhnya bertandang. Bukan itu sahaja, setiap kali dia berfikiran negatif akan sesuatu perkara atau keadaan, Ily sering memberikan kata-kata semangat dan kekuatan. Dia juga kadangkala dimarahi Ily akibat terlalu asyik memikirkan pandangan orang lain berbanding mengutamakan perasaan sendiri.

Dan… kehadiran Ily sedikit sebanyak mengubah dirinya yang dahulu takut terhadap semua perkara, prejudis terhadap semua orang, dan mengutamakan prasangka buruk atas setiap perkara. Lebih utama lagi, dia ada teman baru menghafaz Al- Quran.

Dalam banyak-banyak keadaan, entah mengapa juga dia dan Ily sering berada bersama. Tidak kira aktiviti berkumpulan, persatuan, perlawanan, mereka sering kebetulan berada bersama. Hal ini membuatkan mereka lebih mengenali sesama sendiri akan kelemahan dan kekurangan masing-masing.

+++

Ily dan Noorul baru sahaja selesai mengulang hafazan masing-masing pada malam itu. Mereka memilih surah Qaff untuk di murajaah bersama.

“Noorul, Ily baru teringat ada something nak beri pada Noorul.”

“Huh? Apa dia?”

Ily hanya mendiamkan diri, dia lantas bangun dari katil dan menuju ke arah locker yang tertutup. Selang dua minit, Ily kembali berada di hadapan Noorul. Tangannya diletak ke belakang. Noorul mengerutkan muka.

“Apa tu?”

Ily mengukir sengih, Segera dicapainya tangan kanan Noorul dan meletakkan sesuatu di atasnya.  Sekeping poskad berlatarkan pemandangan Masjid Aya Sofya, Turki berada di atas tangannya. Poskad itu dibelinya di Turki sewaktu cuti akhir semester tempoh hari ketika percutiannya bersama keluarga di sana.

“Wow… thank you… so much…”

“You’re welcome…sorry it isn’t that great right?”

Ily menggaru kepalanya yang tidak gatal. Noorul membalikkan poskad dan terdapat tulisan tangan Ily di situ.

“Please read it later.”

Ily menutup tulisan tangannya.

Hey… no! Ni pun dah lebih dari cukup tahu… Terima kasih Ily…-...”

Kata-kata Noorul terhenti apabila Ily sudah memaut tubuhnya dengan erat. Lama.

Noorul tersentak, namun perlahan-lahan dia membalas pelukan Ily.

“Terima kasih… jadi sahabat Ily.”

Noorul mengusap belakang Ily dan terus memaut tubuhnya dengan lebih erat apabila terdengar esakan tangis. Nafas dihela perlahan. Ily tidak tahu… dia… yang terlalu ingin berterima kasih kepada Ily sebenarnya… dan… ada satu perkara yang dirahsiakan Noorul daripada pengetahuan Ily, dan dia tidak pernah mahu Ily tahu akan perkara tersebut.

+++

Noorul mengesat air mata yang mengalir di pipi. Ingatannya kepada kisah lama itu bertamu kembali. Dia sendiri tidak mengerti akan perasaannya itu. Kerap kali perasaan ini berkecamuk dalam mindanya, dan dia tidak mampu untuk meluahkan.

Sejujurnya, perasaan sayang Noorul terhadap Ily lebih daripada segalanya. Dia terlalu sayangkan Ily. Ily adalah orang pertama yang membuatkan dirinya kembali tersenyum, kembali bangkit, dan kembali kuat, dan… perlahan-lahan kembali pada Tuhan.

Dahulu…dia pernah jatuh hati kepada salah seorang pelajar perempuan di dalam kelasnya, sewaktu di persekolahan menengah rendah. Sewaktu di menengah rendah, dia bersekolah di sebuah girl school. Atau lebih tepat lagi, sekolah yang menempatkan semua perempuan, dan ada aliran agama. Noorul sendiri tidak pasti bila kali pertama dia jatuh sayang kepada rakannya itu. Cuma apa yang dia ingati adalah pernah pada suatu ketika, seingatnya… dia pernah tidur sebantal dengan rakan perempuannya itu, dan mereka… bermesra serta berpelukan sesama sendiri. Di sekolah itu juga, kebanyakan senior dan rakan-rakan Noorul mengakui mempunyai perasaan sesama jantina, dan saling berpasangan sesama sendiri, tanpa pengetahuan pihak sekolah. Sehinggalah pada suatu hari… ketika itu entah bagaimana pintu hidayah perlahan-lahan mengetuk hati Noorul. Semuanya bermula apabila Noorul dipelawa untuk menyertai pertandingan hafazan yang dianjurkan pihak sekolah. Kebetulan Noorul sudah diajar menghafaz surah-surah pilihan oleh Mama dan Babah sejak kecil lagi, jadi menghafaz surah baharu bukanlah satu cabaran yang terlalu besar buat dirinya. Dan ketika itulah… lama kelamaan Noorul perasan ada sesuatu yang tidak kena tentang apa yang dilakukannya selama ini. Menjalinkan hubungan cinta dengan rakan perempuan sendiri? Tidur sebantal tanpa pengetahuan warden pada setiap malam? Perasaan apakah ini? Apa yang dia lakukan? Ah, bodoh sekali. Umpama orang kemaruk bercinta sesama lelaki dan perempuan, itulah kebodohan yang dia lakukan, iaitu memberi hadiah, memberi ucapan, sanggup melakukan apa sahaja untuk yang dicintai. Dan… saban masa, dia sering tidak lekang mengingati rakan yang dicintainya itu.

Sejak itu, Noorul semakin banyak menelusuri perasaan sendiri, melakukan pembacaan sendiri, dan sehinggalah pada hari dia mengambil keputusan bertemu dengan kaunselor sekolah dan meluahkan apa yang dipendamnya, dan… akhirnya dia berjaya memutuskan hubungan ‘percintaan’ yang dijalin bersama rakan perempuannya itu. Mujur pada ketika itu, Noorul mengambil langkah bijak kerana berjumpa kaunselor dan mengakhiri segalanya ketika hari terakhir menduduki peperiksaan PMR, di mana para pelajar akan mula bercuti panjang. Ketika itulah Noorul menggunakan sebaiknya peluang yang ada untuk memutuskan segalanya dengan rakan perempuannya itu. Ahh… hal ini tidak semudah memetik jari. Ia memakan seluruh jiwa, hati dan perasaan Noorul sehingga hari ini. Sehingga saat ini.

Tiada siapa yang mengetahui tentang perasaan ini, termasuk Mama dan Babah serta abang kandungnya. Noorul simpan kemas dalam hatinya sendiri. Sepertimana dia menyembunyikan rasa cemas di hatinya, di sebalik senyuman dan keceriaannya di hadapan Mama dan Babah. Apa yang perlu dilakukan?

Untuk Noorul yang suka membaca, dan tahu tentang fitrah yang sewajarnya, dia sangat maklum… perasaan ini tidak sewajarnya dilayan. Cukuplah sesuatu dosa yang pernah dilakukan, yang menjerumuskan dirinya ke lembah itu dahulu. Noorul meramas rambutnya. Bahunya disentuh dari belakang.

“Noorul… kenapa ni? Are you okay?”

Ily yang baru terjaga dari tidur berada di hadapannya.  Noorul cepat-cepat mengesat air mata yang semakin laju jatuh ke pipi.

“Oh… takde apa…”

Entah mengapa, apabila terdengar sahaja suara Ily, air matanya semakin sukar ditahan. Ily yang berada di hadapannya lantas memeluk erat tubuh Noorul. Sangkaannya, mungkin Noorul homesick lagi, seperti biasa.

+++

Petang itu merupakan kertas terakhir bagi peperiksaan SPM. Seramai 450 orang pelajar tingkatan 5 MRSM Kubang Pasu akan menamatkan kertas terakhir, subjek Tasawwur Islam, termasuk Noorul dan Ily.  

Hari itu juga, Noorul bertekad meluahkan isi hatinya kepada Ily, dan apa yang disimpannya selama ini. Walau apa yang terjadi, dia sudah tidak mampu menahan perasaan ini. Dia terlalu sayangkan Ily, sejauh mana pun dia menepisnya, perasaan itu akan bertamu kembali. Saban hari, malam berganti siang, siang berganti malam, hari-hari terakhir yang dilaluinya di sekolah ini bersama Ily akan sentiasa menjadi ingatan paling bermakna buat dirinya. Kerana… hari-hari yang dilalui bersama Ily adalah satu cabaran besar buat dirinya.Tanpa berfikir lebih panjang, sekeping surat disisipkan ke dalam laci Ily sewaktu dia mengemas barang-barang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.  

Mungkin inilah hari terakhir dia akan bertemu dengan Ily. Sebelum masuk ke dalam dewan peperiksaan tadi dia sempat bersalaman dengan Ily dan mengucapkan selamat maju jaya seperti kebiasaan. Sebaik mungkin dia berusaha menahan sebak di dadanya ketika itu. Selepas menyelesaikan kertas terakhir tadi, dia terus bergegas keluar dari dewan dan menuju ke asrama untuk mengemas barang-barang. Dia juga sudah siap-siap menelefon Mama dan Babah yang sedang dalam perjalanan untuk menjemputnya. Dia mengambil keputusan untuk mengakhiri perhubungannya dengan Ily melalui sekeping surat.

+++

Ily terduduk. Surat yang dibacanya direnyuk. Tidak tahu apa yang ingin digambarkan perasaannya ketika ini. Sedih, kecewa, marah…rindu, kasihan…? Semuanya bercampur baur.

Mengapa Noorul memilih untuk memutuskan hubungan dengan dirinya begitu sahaja?  Fikirannya kusut sekali, cuba memproses apa yang Noorul tuliskan dalam surat yang menghempap perasaannya sebentar tadi. Ditolehnya ke katil sebelah yang sudah kosong, dan tilamnya sudah disandarkan ke dinding. Katil yang dahulunya menempatkan Noorul, insan yang sering menjadi peneman suka dan duka sepanjang perjalanan menuntut ilmu di bumi ini.  Sungguh, dia tidak pernah menyangka Noorul menyimpan duka yang begitu hebat dalam dirinya selama ini. Selama ini, Noorul yang sentiasa ceria di hadapannya, hakikatnya menyembunyikan satu rasa duka yang sangat mendalam. Mungkin ini juga salah satu sebab mengapa mereka jarang mempunyai ‘deep conversation’ sesama sendiri. Pada kebanyakan waktu, hanya dia yang banyak meluahkan rasa hatinya berbanding Noorul.

Dia juga… sayangkan Noorul… terlalu sayangkan Noorul. Mereka berdua mempunyai banyak persamaan, dan Noorul sangat selesa dengan budi pekerti Noorul. Sewaktu pertama kali bertemu muka di sekolah ini lagi, ada satu perasaan senang yang menyusup masuk ke dalam hati Ily ketika berkenalan dengan Noorul. Ketika itu dirasakannya, Noorul adalah sahabat terbaik yang dicarinya selama ini. Mereka berkongsi hobi yang sama, angan-angan yang sama, dan cita-cita yang sama. Ily tidak dapat menahan sebak di dadanya. Air jernih mengalir turun ke pipi. Dia masih ingat ketika mereka berdua berbual tentang angan-angan masing-masing untuk melanjutkan pelajaran ke tanah Uncle Sam, Amerika Syarikat. Kini semuanya tinggal kenangan dan angan-angan kosong.

Hatinya benar-benar remuk, perit sekali. Dia langsung tidak sempat untuk mengucapkan selamat tinggal dan memeluk Noorul buat kali terakhir sebelum mereka berpisah untuk satu tempoh yang lama. Mengapa Noorul terburu-buru sedemikian? Tadi selepas keluar dari dewan dia bertanya kepada rakan-rakan lain yang sedang sibuk meluangkan masa bersama pada hari terakhir, tentang keberadaan Noorul. Puas dia mencari Noorul di surau, di perpustakaan, dan akhirnya dia pulang ke dorm dengan harapan susuk itu ada di situ sedang menunggu dirinya. Namun, ternyata hampa… yang dijumpai hanyalah sekeping surat yang diselit ke dalam lacinya. Ya… dia tahu… mungkin Noorul sudah memendam perasaan yang terlalu lama, dan bimbang sekiranya dia akan bertindak membenci Noorul kerana perasaan yang diluahkan tersebut… Ahh tetapi dia bukan begitu! Jika Noorul mempunyai perasaan sebegitu, dia akan bantu, dia akan bantu Noorul semampunya! Dan saat ini, perasaan bersalah timbul dalam hati kecilnya. Sekiranya dia dan Noorul tidak pernah rapat seperti ini, mungkin semua ini tidak berlaku, dan Noorul tidak akan mendera perasaannya sendiri. Sungguh, dia tidak dapat membayangkan bagaimana Noorul mengawal hati dan perasaannya selama ini.

Ily terduduk. Masih terngiang-ngiang tulisan tangan Noorul yang menyuruhnya untuk berhenti berhubung serta merta. Peritnya rasa hati, hanya Tuhan yang mengetahui. Air jernih bercucuran menuruni pipi mungil Ily. Tiada insan lain yang berada dalam dorm tersebut pada saat itu. Hanya ada dia... dan katil kosong yang dahulu menempatkan Noorul.

Bersambung... 

Percaya Sampai Syurga - Prolog

Dia leka menulis sesuatu di komputer riba. Jemari laju menekan papan kekunci, menyamai kelajuan susunan kata-kata di dalam minda yang sedang...